Saturday, April 16, 2011

Kita Ketandusan Kejujuran Ulama Dan Keikhlasan Umara

Sejarah umat ini bukan sedikit, dahulunya dipenuhi dengan kisah-kisah para ulama yang sentiasa berpegang kepada prinsip dan jujur. Sementara umarak pula menerima nasihat dan bicara ulama dengan jiwa yang ikhlas dan inginkan kebenaran.

Beberapa buku sejarah menceritakan pada zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin ‘Abd al-Malik (meninggal 105H), gabenor Iraq ketika itu ialah ‘Umar bin Hubairah. Gabenor tersebut telah memanggil dua orang tokoh ilmuwan besar umat ketika itu; ‘Amir al-Sya’bi dan al-Hasan al-Basri.

Beliau bertanya mereka berdua mengenali arahan-arahan Khalifah Yazid bin ‘Abdul Malik yang datang kepadanya. Ada diantaranya ada yang menyanggahi kebenaran. Kata ‘Umar bin Hubairah: “Jika aku taatkan Khalifah, aku menderhakai Allah, jika aku mentaati Allah aku akan menderhakai Khalifah”. Apa pendapat kamu?”.

Jawab al-Sya’bi: “Engkau hanya menjalankan tugas, dosa ditanggung oleh Khalifah”. Tanya ‘Umar bin Hubairah kepada al-Hasan al-Basri: Apa pendapatmu pula?”. Jawab al-Hasan: “Wahai Gabenor! Engkau telah pun mendengar pendapat al-Sya’bi tadi”. “Aku mahu pendapatmu”, tegas gabenor itu.

Kata al-Hasan al-Basri: “Wahai ‘Umar bin Hubairah, akan datang kepadamu malaikat Allah yang bengis lagi tidak menderhakai perintah Allah, dia akan mengeluarkan engkau dari istanamu yang luas ke kuburmu yang sempit. Jika engkau bertakwa kepada Allah, Dia boleh melindungimu daripada tindakan Yazid bin ‘Abdul Malik, adapun Yazid bin ‘Abdul Malik tidak dapat melindungimu dari pada tindakan Allah. Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta (Allah). Wahai ‘Umar bin Hubairah! Engkau jika bersama Allah dalam ketaatan kepadaNya, Dia memeliharamu daripada bahaya Yazid bin ‘Abdul Malik. Namun jika engkau bersama Yazid dalam menderhakai Allah maka Dia serahkan engkau kepada Yazid “.Lalu menangislah ‘Umar bin Hubairah.

Lalu ditanya al-Hasan mengapakah beliau melakukan demikian? Jawabnya: “Kerana perjanjian yang Allah meterai untuk para ulama berkaitan ilmu mereka –seperti firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran 187-: (maksudnya): Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian dari mereka yang telah diberikan Kitab (iaitu): “Demi sesungguhnya! hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”. (lihat: al-Mizzi, Tahzib al-Kamal, 6/113, Al-Zahabi, Tarikh al-Islam, 2/333, Ibn Manzur, Mukhtasar Tarikh Dimasyq, 6/97).

Kita sebenarnya merindui kisah-kisah yang seperti ini. Sejarah umat ini bukan sedikit dahulunya dipenuhi dengan kisah-kisah agung yang sebegini. Kisah para ulama yang sentiasa berpegang kepada prinsip dan jujur. Sementara umarak pula menerima nasihat dan bicara ulama dengan jiwa yang ikhlas dan inginkan kebenaran.

Saya selalu bertanya mengapakah para pemerintah dahulu, setegas mana pun dia, sering menangis apabila mendengar nasihat para ulama. Mengapakah hari ini, kisah-kisah seperti itu hampir pudar? Jawapannya, adalah keikhlasan jiwa yang ada pada kedua-dua pihak. Pihak yang menasihati melakukan nasihat dan peringatan hanya kerana Allah, semata-mata untukNya. Tidak kerana inginkan kerusi politik, atau memenangkan parti yang dipimpin, atau kerusi yang dia bertanding, atau jawatan yang dia pegang.

Jika adapun jawatan mereka, itu tidak pernah membawa mereka merubah hakikat agama Allah. Mereka hidup dalam kezuhudan iaitu jiwa tidak bergantung harap kepada habuan pemerintah. Bebas lagi merdeka jiwa mereka. Namun benar-benar berjiwa hamba di hadapan kebesaran kerajaan Allah Yang Memerintah langit dan bumi.

Dari keikhlasan jiwa pemberi nasihat, Allah anugerahkan penerimaan di pihak yang dinasihati, jika yang dinasihati itu masih wujud keikhlasan dan keinginan untuk kembali kepada Allah. Kita tidak pernah mendengar dalam sejarah tokoh-tokoh ulama terbilang umat ini kempen ‘maki hamun’ yang dilancar terhadap pemerintah. Padahal bukan sedikit jua kejahatan pemerintah dalam sejarah yang lepas pun. Tetapi kita sering dengar nasihat yang ikhlas dan tegas. Bebas dari kepentingan dan keinginan kepada dunia. Maka, sepanjang sejarah lepas –walaupun banyak juga kecacatan dan kelemahan- kekuatan umat ini terus dapat dipelihara.

