Saturday, August 13, 2011

Hubungan antara etnik merosot?

Posted by admin on August 13th, 2011

Rakyat Malaysia berpandangan bahawa hubungan etnik di negara telah mengalami kemerosotan berbanding situasi lima tahun lalu, demikian menurut hasil kajian terbaru kendalian Merdeka Center hari ini.Hasil kajian ini muncul ketika negara berhadapan dengan kontroversi terbaru berkaitan dengan serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Gereja Methodist Damansara Utama minggu lalu.

Awal tahun lepas beberapa gereja, masjid dan kuil Sikh menjadi sasaran vandalisme susulan isu kalimah Allah.

Negara akan menyambut ulang tahun sambutan Hari Kemerdekaan akhir bulan ini dan Hari Malaysia pada 16 September.

Kajian membabitkan 1,013 rakyat Malaysia menunjukkan hanya 66 peratus responden berpendapat hubungan kaum berada di kedudukan “baik” — penurunan sebanyak 15 peratus berbanding 78 peratus direkodkan pada 2006.

Malah kajian itu mendapati hanya lebih sedikit daripada satu pertiga percaya bahawa wujud sentimen “perpaduan kaum yang jujur dan mesra” — menurun daripada 54 peratus lima tahun lalu.

Mereka yang beranggapan bahawa perpaduan ‘berpura-pura’ pula meningkat daripada 29 peratus kepada 44 peratus.

Kajian terbaru ini dikendalikan antara 24 Mei dan 8 Jun lalu. Ia merupakan susulan kepada kajian yang dikendalikan pada Jun 2006.

Daripada 1,013 orang yang ditemu bual itu, 602 orang merupakan Melayu, 322 Cina dan 89 India.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini, Merdeka Center berkata, peratusan rakyat Malaysia yang berpandangan bahawa negara berada dalam persekitaran “semakin dekat” di kalangan pelbagai kaum menurun daripada 64 peratus pada 2006 kepada 36 peratus tahun ini.

“Hanya 37 peratus berpandangan bahawa hubungan etnik akan bertambah baik dalam 10 tahun akan datang, berbanding 43 peratus pada 2006,” kata kenyataan Merdeka Center.

Firma itu menambah pendirian ragu-ragu ini kemungkinan disebabkan liputan media yang meluas mengenai politik kaum dan agama, selain insiden-insiden yang berlaku sejak 2008 termasuk kejadian membakar rumah ibadat, debat awam mengenai buku teks sekolah dan kenyataan-kenyataan kontroversi oleh sesetengah personaliti.


http://www.kl-today.com/2011/08/hubungan-antara-etnik-merosot/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...