Riduan Mohd Noor
Zakat merupakan terjemahan daripada keadilan sosial yang telah digariskan oleh Islam sehingga zakat dan solat adalah penegasan yang sentiasa berulang-ulang dalam Al Quran. Jika proses penyempurnaan zakat ini berjalan dengan tuntas maka insyaallah segala inti kemiskinan dapat dihapuskan, begitu juga kesenjangan pendapatan, kesenjangan sosial, keterbatasan mengakses kesihatan, kebodohan, kemurtadan dapat diatasi.
Di negara kita, malangnya pihak pengurusan zakat tidak menunjukkan tahap pengurusan yang cekap dalam mengagihkan zakat sehingga menimbulkan masalah yang lain pula seperti yang tercetus dalam isu murtad yang digembar gembur oleh Umno dan NGOnya mutakhir ini.
Ratusan wang zakat dikutip daripada umat Islam melalui kempen agresif oleh pihak berkuasa zakat namun agihannya secara merata agak mengecewakan, pihak penguasa zakat begitu obses untuk mengutip zakat tetapi tidak begitu mempunyai nafsu berahi untuk mengagihkannya ke akar umbi ‘mustahik’ yang wajib disantuni.
Program-program dakwah dan menyantuni golongan gelandangan sangat perlahan di negara ini. Lihatlah kes murtad yang berlaku di perkampungan-perkampungan orang asal dan juga mualaf yang kembali ke agama asal mereka akibat rasa dikucilkan serta hidup tanpa pencerahan tentang Islam, dimana sepatutnya pihak berkuasa zakat boleh menyediakan pendakwah-pendakwah sepenuh masa yang berkhidmat di kampung-kampung orang asal ini.
Dalam kelemahan inilah maka pihak agama lain mengambil kesempatan turun ke lapangan operasional membantu golongan yang sangat terdesak dan terkepung dengan kemiskinan tegar, terutama melalui NGO kebajikan mereka. DPP Malaysia melihat isu zakat adalah inti kepada akar sosial permasalahan murtad yang berlaku, juga agihan yang tidak seimbang k epada asnaf zakat sehingga menjerumuskan golongan ini kepada situasi yang tidak diingini.
Kemakmuran dan kejayaan zakat pada masa kejayaan Islam, cukup banyak fakta sejarah yang menunjukkan kebenaran hadis Rasulullah s.a.w. di atas. Dr monzer kahf dalam artikelnya “The economic role of state in Islam(1999)” telah menulis, pada era kegemilangan khalifah Umar bin Khattab (13H-23H), sang khalifah pernah menyelamatkan wilayah Yaman sebagai daerah otonomi yang makmur dan sejahtera kerana tidak adanya mustahik (penerima Zakat).
Ini dibuktikan dengan fakta bahawa gabenor Yaman saat itu, Mu’adz bin jabal, mengirim sepertiga jumlah zakat dari Yaman ke ibu kota pemerintahan Islam, madinah. Yaman terus mencurah kemakmuran dan keberkatan langit, iaitu pada tahun berikutnya, zakat yang dikirimkan ke Madinah terus meningkat menjadi separuhnya. Pada tahun berikutnya, semua hasil zakat yang dikutip dari wilayah Yaman terus dikirim ke Madinah. Yaman merdeka setuntasnya daripada masalah kemiskinan dan kemelaratan, ini semua kerana tidak ada lagi warganegaranya yang layak menjadi” mustahik”.
Bukti kedua yang terakam dilangit sejarah, terjadi pada masa khalifah Umar bin Abdul Aziz (99H-101H). Meski khalifah Bani Umaiyyah ini hanya memerintah dan memimpin umah hanya selama tiga tahun beberapa bulan, tapi pada dua tahun terakhir kepimpinannya, Umar yang juga cicit Saidina Umar al Khattab telah berjaya memberdayakan dan mengoptimalkan peranan zakat. Pemerintah dalam keadaan yang sangat aman apabila zakat diuruskan dengan cekap dan berjaya menutup kegelisahan sosial.
DPP Malaysia mendesak kepada pihak berkuasa zakat dan kerajaan agar serius memikirkan kaedah terbaik untuk memastikan agihan zakat dapat dialirkan dengan semaksima mungkin kepada asnaf, bukan sekadar cekap memungut kerana zakat adalah solusi terbaik untuk memastikan tanahair ini bebas daripada kemiskinan melampau, buta agama, kesenjangan sosial dan seterusnya memacu ekonomi umat Islam untuk terus berdaya saing dalam dunia global hari ini .
Riduan Mohamad Nor ialah Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Malaysia
http://www.kl-today.com/2011/08/isu-gereja-institusi-zakat-yang-tempang/
No comments:
Post a Comment