Namun apabila masa berubah, para pemerintah ramai yang sudah tidak ada masa untuk mendengar nasihat dan bicara ulama atau berdamping dengan mereka. Sekalipun ramai pemerintah yang masih ada masa untuk menghadiri bicara dan dendangan artis. Sementara ada golongan yang cuba memakai gelaran agama pula, cuba bergaya artis apabila muncul di hadapan pemerintah. Bicara atau ceramah mereka samada untuk melucukan hati pemerintah, atau mengampu mereka.

Ramai pemerintah gagal melihat kewibawaan ilmu dan ketelusan prinsip golongan yang berlebel agama di zaman kini. Lalu mereka tidak merasa hebatnya ilmu dan lazat menikmati keindahan Islam. Ini mungkin berpunca dari sebahagian para penceramah agama adalah insan-insan kontang dari ilmu Islam yang sebenar dan hanya mengutip buku-buku jalanan untuk dijadi bahan semasa ceramah atau forum. Dicampur pula dengan kesingkatan akal dan kerendahan lojik sesetengah penceramah sehingga Islam digambarkan bagaikan cerita kartun atau ‘gelanggang raja lawak’ yang memperbodohkan orang ramai.

Hadis-hadis palsu dan cerita-cerita dongeng yang dikaitkan dengan wali atau individu itu dan ini pun dijadikan bahan ceramah agama. Maka ada pemerintah yang hati kecil mereka mula menganggap bicara agama itu hanya boleh didengar jika ada masa lapang. Ceramah agama bagi golongan agama yang seperti ini bukan bertunjang untuk mengangkat imej umat ke arah kefahaman yang betul dan Islam yang tulen. Tetapi tidak lebih sekadar kegiatan seni atau sumber pendapatan sampingan, bahkan ada yang menjadikannya sumber pendapatan utama. Sehingga ada yang sanggup menjadi bahan iklan barangan tertentu.

Kelompok agama yang seperti inilah yang menghilang wibawa agama ini di hadapan mata pemerintah. Kata Salamah bin Dinar di hadapan Khalifah Sulaiman bin ‘Abdul Malik: “Telah berlaku di mana para umarak mencari ulama, lalu mengambil manfaat daripada mereka. Maka yang sedemikian kebaikan untuk kedua-dua pihak. Namun hari ini, ulama pula yang mencari umarak, lalu cenderung kepada umarak dan inginkan apa yang dimiliki oleh mereka. Lalu umara menganggap: tentu apa yang ulama cari yang ada di tangan kita lebih baik daripada apa yang ada di tangan mereka”. (Ibn, ‘Asakir, Tarikh Dimasyq, 22/29)

Justeru itu, Allah tidak pernah menyamakan mana-mana golongan dengan anjing melainkan golongan ulama yang menjual ilmunya untuk mendapat habuan dunia semata. Firman Allah: (maksudnya) “Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya (sebab mengamalkan) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Suarah al-’Araf: 175-176).

Ulama yang gilakan dunia bukan hanya dengan mengampu pemerintah, tetapi juga mungkin dengan mengampu orang ramai atau kelompok tertentu supaya mendapat nama atau jawatan tertentu di kalangan puak tersebut. Maka wujud kelompok pemaki-hamun pemerintah atau sesiapa yang tidak disukai mereka dengan menyalahgunakan nas-nas agama.

Mungkin mereka ikhlas ingin membetulkan, tapi tersalah cara. Atau tujuannya, untuk menggembirakan perasaan penyokong dan menunjukkan kejaguhan sendiri. Ceramah ala sebegini sebenarnya mempunyai pasarannya yang tersendiri di kalangan pengikut aliran tersebut. Bukan sedikit jua wang yang boleh dihasil dengan ceramah ‘gaya kuak maki-hamun’ ini. Namun, di manakah wajah keindahan Islam hendak dicari di celahan pencemaran yang seperti ini?! Di manakah pula ruang kesedaran yang hendak buka apabila kalimat-kalimat kesat mengambil tempat?!

Para ulama yang zuhud dahulu, mereka hadir dengan keikhlasan jiwa bertemu dengan pemerintah dan memberikan pandangan dan nasihat yang berfaedah. Kata-kata mereka bagaikan mutiara yang berharga. Ungkapan mereka indah dan bermakna. Mereka hidangkannya di atas dulang keikhlasan jiwa ilmuwan yang mengharapkan redha Tuhan.

Namun para pemerintah pun telah banyak yang berubah. Sesetengah mereka hanya inginkan ulama bagaikan patung yang hanya dipacak tanpa fungsinya. Hadir sekadar untuk menghiasi majlis supaya orang nampak ada ulama yang hadir. Kemudian pandangan dan pendapat mereka tidak ditanya.

