There was an error in this gadget

Friday, September 2, 2011

Sambut merdeka macam sambut ulang tahun Umno

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Ogos: Kesan daripada kerajaan menjadikan sambutan kemerdekaan negara seperti menyambut ulang tahun kelahiran Umno, maka rakyat begitu hambar untuk menyambut kemerdekaan negara.

“Bukan rakyat tidak patriotik, tetapi rakyat mual dengan Umno.

“Inilah yang terjadi apabila negara menyambut kemerdekaan, seolah-olah negara merdeka hasil perjuangan Umno sahaja,” kata AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Justeru, katanya ke mana pergi nama-nama yang mempelopori kemerdekaan negara seperti Dr Burhanudin al-Helmi, Ibrahim Yaakob, Ustaz Abu Bakar al Baqir, Ahmad Boestamam dan lain-lain lagi.

“Kenapakah nama-nama mereka digelapkan daripada sejarah negara ini?” soalnya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Sebaliknya, kata beliau yang diuar-uarkan ketika menyambut kemerdekaan ialah tokoh-tokoh Umno.

Pada hal, ujarnya kewujudan Umno hanyalah kerana menentang Malayan Union 11 Mac 1946, malahan slogan Umno peringkat awal ialah Hidup Melayu.

Menurutnya, laungan kemerdekaan hanya dilaungkan oleh Tunku Abdul Rahman pada 5 April 1953 di Persidangan Agung Pemuda.

Maknanya, kata beliau Umno begitu lambat untuk menyuara kemerdekaan.

Pada hal, tambahnya golongan yang tidak mahu berkompromi dengan British sudah lama menyuara kemerdekaan seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (1945), Hizbul Muslimin (1948).

Ini, katanya tentu rakyat bertanya siapa pemimpin Umno yang diburu oleh penjajah ketika memperjuangkan kemerdekaan

“Ini membuktikan Umno ialah anak emas penjajah,” ujarnya lagi.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5171-sambut-merdeka-macam-sambut-ulang-tahun-umno

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...