ya_t@hmetro.com.my
BUKTI...pegawai SPRM menunjukkan sijil nikah palsu dikeluarkan sindiket perkahwinan.
PUTRAJAYA: Wali tidak perlu hadir ketika majlis pernikahan berlangsung, cuma perlu membuat pengesahan melalui telefon. Itulah keistimewaan pakej disediakan satu sindiket menyediakan khidmat perkahwinan untuk golongan yang mahu berpoligami dikesan bergiat aktif di seluruh negara sejak 2000.
Sindiket itu yang turut dilanggani artis dan golongan kenamaan (VIP) untuk berkahwin tanpa pengetahuan isteri, mengenakan bayaran antara RM1,600 hingga RM2,300 dan menyediakan sijil serta kad perakuan nikah hampir sama seperti dikeluarkan Jabatan Agama Islam negeri.
Paling mengejutkan, sindiket terbabit juga dikesan menyedia dan menjual sijil serta kad nikah terbabit kepada pasangan yang mahu memiliki dokumen itu tanpa perlu menghadiri majlis pernikahan. Sindiket yang dipercayai didalangi seorang kakitangan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu menyediakan seorang jurunikah tidak bertauliah yang dipertanggungjawab menikahkan pelanggan mereka.
Sumber berkata, lebih 500 pasangan dikenal pasti sudah menjadi mangsa sindiket berkenaan dan kebanyakan mereka mendakwa tidak menyedari ditipu kerana diberikan sijil dan kad nikah hampir sama seperti yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).
Menurutnya, kebanyakan mangsa tidak mengikuti prosedur ditetapkan untuk berpoligami iaitu tanpa kebenaran secara bertulis daripada mahkamah syariah seperti yang ditetapkan dalam Seksyen 23 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303).
“Kebanyakan mangsa tidak menyedari mereka ditipu dan ia hanya terbongkar selepas mereka melakukan pemeriksaan terhadap sijil dan kad nikah dimiliki sebelum mendapati maklumat tidak sama seperti tertera di atas sijil serta kad nikah terbabit,” katanya.
Sumber itu berkata, khidmat sindiket terbabit cukup mudah kerana pasangan hanya perlu menyediakan dua keping salinan kad pengenalan serta saksi, sebelum diminta bertemu di satu tempat untuk menyerahkan dokumen itu.
“Mereka akan tetapkan tarikh untuk berjumpa sebelum dibawa ke lokasi untuk dinikahkan, terutama di hotel bajet atau rumah persendirian.
“Lebih mengejutkan, akad nikah dijalankan tanpa kehadiran wali dan pengesahan hanya perlu dibuat melalui telefon,” katanya.
Harian Metro pada 28 Januari lalu melaporkan segelintir VIP dikesan menggunakan sindiket nikah tidak bertauliah yang menyediakan pakej lengkap dengan sijil nikah kononnya dikeluarkan Jawi.
Pasangan menggunakan khidmat sindiket itu diyakinkan pernikahan diuruskan bukan saja sah dari segi Islam, malah turut diperakui Jawi dengan sijil perkahwinan dan kad nikah dikeluarkan sebaik proses ijab kabul selesai. Bagaimanapun, kegiatan sindiket terbabit terbongkar selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat lelaki berusia antara 50 hingga 64 tahun, Isnin lalu.
http://www.hmetro.com.my/articles/Walitidakperluhadir/Article
No comments:
Post a Comment