kalidevi@hmetro.com.my
KESAL...Mohd Kamil bersama Chong menunjukkan gambar suspek dan laporan polis yang dibuatnya.
KUALA LUMPUR: Berbekalkan ijazah dalam bidang perakaunan dan kepetahan berkata-kata serta raut wajah baik, seorang lelaki memperdaya lapan bekas majikannya dan menggelapkan kira-kira RM270,000 milik lapan syarikat itu.
Difahamkan, lelaki berusia 40 tahun terbabit menawarkan diri untuk bekerja pada gaji rendah bagi jawatan eksekutif perakaunan untuk memikat hati majikan.
Selepas majikannya yang rata-rata terdiri daripada syarikat swasta yang terkenal menawarkan pekerjaan kepadanya, dia akan membuktikan kemampuannya bekerja sebelum menunjukkan tembelang sebenar.
Suspek berasal dari Kelana Jaya, Selangor, itu juga mahir menipu tandatangan pengarah syarikat dan waran tangkap sudah dikeluarkan terhadapnya, tetapi masih gagal dikesan sehingga kini.
Mangsa terakhirnya, pengarah syarikat, Mohd Kamil Othman,53, berkata suspek bekerja sebagai eksekutif perakaunan di syarikatnya yang terbabit bidang perumahan pada 22 November tahun lalu.
Menurutnya, dia menggunakan modus operandi sama iaitu menawarkan diri untuk bekerja pada gaji serendah RM2,800 sebulan dan pihaknya bersetuju mengupahnya tanpa menyiasat latar belakang majikan lama.
“Sejak mula bekerja, kami tidak syak tingkah lakunya kerana dia seorang pekerja yang rajin.
“Untuk dua bulan pertama bulan, dia bekerja dengan baik, tetapi pada bulan ketiga dia menghilangkan diri bersama RM94,000 wang kutipan sewa,” katanya ketika mendedahkan kejadian itu di Biro Pengaduan Awam MCA, di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Micheal Chong, berkata menurut laporan polis, sejak 1999, suspek sudah menggelapkan kira-kira RM270,000 milik lapan syarikat swasta menggunakan taktik sama.
Menurutnya, suspek juga pernah menggelapkan wang berjumlah RM150,000 milik sebuah syarikat perbankan dengan meniru tandatangan pengarah syarikatnya.
“Suspek sangat licik dan tidak pernah bekerja di sesuatu tempat lebih dari empat bulan dan rata-rata kawasan tumpuannya di Bangsar, Shah Alam, Kota Damansara, Cheras, Pudu dan Lembah Klang,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Songlapduitlapansyarikat/Article/index_html
No comments:
Post a Comment