Tuesday, August 16, 2011

Bersih mahu heret SPR ke mahkamah

Posted by admin on August 15th, 2011

Kecewa dengan cara Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangani penyelewengan dan kecelaruan dalam daftra pemilih yang didedahkan media, BERSIH 2.0 bercadang mengheret suruhanjaya itu ke mahkamah.Pengerusinya, Datuk Ambiga Sreenevasan percaya apa yang dilakukan SPR dengan sewenang-wenangnya memadam atau meminda butiran pengundi sebagai tindakan yang tidak sah.
“Saya tidak pasti mereka sebenarnya boleh melakukannya – hanya membuang nama dan meletakkan nama dan menukar beberapa perkara. Mereka akan dakwa bahawa mereka beroperasi di bawah peraturan-peraturan yang melayakkan mereka memperbetulkan kesilapan pengkeranian,” katanya.

“Tetapi ini bukan kesilapan pengkeranian … jadi saya tidak pasti apa undang-undang yang mereka gunakan untuk melakukan pembersihan ini yang mereka kata mereka lakukan setiap hari.”

Ambiga merujuk tindakan SPR yang mengeluarkan nama-nama ‘pengundi klon’ daripada daftar pemilih setelah didedahkan oleh Malaysiakini.

Pengundi klon merujuk kepada orang-orang yang mempunyai dua catatan dalam daftar pemilih, berdasarkan nama yang sama tetapi dengan nombor MyKad yang berbeza.

Sebelum ini, pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Yusof menjelaskan bahawa isu dua identiti berkenaan adalah kerana kesilapan manusia apabila nombor MyKad yang dimasukkan ke dalam sistemnya.

Bagi menangkis dakwaan bahawa terdapat ‘pengundi hantu’ dalam daftar pemilih, Abdul Aziz berkata SPR akan mengeluarkan 12,000 nama pengundi yang berumur 90 tahun dan ke atas.

Dalam perkembangan berkaitan hari ini, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pembentukan satu jawatankuasa pemilih secepat mungkin untuk meneliti status sistem pilihan raya ekoran kritikan dan dakwaan wujudnya kepincangan dan kecacatan.

Perdana Menteri berkata jawatankuasa itu akan dianggotai oleh wakil Barisan Nasional (BN) and Pakatan Rakyat.

Minggu lalu Pakatan Rakyat memberi tempoh tujuh hari agar Najib memanggil satu sidang khas Parlimen bagi membincangkan isu berkaitan.

Bersih 2.0 mengadakan perhimpunan 9 Julai lalu dengan meletakkan lapan tuntutan pembaharuan sistem pilihan raya.

“Jawatankuasa pemilih Parlimen akan dibentuk dalam waktu terdekat dan ia akan terdiri daripada wakil kerajaan dan pembangkang,” kata Najib.


http://www.kl-today.com/2011/08/bersih-mahu-heret-spr-ke-mahkamah/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...