Saturday, August 27, 2011

Pembangunan Malay Basin Utara

Friday, 26 August 2011 01:55 Editor

- Kelantan Tidak Boleh Diketepikan
Saya merujuk kepada laporan media pada 23 Ogos yang memetik kenyataan Petronas mengenai pembangunan pengeluaran gas di utara Malay Basin yang akan disalurkan dengan paip lautan yang baru sejauh 200 km ke Kerteh,Terengganu yang keseluruhannya bernilai RM 15 bilion.

Suka diingatkan bahawa utara Malay Basin dengan blok-blok yg disebutkan iaitu PM 301 ,PM 302 ,serta telaga Bergading adalah sepenuhnya berada dalam perairan Kelantan dan tidak bertindih dengan mana-mana negeri atau negara yang lain. Jaraknya dengan pantai Kelantan hanya 150km dan paling hampir berbanding Terengganu.

Adalah tidak wajar Kelantan tidak dirundingi dalam hal ini. Juga adalah tidak wajar sekali lagi Kelantan dipinggirkan dari mendapat faedah secara langsung daripada pembangunan hasil mahsul yang dianugerahkan Allah tersimpan di perut buminya.

Dalam hal ini, adalah elok Petronas meneliti semula dokumen cadangan kerajaan negeri Kelantan supaya gas ini di daratkan di Bachok,Kelantan.

Kerajaan negeri bersedia memberikan segala kemudahan bagi tujuan itu termasuk teknologi terkini yang mampu memproses gas dengan kandungan karbon yang tinggi dengan kos lebih murah dan dengan itu loji pemprosesan dapat ditempatkan di sini.

Kerajaan negeri akan berbuat apa sahaja Insyaallah supaya hasil mahsul Kelantan ini tidak sekali lagi diangkut keluar tanpa memberikan apa-apa faedah kepada rakyat dan negeri Kelantan.

Salam Ramadhan dari Masjidil Haram.

Wassalam.

Dato' Husam Musa
-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan
-Pengerusi JK Tuntutan Royalti Petroleum Kelantan
-Naib Presiden PAS

25 Ramadan 1432
Mekah



http://www.buletinonline.net/index.php?option=com_content&view=article&id=3973:-pembangunan-malay-basin-utara-kelantan-tidak-boleh-diketepikan&catid=51:kenyataan-media

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...