Saturday, April 16, 2011

Menyekat akses laman porno




KETIKA Indonesia masih bergelut dengan masalah sosial yang meruncing akibat gejala penyebaran kandungan pornografi di kalangan remajanya, Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Sejahtera (PKS), Arifinto pantas mencipta satu lagi episod memalukan negara berkenaan dengan gelagatnya menonton video lucah semasa persidangan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), Jumaat lalu.

Lebih memalukan rakyat Indonesia kerana Arifinto merupakan antara individu yang bertanggungjawab meluluskan undang-undang antipornografi di Indonesia sejak tahun 2008. Pengkritik Indonesia lantas menggelarnya sebagai manusia hipokrit dan mahu dia dihukum di bawah undang-undang yang sama.

Jika dilihat rentetan kes membabitkan penyebaran kandungan pornografi di Indonesia, keberkesanan undang-undang antipornografinya seolah-olah pincang dan longgar, lebih-lebih lagi tanpa sekatan media yang menyalurkan kandungan pornografi secara menyeluruh.

Sejak sekian lama masalah sosial seperti pelacuran, pengguguran janin, seks luar nikah dan sebagainya semakin berleluasa di Indonesia, ia seperti dibiarkan begitu sahaja tanpa tindakan tegas oleh pihak yang bertanggungjawab.

Titik kemunculan penerbitan berunsur lucah di Indonesia dilihat sebagai kesan kejatuhan bekas Presiden Suharto pada tahun 1999 selepas satu demi satu majalah yang menjual cerita-cerita dan gambar-gambar berunsur seks memasuki pasaran Indonesia sejurus itu.

Bagaimanapun, kemunculan majalah-majalah itu tidak mencetuskan kontroversi besar di negara yang mempunyai lebih 80 peratus penduduknya beragama Islam.


INDONESIA dipercayai negara kedua paling banyak menyebarkan kandungan pornografi selepas Rusia.


Hanya beberapa tahun sejak kebelakangan ini, terutama apabila video seks artis Ariel Peterpan dengan dua artis wanita iaitu Luna Maya dan Cut Tari tersebar. Ia menjadi tajuk-tajuk berita utama Indonesia dan negara-negara jirannya, rakyat Indonesia mula membuka mata.

Apatah lagi, gelagat Arifinto yang memalukan institusi undang-undang dan pemerintah Indonesia baru-baru ini, peletakan jawatan malah penegasannya yang tidak sengaja mengakses e-mel kandungan lucah melalui komputer tabletnya itu menambah kebimbangan rakyat mengenai keberkesanan undang-undang antipornografi negara berkenaan.

Laman web lucah

Terdahulu, Menteri Penerangan Indonesia, Tifatul Sembiring berkata, beliau akan merangka undang-undang baru bagi menangani masalah itu yang telah menghina negara.

"Dalam satu kajian yang dilakukan pada tahun 2007 mendapati, sebanyak 97 peratus pelajar sekolah menengah di Indonesia pernah mengakses laman web lucah," ujarnya.

Menurut data daripada Associated Press (AP), Indonesia merupakan negara kedua paling banyak menyebarkan kandungan pornografi selepas Rusia.

Kajian yang dijalankan oleh Jawatankuasa Menentang Pornografi di Indonesia pula mendapati, remaja di antara umur 14 hingga 19 tahun paling banyak mencari kandungan pornografi dalam bentuk video cakera padat (DVD), cakera video digital (VCD) atau buku komik.

Dalam pada itu, kajian Universitas Islam Indonesia pula menyatakan kira-kira 90.7 peratus kes penderaan seksual dan rogol di Indonesia dilakukan oleh remaja dan 68.2 peratus remaja mengaku pernah melakukan hubungan seks.


GELAGAT Arifinto menonton video lucah semasa persidangan Dewan Perwakilan Rakyat dikatakan memalukan pemerintah Indonesia.


Masalah itu dikatakan berlarutan akibat kelonggaran undang-undang berkaitan dan tiada pendidikan sosial khas kepada remaja mengenai bahaya pornografi serta tiada sekatan menyeluruh ke atas media yang mengandungi elemen pornografi.

Undang-undang pornografi telah wujud di Indonesia sejak tahun 2008 tetapi pelaksanaannya dilihat kurang tegas. Penyebaran pornografi dalam pelbagai bentuk dilarang tetapi mereka yang melanggar undang-undang hanya dikenakan denda maksimum yang rendah.

Disebabkan itu, masih ada segelintir rakyat Indonesia yang masih menyebarkan kandungan pornografi kerana mereka yakin faedah yang mereka dapati lebih lumayan berbanding hukuman yang dikenakan.

Terlepas hukuman

Contohnya, dalam kes Budi Han, suspek utama dalam kes penyebaran gambar bogel dan video melalui Internet dan VCD beberapa pelakon Indonesia, seperti Sarah Azhari, Rachel Maryam, and Femmy Permatasari pada tahun 2003 tidak dikenakan hukuman penjara kerana polis tidak menemui VCD asalnya.

Polis juga bersetuju melepaskannya daripada sebarang hukuman walaupun dia didapati bersalah pada masa itu.

