Bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang kelmarin diselar oleh Dewan Pemuda PAS berkenaan kenyataan berkaitan dengan isu konsert artis Elton John berkata, sayap parti Islam itu wajar memperlihatkan sikap yang demokratik kerana pihak berkenaan bercita-cita mahu menjadi kerajaan.“Apabila PAS bercita nak jadi kerajaan, sudah pasti rakyat akan memberikan pandangan kepada mereka sepertimana mereka sering mengkritik kerajaan yang ada sekarang.
“Maka, Pemuda PAS wajar memperlihatkan sikap yang demokratik sebelum memerintah,” kata beliau dalam satu ulasan yang diemel kepadaThe Malaysian Insider.
Asri yang kini berada di Pusat Pengajian Islam Oxford sebagai felo menambah, mendengar cadangan rakyat dengan baik dan menolak dengan baik jika tidak bersetuju adalah sangat penting diamalkan oleh kepimpinan parti itu.
Justeru katanya, sikap cabar-mencabar kerana enggan menerima sesuatu cadangan hanya menunjukkan sikap kurang terbuka.
“Itu bukan contoh atau petanda yang baik untuk mereka yang ingin membentuk kerajaan yang demokratik,” katanya.
Bagaimanapun dalam ulasannya, Asri menambah Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan telah menghantar e-mel menyatakan beliau seorang terbuka dengan teguran cuma kurang setuju dengan perkataan Taliban.
“Saya pun ucapkan terima kasih kepada beliau,” katanya.
Ketika bercakap kepada The Malaysian Insider semalam, Nasrudin mempertahankan kenyataan pihaknya mengenai konsert itu bulan ini sambil menegaskan, saya muda parti Islam bukan “Taliban dan tidak meniru pendekatan Taliban.”
Malah kata beliau, Dewan Pemuda PAS juga bukan ekstrem dan menjadi hak mereka untuk mengatakan pendirian mereka tidak bersetuju dengan penganjuran konsert-konsert yang tidak sihat di negara ini.
“Jangan salah faham… kami bukan Taliban, kami juga tidak pernah meniru cara Taliban. Pandangan yang kami lahirkan bukan bermaksud kita bertindak ekstrem, menghalang sesiapa daripada menghadiri konsert, menyerang mana-mana pihak (yang menghadiri konsert)… tidak, tidak,” kata beliau.
Dalam laporan dibawa The Malaysian Insider pagi semalam, Asri yang semalam diselar Pemuda PAS sebagai “keterlaluan” menegaskan, beliau tidak pernah mengatakan PAS sebagai Taliban, kecuali menasihatkan parti Islam itu agar “jangan tiru Taliban” dalam pendirian mereka menentang konsert artis itu di Malaysia bukan depan.
Nasrudin menyelar Asri yang mengaitkan sayap itu dengan Taliban ekoran pendirian mereka membantah penganjuran konsert artis, yang dikaitkan dengan amalan gay, di Genting Highlands akhir bulan ini.
Sambil menganggap pandangan Asri sebagai “belum mengenali Pemuda PAS”, Nasrudin berkata, bekas mufti itu juga boleh memberi tanggapan salah masyarakat terhadap sayap PAS.
http://www.kl-today.com/2011/11/asri-pas-kena-serlah-sikap-demokratik/
No comments:
Post a Comment