Tuesday, November 1, 2011

NAJIB LESU PUNCA PPSMI TIMBUL SEMULA?

POSTED BY ADMIN ON OCTOBER 31ST, 2011

Tiada jawapan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak antara punca mengapa isu Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) tidak selesai sehingga kini.Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP), Profesor Dr Shaharir Mohamad Zain berkata, usaha pertubuhan itu untuk menemui Najib bagi membincangkan isu itu juga buntu kerana beliau sentiasa ‘sibuk’.

Shaharir berkata demikian mengulas kenyataan Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (Page) semalam yang mahu supaya pilihan terhadap dasar tersebut diberikan kepada ibu bapa.

“Kita mahu jawapan segera dari Datuk Najib mengenai isu ini kerana Page sebelum ini mendakwa Perdana Menteri ada mengeluarkan kenyataan kerajaan sedang menimbang untuk melaksanakan dwi-bahasa di sekolah bagi menyelesaikan isu PPSMI.

“Sebab itu kami berpandangan antara punca mengapa kumpulan Page desak PPSMI tidak dimansuh, kerana masih ada pemimpin tertinggi negara dari parti Umno yang menyokong PPSMI dikekalkan,” kata Fellow Penyelidik di Pusat Dialog Universiti Malaya dan bekas Profesor matematik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu.

Beliau turut menegaskan, Page adalah suara minoriti dan tidak mewakili suara sebenar rakyat Malaysia yang membantah PPSMI.

“Kita jangan layan kumpulan Page ini, kerana desakan mereka agar subjek Matematik dan Sains diajar dalam dwi bahasa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan kata pengantar di sekolah-sekolah kerajaan mestilah dalam Bahasa Melayu,” katanya ketika dihubungi Keadilandaily.com hari ini.

Sementara itu, Pengarah Biro Pendidikan KEADILAN, Abbas Awang berkata, kenyataan Page itu bertentangan dengan suara majoriti persatuan ibu bapa dan guru di seluruh negara.

Ini kerana katanya, Muafakat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Nasional yang dianjur sebelum ini sepakat menolak PPSMI.

“Pada mesyuarat itu, PIBG seluruh negara membantah dasar PPSMI dan kami berpendapat bahawa keupayaan pelajar untuk menguasai Matematik dan Sains lebih mudah jika ianya diajar dalam bahasa ibunda masing-masing,” katanya.

PPSMI diperkenal sejak 2003 ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad dan ditentang tokoh-tokoh bahasa, budayawan dan cendikiawan kerana dianggap memperlekeh bahasa Melayu dan bahasa ibunda sebagai bahasa ilmu.

Kemuncak penentangan itu pada 7 Mac 2009, GMP yang dipimpin bekas pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Allahyarham Datuk Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara Datuk A Samad Said, memimpin ribuan penunjuk perasaan membanjiri jalanraya.

Buat pertama kalinya, golongan seniman dan budayawan pelbagai bangsa – yang dilihat berdiam diri terhadap dasar kerajaan selama ini – bangkit menuntut pemansuhan PPSMI.

Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah mengesa semua pihak menerima pemansuhan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dengan `berlapang dada’.

Pengerusinya, Shamsul Bahar Abdul Rani berkata, semua pihak terutama mereka yang berkepentingan kini perlu menumpukan kepada langkah mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris melalui pemantapan silibus mata pelajaran itu sendiri.

“Polemik yang berlaku dalam isu ini membuang masa dan harus dihentikan segera. Apa yang penting sekarang adalah pelan yang komprehensif di bawah sistem pendidikan negara untuk melengkapkan pelajar dengan ilmu Sains dan Matematik,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Justeru, Shamsul Bahar berkata, GPMS Kedah turut mencadangkan supaya hasil perbincangan Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem Pendidikan mengenai perkara itu dikongsi ke pengetahuan umum.

Setelah kecewa rayuan mereka tidak dilayan oleh kementerian pelajaran, PAGE hari ini mendesak agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak campurtangan bagi mempertimbangkan semula pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) secara pilihan di sekolah.

Noor Azimah berkata, berikutan itu pihaknya menghantar satu memorandum kepada Najib agar perkara tersebut dipertimbangkan semula.

“Kita sudah serah memorandum tersebut yang diterima oleh pegawai khas Perdana Menteri dan dalam kandungannya kita mengatakan bahawa polisi PPSMI adalah cukup elok dan diterima masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

http://www.kl-today.com/2011/10/najib-lesu-punca-ppsmi-timbul-semula/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...