Saturday, April 16, 2011

Presiden PAS dianugerah Tokoh Alim Rabbani

M Faqih Foto Rizal Tahir

Ustaz Abdul Hadi Awang dipakai jubah sebagai Tokoh Alim Rabbani oleh Rektor Universiti Islam Yala, Dr Ismaillutfi

PATANI, 15 April: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah dianugerahkan dengan anugerah Tokoh Alim Rabbani oleh Universiti Islam Yala semalam.

Abdul Hadi Awang merupakan satu-satu tokoh ulama di luar Thailand dan rantau nusantara menerima anugerah Tokoh Alim Rabbani diperkenalkan Universiti Islam Yala (YIU).

Gelaran tokoh tersebut sama taraf dengan ijazah kehormat diperkenalkan sejak tujuh tahun lalu.

Kebiasaannya sebelum ini majlis penyampaian diadakan pada upacara hari pertama konvokenysn, namun senat YIU tidak mahu terkongkong dengan acara akademik semata-mata.

Sebelum ini anugerah serupa diberi kepada tokoh ulama yang banyak berjasa dalam bidang dakwah di empat wilayah selatan Thailand, terutamanya pengasas pusat pengajian pondok.

Pernah menerima anugerah itu Syeikhul Islam Negara Thailand dari Bangkok. Selain itu ulama terkenal dari Timur Tengah.

Penyampaian tokoh tersebut diadakan sempena program Multaqa Muslimat yang dianjurkan universiti terbabit di kampus Pattani, semalam.

Multaqa berkenaan berjaya menghimpunkan muslimat dari seluruh Thailand dan wakil dari Malaysia dan Indonesia.

Pihak penganjur memberitahu kira-kira 25,000 peserta di kalangan muslimat enyertai multaqa tersebut yang diadakan pada 13 dan 14 April lalu.

Rombongan presiden PAS dan kerajaan negeri Kelantan tiba di kampus tersebut kira-kira jam 12 tengahari disambut ribuan yang hadir.

Turut serta anggota-anggota Exco kerajaan Kelantan, Che Abdullah Mat Nawi, Dr Muhammad Fadhli Hassan, Setiausaha Politik Presiden, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Lajnah Hal Ehwal Hubungan Antarabangsa PAS, Mohd Faiz Md Nawi.

Rombongan bertolak dari Kota Bharu menyeberangi jambatan Muhibah di Sungai Golok. Perjalanan sejauh 210 km dari Kota Bharu singgah sekejap di pejabat Majlis Agama Islam Narathiwat dan diadakan pertemuan bersama Timbalan Yang Dipertuanya, Datuk Abdul Aziz Mamat.

Perjalanan ke Pattani diiringi peronda polis terpaksa melalui perpuluh-puluh sekatan jalan raya oleh tentera dan polis. Kelihatan ramai anggota tentera bersenjata M16.

Dekan Fakuliti Sastera dan Sains Kemasyarakat YIU, Prof Madya Sukree Langputeh berkata, pemilihan tokoh tersebut bukan mudah dilakukan senat universiti.

Katanya, tokoh yang diberi adalah pendakwah yang benar-benar menjadikan Islam sebagai amalan dalam kehidupan harian.

”Tuan Guru Abdul Hadi Awang merupakan tokoh Islam yang disegani di Asia Tenggara. Beliau menjadikan rutin hariannya menyampaikan dakwah kepada masyarakat.

”Selain beliau juga mengarang banyak buku mengenai agama yang menjadi rujukan umat Islam,” katanya ketika membaca biodata Presiden PAS sebelum upacara memakaikan jubah Tokoh Alim Rabbani diadakan.

Pemakaian mislah (jubah) dilakukan Rektor YIU, Dr Ismaillutfi. Ia turut disaksikan Timbalan Presiden Pentadbiran Wilayah Selatan Thailand, Harapabara, Gabenor Pattani, Nipon Narapitakkul serta dan peserta multaqa.

Dua aktivis dari Kelantan turut menyampaikan ceramah pada program berkenaan iaitu Adun Gaal, Dr Nik Mazian Nik Mohamad dan Dr Hafizah Mustaqim dari USM, Kubang Kerian.

Perasmian penutup pada sebelah petang disempurnakan Presiden Pentadbiran Wilayah Selatan, Said Nasir al Yufri.


http://bm.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&view=article&id=2814:presiden-pas-dianugerah-tokoh-alim-rabbani-&catid=34:primary&Itemid=56

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...