Masalah implementasi undang-undang antipornografi Indonesia turut dicacatkan oleh sejumlah kumpulan penentang di Indonesia yang membantah undang-undang pornografi di Indonesia atas alasan ia menyekat kebebasan beragama seperti ia menyekat pelbagai etnik budaya mengamalkan aktiviti tradisi mereka.

Undang-undang berkenaan mendefinisikan pornografi sebagai sesuatu yang bersifat ketelanjangan. Justeru, bantahan dibuat dengan mengemukakan beberapa alasan antaranya ia bakal menimbulkan isu mengenai pemakaian wanita Jawa Barat ketika melakukan tarian japongan dan wanita yang mengamalkan pakaian seperti berkemban di Jawa Tengah dan Jawa Timur.

Bagaimanapun, apabila video seks yang melibatkan ketiga-tiga artis Indonesia iaitu Ariel Peterpan, Luna Maya dan Cut Tari tersebar, ia mula menimbulkan kebimbangan masyarakat terhadap pengaruhnya kepada orang ramai khususnya golongan muda.

Jika sebelum ini pejuang hak asasi manusia dan kebebasan media massa sering membantah sebarang tindakan pemerintah untuk menyekat pengedaran bahan yang tidak sesuai melalui Internet dan sebagainya, tetapi kini mereka juga yang melahirkan rasa bimbang mengenai pengedaran bahan sedemikian tanpa kawalan.

Lantaran itu pemerintah Indonesia memutuskan untuk menggubal undang-undang bagi mengawal pengedaran bahan di Internet supaya kesan negatifnya dapat dikurangkan kepada masyarakat.

Tahun lalu pemerintah Indonesia mengumumkan sekatan ke atas empat juta laman porno di Internet setelah menerima desakan masyarakat secara berterusan berhubung perkara itu sebagai usaha melindungi golongan remaja daripada pengaruh pornografi.

Sekatan akses itu meliputi semua laman yang mengandungi bahan pornografi seperti aksi persenggamaan normal mahupun yang di luar tabie, aksi bogel, penampilan visual alat kelamin dan simbol-simbol pornografi.

Menteri Komunikasi dan Informatika Tifatul Sembiring berkata, langkah itu selaras dengan kehendak undang-undang antipornografi Indonesia yang diluluskan pada 30 Oktober 2008.

"Pada masa ini, kira-kira 90 peratus laman porno sedang disekat aksesnya, kami akan melakukannya berperingkat-peringkat sehingga semuanya disekat," katanya pada sidang akhbar di Jakarta tahun lalu.

Suruhanjaya Perlindungan Anak Indonesia misalnya telah menyatakan bahawa penyebaran video porno artis popular dan selebriti Indonesia Ariel, Luna Maya dan Cut Tari telah mendorong penontonnya memperkosa 33 orang kanak-kanak.

"Sekatan akses itu akan dikekalkan walaupun selepas bulan Ramadan, selagi undang-undang antipornografi berkuat kuasa," katanya.

Sekatan itu akan membabitkan semua kata kunci dalam pencarian yang boleh dikaitan dengan seks seperti 'bogel' dan seumpamanya.

Namun, ekoran gelagat Arifinto minggu lalu, timbul persoalan apakah sekatan yang dijalankan itu signifikan ke atas masyarakat Indonesia apabila kandungan-kandungan pornografi masih boleh dicapai dengan mudah.

Populasi tertinggi

Pensyarah Fakulti Pendidikan dan Kaunseling, Universiti Malaya (UM), Profesor. Madya Dr. Jas Laile Suzana Jaafar berpendapat, kegagalan Indonesia mengawal penyebaran kandungan pornografi adalah disebabkan status negara berkenaan sebagai antara negara yang mempunyai populasi tertinggi di dunia.

"Walaupun undang-undang diwujudkan, sukar mengawal penyebaran maklumat di Indonesia yang mempunyai jumlah penduduk melebihi 200 juta dan pada masa yang sama mempunyai sistem maklumat yang canggih," katanya.

Menurut Jas Laile, Indonesia boleh dianggap sebagai negara yang liberal, baik dari segi agama, pengamalan budaya dan pemecahan etnik yang terlalu banyak.

"Tidak seperti di Malaysia, dalam perlembagaan termaktub bahawa Melayu itu muslim tetapi di Indonesia adalah sebaliknya.

"Kebebasan yang mereka miliki merupakan peluang yang luas untuk pengaruh negatif seperti pornografi meresap masuk ke dalam masyarakat mereka sehingga sukar dikawal oleh kerajaan," katanya.

Bagaimanapun, keberkesanan pelaksanaan undang-undang boleh diperbaiki sekiranya kerajaan bersikap lebih tegas seperti negara-negara maju yang mengenakan hukuman berat ke atas pesalah pornografi secara menyeluruh.

"Masalah penyebaran pornografi berlaku di semua negara, tidak terkecuali Malaysia. Selain undang-undang yang tegas, menjadi tanggungjawab individu, ibu bapa dan masyarakat itu sendiri untuk mempunyai kesedaran mengenai bahaya pornografi.

"Sekiranya kerajaan itu sendiri sukar mengawal penyebaran pornografi, pengawalan sepatutnya bermula di rumah. Ibu bapa harus memantau aktiviti anak-anak setiap kali mereka menggunakan komputer," katanya.


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...