Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan Jabatan Agama Islam (JAIS) agar tidak mengadakan pertemuan dengan mana-mana pihak termasuk PAS berhubung pemeriksaan jabatan berkenaan terhadap sebuah gereja di Petaling Jaya baru-baru ini.Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, nasihat berkenaan dibuat bagi memastikan maklumat kes tersebut yang kini masih berada dalam siasatan tidak terlepas kepada pihak luar.
“Memang kita minta bertemu dengan JAIS hari ini, tetapi berdasarkan jawapan yang diberikan JAIS secara bertulis atas beberapa perkara kerana kes ini masih dalam siasatan.
“Malah atas nasihat Sultan supaya JAIS tidak lagi bertemu dengan mana-mana pihak untuk menjaga maklumat siasatan itu (agar) tidak terlepas kepada pihak-pihak yang lain,” katanya pada sidang media di sini, Isnin.
Bagaimanapun Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, PAS tetap menaruh harapan agar pertemuan dengan JAIS dapat diadakan bagi mendapatkan maklumat sebenar berhubung insiden berkenaan.
“Kami tetap mengharapkan dapat bertemu (JAIS) kerana nak dengar daripada pihak mereka sendiri. Kami akan terus mengharap agar JAIS bersedia bertemu dengan PAS,” katanya.
Ditanya mengenai pendirian PAS berhubung tindakan JAIS, Mahfuz berkata penjelasan mengenainya hanya akan dapat dibuat selepas pertemuan diadakan.
“Kita nak tahu apa sebenarnya. Kita nak jumpa JAIS, nak jumpa gereja. Sekarang ada macam-macam dakwaan, JAIS kata tak serbu, gereja kata serbuan.
“Sebab itu perlunya kita jumpa kedua-dua pihak untuk dapatkan penjelasan,” katanya.
Selain itu Mahfuz turut menggesa JAIS menyiapkan laporan berhubung insiden berkenaan secepat mungkin bagi mengelakkan sebarang spekulasi.
“Kita minta JAIS mempercepatkan proses siasatan. Saya difahamkan laporan itu hanya akan siap selepas raya, ia satu tempoh yang begitu lama dan ini akan menimbulkan pelbagai kontroversi yang tidak baik kepada banyak pihak.
Pada 3 Ogos lalu, pasukan penguat kuasa JAIS menjalankan pemeriksaan di Dream Centre milik Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) berikutan terdapat aduan mengenai majlis berbuka puasa dianjurkan di rumah ibadat itu.
Ketika pemeriksaan dilakukan kira-kira jam 9 malam, kelihatan seseorang sedang mengadakan pengucapan awam yang ucapannya ada diselitkan perkataan al-Quran dan terdapat bukti kegiatan penyebaran agama bukan Islam terhadap penganut agama Islam.
Terdapat seramai 12 orang yang beragama Islam menghadiri majlis tersebut namun tiada tangkapan dibuat.
Bagaimanapun, insiden itu mendapat kritikan pelbagai pihak termasuk pemimpin PAS sendiri.
http://www.kl-today.com/2011/08/sultan-arah-jais-siasat-secara-dalaman/
No comments:
Post a Comment