Friday, September 2, 2011

Umno padam jasa agamawan nasionalis

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 1 Sept: Kefahaman bahawa hanya Umno memperjuangkan kemerdekaan negara seperti dicanang pihak tertentu untuk mendapat sokongan orang Melayu sama sekali tidak benar, kata Dr Dzulkefly Ahmad.

Malah kata ahli parlimen Kuala Selangor itu, gologan agamawan nasionalis yang dicop sebagai penentang atau gologan kiri oleh British juga merupakan pejuang kemerdekaan sebenar, namun tidak diangkat dalam sejarah.

Mereka seperti Tok Janggut yang menentang British di Kelantan, Tok Ku Paloh dan Haji Abdur Rahman Limbong di Terengganu, Datuk Bahaman di Pahang dan beberapa pejuang lain yang sanggup menggadai nyawa menentang penjajah.

Selain itu tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan negara yang lain seperti Dr Burhanudin al-Helmi, Ibrahim Yaakob, Abu Bakar al Baqir, Ahmad Boestamam juga seolah-olah dinafikan jasa mereka menentang penjajah.

“Pada saya, sebenarnya perlu kepada penziarahan semula sejarah kemerdekaan atau 'revisit history of independence' kita kerana sejarah atau naratif yang ada pada hari ini hanya ditulis dari satu sisi pandang iaitu dari pihak Umno BN yang diberi kuasa oleh penjajah British. Ia terlalu sempit atau ‘skewed’ dan tidak punya ‘intellectual honesty dan integrity’ yang sebenarnya.

“Kita menerima nasionalis berunding meja bulat dengan British kemudiannya diberi kuasa, namun kita juga perlu mengiktiraf dan merakamkan perjuangan agamawan nasionalis dan golongan kiri yang turut berjuang memerdekakan negara dari British,” katanya.

Menurut sejarah, dalam pertempuran dengan British di Kampung Pupuh, Tok Janggut dibunuh dan mayatnya dibawa ke Kota Bharu dalam kereta lembu yang menelan masa sehari.

Kemudian mayat beliau digantung secara terbalik beberapa hari di depan istana di Padang Bank (Padang Merdeka) sebelum dikebumikan di Pasir Pekan.

Haji Abdur Rahman Limbong pula dilabel sebagai sebagai penderhaka kepada kerajaan Terengganu dan ditangkap dan dibuang ke Singapura dan selanjutnya dibuang ke Mekah dalam tahun 1928 dan meninggal dunia selepas itu.

"Umno buat apa, berunding meja bulat sahaja, ini Tok Janggut, Abdul Rahman Limbong, Tok Ku Paloh, Datuk Bahaman berjuang angkat senjata lawan British bukan ikut telunjuk British," tambahnya lagi.

Bkt Kepong: Polis mangsa keadaan

Mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang dimainkan akhbar Umno berhubung serangan terhadap anggota polis di Bukit Kepong pula, Dzulkefly berkata anggota polis tersebut terperangkap sebagai mangsa keadaan.

Biarpun serangan itu adalah terhadap British, namun anggota polis tersebut menjadi mengsa kerana mereka pada waktu itu berkhidmat untuk British dan memerangi mereka yang menentang British.

Utusan dalam laporan muka depannya baru-baru ini menyiarkan Mohamad Sabu sebagai mendakwa Muhammad Indera, lelaki yang bersekongkol dengan Goh Pen Tun dan 200 anggota komunis yang menyerang Bukit Kepong adalah hero sebenar, bukannya 25 anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan di balai tersebut.

Turut mengecam Mohamad termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, timbalannya Muhyiddin Yassin dan terbaru mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mohamad dalam satu sidang akhbarnya di Perlis kemudiannya menafikan perkara itu dan mendakwa kenyataannya telah diputarbelitkan dan mendapati apa yang dilaporkan oleh akhbar Umno, Utusan Malaysia berkaitan dengan tragedi Bukit Kepong adalah fitnah terhadap beliau dan PAS.


http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/5175-umno-padam-jasa-agamawan-nasionalis

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...