Thursday, March 17, 2011

Salah faham punca 3 panel Interlok keluar mesyuarat

Salah faham punca 3 panel Interlok keluar mesyuarat
Aidila Razak
Mac 17, 11
3:18pm

Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bertegas bahawa tiga wakil masyarakat India yang menganggotai panel bebas mengkaji cadangan pindaan Interlok belum mengundurkan diri dan berkata apa yang berlaku semalam adalah “salah faham”.

Katanya, beliau telah dihubungi oleh Presiden MIC, Datuk G Palanivel yang memberi jaminan bahawa ketiga-tiga mereka akan tetap berada dalam jawatankuasa itu.

NONE"Mereka tidak akan bertindak keluar, hanya salah faham. Datuk G Palanivel (Presiden MIC) akan memujuk mereka (ketiga-tiga wakil) agar kekal.

“Saya sudah dimaklumkan apa yang berlaku malam tadi dan kami sudah menyelesaikan isu ini,” katanya.

Bercakap kepada wartawan di lobi parlimen, hari ini, Muhyiddin juga menafikan beliau telah menolak 100 pindaan yang dicadangkan oleh jawatankuasa berkenaan. Katanya beliau sebenarnya mengarahkan semakan terhadap pindaan tersebut kerana sesetengah isu dianggap remeh dan “lari dari isu pokok”.

'Letak noktah'

"Dalam perbincangan mungkin ada timbul sikit salah faham, tapi kita telah selesaikan dan kita minta supaya perkara ini dapat diperinci lagi supaya bila kita dah putuskan, bermakna semua dah selesai.

"Kita nak letak noktah padanya. Ia akan ambil masa sikit supaya semua pihak berpuas hati. Kita harap dapat selesai tidak lama lagi," katanya.

NONEMuhyiddin berkata isu pokok yang membawa kepada kontroversi telah diselesaikan manakala isu-isu yang dibawa adalah yang tidak berkepentingan.

"Isu yang dibawa bukan isu pokok dan tidak sensitif. (Ahli jawatankuasa) membawanya kerana mempunyai peluang. Contoh, perkataan 'tuhan' sepatutnya dieja dengan huruf besar T dan beberapa perkara yang tidak penting.

"Jadi saya nasihatkan mereka kaji semula cadangan itu. Kita tidak menolaknya tetapi ...ini perkara kecil,” katanya.

Apabila ditanya cadangan menggantikan Interlok dengan novel lain, Muhyiddin berkata ia tidak perlu dan Interlok akan kekal sebagai buku dalam sukatan pelajaran Tingkatan Lima.

"Novel ini novel yang baik, dah banyak orang bacapun tidak jadi masalah. Isu ini berbangkit di sekolah setelah ditimbulkan oleh masyarakat India mengenai perkara-perkara tertentu," katanya.

NONESemalam, penulis, Uthaya Sankar yang juga seorang anggota panel itu berkata beliau dan dua rakannya bertindak meninggalkan mesyuarat kerana berasa dikhianati.

Dua lagi wakil masyarkat India adalah Pengarah Pusat Pendidikan Global Aminuddin Baki Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof Dr NS Rajendran dan bekas pegawai Kementerian Pelajaran G Krishnabahawan.

Panel itu yang ditubuhkan Kementerian Pelajaran dan dianggotai lapan orang yang terdiri daripada pakar bahasa, ahli akademik, sasterawan, wakil Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta wakil masyarakat India.

[Baca berita penuh]


http://malaysiakini.com/news/158903

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...