Ulama pula ada yang memang seronok dengan majlis-majlis kebesaran, menikmati hidangan-hidangan hebat dan hotel-hotel mewah lalu memandulkan peranan kewujudan diri mereka yang sepatutnya. Ada pula yang dilantik sekadar untuk membaca doa dalam majlis. Apa yang dia fikirkan hanyalah skrip doanya yang diubah-ubah sedikit sebanyak berdasarkan perubahan majlis.

Barangkali majlis berlangsung berjam-jam, doanya sekadar lima minit dan selebihnya dia hanya menjadi penonton yang setia. Jika dia hanya berfungsi demikian, maka doa hanya upacara yang dibaca tanpa makna dan baki hayatnya banyak yang sia-sia. Tiada hasil ilmiah yang dikeluarkan, tiada pemikiran kebaikan yang dilontarkan dan tiada umat yang dipimpinnya.

Peranan ulama tentu lebih dari itu semua. Saya amat dukacita apabila ada yang cuba membataskan peranan saya dengan berkata mufti tidak patut menulis dalam akhbar, atau berbicara tentang politik, ekonomi, kebajikan awam, hak bukan muslim, seni, artis dan berbagai. Demikian pemikiran menyempitkan agama menguasai kelompok agama itu sendiri.

Saya ingin beritahu orang sebegini bahawa saya tidak memiliki jubah khas seperti yang dimiliki oleh orang lain. Mungkin kerana saya kurang berkemampuan memilikinya, atau saya belum pandai memakainya. Jika anda ingin merampasnya daripada saya, maaf ianya tiada pada saya.

Namun jika anda ingin mematahkan pena saya, atau menghalang saya berfikir dan merumuskan ilmu berdasarkan kadar pengetahuan yang Allah rezekikan kepada saya, saya akan mempertahankan hak saya. Jika saya gagal, demi sesungguhnya saya akan meninggalkan jawatan ini tanpa sebarang kekesalan. Ketahuilah kemerdekaan minda yang berpaksikan hujah dan dalil lebih berharga dari segalanya.

Saya adalah orang yang tidak percaya bahawa umarak itu semesti terdiri dari golongan ulama. Dalam bahasa semasa, saya tidak berpegang kepada pandangan pemerintah mesti berserban dan berjubah. Tetapi saya berpegang bahawa pemerintah mesti berwibawa memimpin dan amanah.

Tiada nas yang mewajibkan hanya ulama yang boleh menjadi umarak. Walaupun ada buku-buku siasah karangan tokoh-tokoh Islam yang menyebut demikian. Bahkan mereka mensyaratkan seorang pemerintah mestilah mujtahid (ahli ijtihad). Namun itu hanya satu pandangan atau ijtihad.

Nas-nas Islam secara jelas hanya mewajibkan keadilan dan keharmonian hubungan antara tindakan umarak dengan ajaran Allah dan rasulNya. Kebanyakan umarak dalam sejarah umat ini juga bukan ulama. Jika umarak itu bukan ulama pun, keadilan yang dikehendaki oleh Islam dapat dicapai dengan ikatan yang mesra antara dua golongan tersebut.

Tetapi pasti si jahil totok tentang agama tidak boleh memimpin umat. Seperti mana jika seorang yang dianggap ulama sekalipun tetapi jahil atau tidak berwibawa memimpin maka dia tidak layak dilantik menjadi pemimpin. Lihatlah apa yang berlaku kepada Indonesia apabila ‘Pak Kiyai Gusdur’ memerintah negara tersebut.

Di samping golongan ulama tidak boleh jumud dalam melontarkan pandangan-pandangan berhubung dengan politik islami. Siasah atau politik dalam Islam lebuhrayanya amat luas. Jangan dijadikan ianya lorong kampung yang sempit.

Maka selalulah mengingati apa yang disebut oleh sarjana besar Islam al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H): “Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia-sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail).

Maka fungsi ulama tidak semesti berpolitik secara langsung, tetapi menasihati dan mengingatkan umarak agar negara sentiasa berada atas landasan keadilan dan kemaslahatan rakyat. Bukan kerja ulama sekadar memacak slogan-slogan agama tetapi tidak membawa makna kepada hakikat keadilan dan kemaslahatan rakyat seperti yang dituntut oleh ruh agama Islam ini.

Atau, tidak salah untuk ilmuwan agama itu sendiri menjadi ahli politik seperti para khalifah al-Rasyidin, ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz dan beberapa orang yang lain, jika mereka mempunyai karisma kepimpinan yang diperlukan. Bahkan inilah yang lebih afdal. Ini kerana kewibawaan dan kesolehan mampu membawa kedamian, keamanan dan keberkatan.

Firman Allah: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 58).


http://drmaza.com/home/?p=157

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...