Saturday, April 2, 2011

BAM sedia cari sifu baru

Oleh Mohd Hilmie Hussin
mohdhilmie@hmetro.com.my

MESYUARAT Majlis Persatuan Badminton Malaysia (BAM) hari ini pada dasarnya mesyuarat biasa yang membabitkan pembentangan laporan oleh pengerusi setiap jawatankuasa serta akan memutuskan tarikh Mesyuarat Agung Tahunan yang berlangsung Mei ini.

Namun, mesyuarat kali ini lebih hangat kerana bakal membincangkan masa depan prospek emas Olimpik pertama negara, Datuk Lee Chong Wei selepas jurulatihnya Datuk Misbun Sidek yang meletak jawatan 31 Disember tahun lalu tidak memberi sebarang respon kepada badan induk badminton negara yang mengambil langkah diplomasi memujuk jurulatih itu kembali.


Bendahari Kehormat BAM, Datuk Lim Teong Kiat berkata, soal keperluan jurulatih buat Chong Wei menjadi topik penting dan Ahli Majlis tidak mahu lagi membiarkan isu Misbun berpanjangan.

“Kami akan dengar dulu pandangan dari sudut kejurulatihan, apakah perlu terus mengharapkan Misbun atau tidak. Pendapat Chong Wei yang disalurkan melalui jawatankuasa kejurulatihan dan latihan juga penting kerana dirinya tahu apa yang diperlukan ketika ini,” kata Teong Kiat.


“Setakat ini saya lihat, dia bersama Rashid Sidek dan Tey Seu Bock cukup serasi dan lebih berbisa. Melihatkan persembahan Chong Wei, saya rasa dia hanya perlu jurulatih sebagai perunding dalam latihan dan kejohanan. Dia sudah ada segalanya dan tahu perlu dilakukan.


“Chong Wei juga lebih mengetahui apa diperlukannya jika berasakan pergerakannya perlahan dia boleh terus mendapatkan bantuan Institut Sukan Negara (ISN), jika perlukan aspek teknikal latihan dia boleh minta pada Rashid dan Seu Bock.” Begitupun, Teong Kiat tidak menolak kemungkinan ada permintaan mencari jurulatih baru buat Chong Wei dan Wong Mew Choo yang kehilangan jurulatih, Wong Tat Meng kerana berhijrah ke Indonesia.

“Kami bersedia mencari jurulatih jika itu diperlukan. Memang kantung persatuan tidak besar ketika ini tapi itu tanggungjawab kami. Jika perlukan jurulatih kami cari jurulatih, jika perlukan wang untuk tujuan itu kami akan cari. Kami akan cuba minta bantuan Majlis Sukan Negara (MSN), jika mereka tidak dapat bantu kami akan dapatkan penaja,” kata bendahari itu.


Sementara itu, Naib Presiden BAM, David Wee Toh Kiong mengesahkan persatuan itu belum menerima reaksi daripada Misbun hingga semalam.

“Hari ini kami belum menerima surat daripada Misbun. Sudah banyak persatuan lakukan, menanti hingga tiga bulan dan memujuk.


“Presiden (Datuk Seri Mohd Nadzmi Salleh) banyak bersabar, pergi berjumpanya (Misbun). Tapi apa yang beliau dapat hingga hari ini? “Saya rasa Ahli Majlis akan membuat keputusan muktamad esok (hari ini),” kata David Wee.


Semua pihak bagaikan bersetuju isu ini sudah berlarutan terlalu lama terutamanya selepas campur tangan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mahu BAM memberi masa kepada Misbun menemui kegagalan.


http://www.hmetro.com.my/articles/BAMsediacarisifubaru/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...