Saturday, April 2, 2011

Misbun rujuk semula


KEMBALI BERSATU... Misbun (kiri) akan kembali membimbing jaguh negara, Datuk Lee Chong Wei.


SELEPAS tiga bulan bermain teka- teki, jurulatih perseorangan negara, Datuk Misbun Sidek tidak jadi ‘bercerai’ dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selepas bersetuju menarik balik peletakan jawatan yang dibuatnya pada 31 Disember lalu.

Dengan hanya menitip sepucuk surat yang dihantar kepada Presiden BAM, Datuk Seri Nadzmi Mohd. Salleh empat hari lalu, segala-galanya berakhir apabila Majlis BAM yang bermesyuarat lebih dua jam semalam menerima semula Misbun dengan tangan terbuka.

“Datuk Misbun Sidek telah menarik balik surat peletakan jawatannya dan BAM bersetuju menawarkan kontrak baru kepada beliau selepas ini,” kata Nadzmi selepas berakhir mesyuarat majlis.

Ketika mengulas lanjut kontrak baru itu, Nadzmi berkata, butir-butir terperinci mengenainya masih belum diputuskan dan beliau enggan mendedahkan sama ada ia lebih baik daripada kontrak sebelum ini termasuk tempoh kontrak untuk mengikat Misbun.

“Kita belum bincang lagi tentang kontrak baru itu tetapi apa pun butirannya, saya rasa Misbun akan menerimanya kerana dia bukan seorang yang cerewet sangat.

“Apa yang penting sekarang, Misbun telah bersetuju untuk sambung semula kontrak dengan BAM. Yang lain itu, kita boleh bincang kemudian,” tegasnya.

Mengenai kedudukan Misbun sebagai jurulatih Datuk Lee Chong Wei, Nadzmi menegaskan, tidak semestinya jurulatih perseorangan negara itu akan kembali pada tugas lamanya.

Sebaliknya kata beliau, ia bergantung kepada Chong Wei untuk menentukannya kerana ketika ini tanpa Misbun, pemain No. 1 dunia itu tetap menunjukkan prestasi yang membanggakan.

“Semuanya boleh berlaku kerana yang menentukannya ialah pemain itu sendiri. Misbun dan semua jurulatih BAM hanya bertindak sebagai penyokong dari belakang,” tegasnya.

Sewaktu ketiadaan Misbun, Tey Seu Bock mengisi kekosongan yang ditinggalkan itu dan bersama Rashid Sidek, mereka berjaya membantu Chong Wei muncul juara Seluruh England.

Ketika ini, tiga jurulatih perseorangan diperuntukkan BAM untuk melatih enam pemain elit negara.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0402&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...