DAP tetap komited bersama PAS dan PKR untuk memastikan kejayaan Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke 13 bagi mengembalikan hak warga negara seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama.Penasihat Lim Kit Siang berkata, DAP berjuang untuk membawa perubahan fundamental bagi membuka langkah memajukan sumber guna tenaga dan kemahiran bagi menjadikan Malaysia sebuah negara yang bersatu padu dan maju.
“DAP bukannya parti Cina berjuang untuk kepentingan masyarakat Cina. Tetapi sebuah parti Malaysia yang berjuang untuk kepentingan semua, sama ada Cina, Melayu, India, Iban, Kadazan atau Orang Asli sebagai rakyat biasa yang mempunyai hak sama rata,” kata beliau.
Lim berkata, para pemimpin DAP telah bertungkus lumus dan melakukan banyak pengorbanan hanya kerana berpegang teguh dengan perjuangan politik mereka sejak 45 tahun yang lampau.
“Mereka (para pemimpin DAP) pernah didakwa dan dianiaya di mahkamah, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (yang paling lama empat tahun sembilan bulan) dan dipenjara.
“Mereka juga dibatalkan sebagai ahli Parlimen dan diharamkan dari memegang jawatan selama lima tahun kerana bertegas dalam perkara-perkara prinsip, berjuang untuk kepentingan rakyat Malaysia yang melangkaui sempadan bangsa dan agama.
“Setelah membuat pengorbanan dan melalui kesengsaraan ini tidak mungkin DAP dapat menggantikan MCA dalam Barisan Nasional.
Oleh itu, persoalan DAP menyertai BN tidak timbul,” tegas Ahli Parlimen Ipoh Timor itu.
Lim berkata demikian dalam blognya hari ini berhubung undangan yang dibuat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nazri Aziz kelmarin agar DAP menyertai BN.
Mengulas perkara ini, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek berkata, besar kemungkinan DAP tidak akan menyertai BN memandangkan DAP boleh menonjolkan dirinya sebagai jaguh apabila berada “di luar” kerajaan.
Komen Nazri disiarkan oleh akhbar Sin Chew Daily semalam dan beliau menambah, Perikatan (kini BN) pada 1969 lalu mengundang Gerakan menyertai Perikatan apabila parti itu menang di Pulau Pinang.
Nazri pula petang tadi menafikan yang beliau ada mempelawa DAP agar menyertai Barisan Nasional (BN) bagi menarik sokongan pengundi Cina kepada perikatan kerajaan pusat itu.
“Tidak, itu tidak benar. Saya tidak mempelawa DAP,” katanya sambil menambah, “MCA mesti bekerja keras” apabila ditanya bagaimana BN akan mendapatkan balik sokongan pengundi Cina.
http://www.kl-today.com/2011/08/dap-tetap-bersama-pas-dan-pkr/
No comments:
Post a Comment