Saturday, February 19, 2011

Pemuda Mesir tubuh parti

KAHERAH: Kumpulan pemuda Mesir yang menggerakkan reformasi di negara itu bertindak menubuhkan parti politik baru, semalam, ketika sebuah jawatankuasa berusaha menggubal perlembagaan baru sebagai persediaan pilihan raya umum dalam tempoh enam bulan.

Majlis Tertinggi Tentera yang menguasai kerajaan selepas Hosni Mubarak tumbang kini tertekan apabila dituntut membebaskan tahanan politik.


Mereka turut mahu perintah darurat ditarik balik.

Pemimpin prodemokrasi pula bercadang mengumpulkan sehingga sejuta orang di jalan raya bagi menyertai Perarakan Kemenangan hari ini untuk meraikan penyingkiran Hosni.


Perarakan itu juga mungkin dibuat bagi memberi peringatan kepada tentera terhadap apa yang boleh mereka lakukan melalui protes jalan raya.


Sementara itu, kehidupan seharian di Mesir selepas era Hosni, 82, belum pulih sepenuhnya apabila kereta kebal masih banyak ditempatkan di jalan raya Kaherah.

Institusi kewangan pula masih ditutup, kakitangan awam terus mengadakan protes dan sekolah masih belum dibuka.


Jurucakap tentera, Jeneral Ismail Etmaan, berkata Mesir kini berdepan ujian.

“Adakah anda gembira berdemonstrasi, mogok dan membiarkan kilang dan bank terus ditutup?” katanya melalui ucapan di televisyen, malam kelmarin.


Menurut Ismail, tentera akan memulihkan keadaan Mesir tetapi ia memerlukan bantuan orang awam.


“Tentera ada cita-cita tertentu dan akan mengembalikan kuasa kepada pihak awam apabila keadaan mengizinkan,” katanya.


Dalam perkembangan berkaitan, dua kapal perang Iran membatalkan rancangan melalui Terusan Suez, sekali gus melegakan tentera yang berdepan dengan konflik polisi jika ia diteruskan.


Cadangan Iran itu dianggap Israel sebagai ‘provokasi’ dan jika diteruskan akan membawa Mesir - sekutu rapat Tel Aviv dan Washington selama ini - ke dalam konflik diplomatik. - Reuters

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/PemudaMesirtubuhparti/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...