Sunday, July 19, 2009

Krisis moral umat Islam

KUALA LUMPUR: “Ia umpama satu lagi bala kepada umat Islam negara ini. Perbuatan itu (pak sanggup) menunjukkan krisis moral yang sangat teruk.”

Demikian tegas pendakwah bebas dan perunding motivasi, Datuk Md Daud Che Ngah, mengulas sikap individu yang merelakan diri menjadi ‘pak sanggup’ untuk perkahwinan yang bersifat sementara semata-mata mendapat habuan wang dan kemewahan.


Daud berkata, dilema ini berlaku kerana individu terbabit sangat cetek ilmu agama dan lemah iman hingga sanggup diperkudakan bagi tujuan menutup aib orang lain.

Katanya, mereka sepatutnya sedar perkahwinan bukan perkara yang boleh dipermain-mainkan dalam Islam dan perbuatan mereka itu amat dilaknati Allah.

“Ada hadis menyebut perkahwinan yang demikian diharamkan. Tidak boleh sekadar kahwin sekejap kemudian berpisah atas sebab habuan dan perjanjian tertentu, itu sudah tidak menepati syarat mengapa perkahwinan itu didirikan.

“Perkahwinan dalam Islam bukan perkara kecil. Sebab itu ada pepatah mengatakan berkahwin ibarat mendirikan sebuah masjid, ia sesuatu yang bermanfaat dan jangan cuba mempermainkan hal yang berkaitan dengan agama,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan, Ekonomi dan Sosial Islam Malaysia (Pekesim), Ghafar Nin, mengakui fenomena individu yang menjadi ‘pak sanggup’ ini bukan ‘penyakit’ baru dalam masyarakat.

Katanya, ia akan memalukan orang Islam sendiri jika tidak dicegah dan mencerminkan identiti serta imej masyarakat yang rosak akhlak.

“Untuk menangani masalah sedemikian memang cukup rumit. Pihak berkuasa dan jabatan agama tidak boleh berbuat apa-apa kerana ia di luar kawalan.

“Kesedaran sebenarnya hanya ada dalam diri individu itu sendiri, iaitu perlu ada kekuatan sahsiah dan iman untuk menghindari perbuatan sebegini. Cuba kenali apa itu dosa dan pahala, itu saja penyelesaiannya,”
katanya.

Bagaimanapun, Ghafar berkata, ada kes membabitkan keluarga tertentu yang berbuat demikian iaitu mencari ‘pak sanggup’ untuk mengahwinkan anak gadis mereka yang mengandung kerana terlanjur.

“Sekiranya gadis itu bersetuju dan lelaki yang ingin berkahwin itu benar-benar ingin memperisterikannya, ia tidak menjadi masalah. Malah, ia lebih digalakkan untuk menyelamatkan gadis berkenaan daripada terus bergelumang dosa.

“Jika menjadi ‘pak sanggup’ untuk mendapat habuan wang dan kemewahan, maka ia sudah menjadi perbuatan yang salah dan berdosa,”
katanya.

‘Ikat perut’ enam tahun

Oleh FUAD HADINATA YAACOB
hadinata@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal berusia 45 tahun terpaksa mengikat perut sejak enam tahun lalu apabila berhabis lebih RM200,000 hanya untuk menyelesaikan kes mahkamah membabitkan dirinya dan bekas suami.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Zana itu berdepan dengan pelbagai kes sejak 2003 lagi seperti perceraian, tuntutan nafkah serta anak dan sivil.

Ibu tiga anak itu, berkata sejak dia bercerai dengan suami pada 2003, pelbagai kes lain timbul yang memerlukan kos tinggi untuk menyelesaikannya.


“Saya bercerai 2003 dan sejak itu pelbagai kes timbul. Kes yang masih dalam perbicaraan ialah bekas suami menuntut anak, tuntutan nafkah saya kepada bekas suami dan kes sivil iaitu pinjaman ketika kami suami isteri yang sehingga kini bayarannya tertunggak,” katanya.

Zana yang bekerja sendiri, berkata pendapatan dan wang simpanannya habis digunakan untuk menyelesaikan kes berkenaan, malah dia kini hilang punca untuk mendapatkan bantuan.

“Saya kini begitu terdesak apabila tidak mempunyai wang lagi untuk mendapatkan peguam kerana semua wang yang ada sudah digunakan sebelum ini.

“Bayangkan setiap kali ke mahkamah, sekurang-kurangnya saya perlu bayar RM100, malah untuk buka satu fail kes saja berjumlah RM3,000, belum lagi kos bayaran peguam dan lain-lain.


“Sebagai ibu tunggal yang ada tiga anak, saya tidak tahu hendak buat macam mana untuk menyelesaikan kes ini kerana jika tidak, kehidupan saya akan bertambah teruk dan susah lagi,”
katanya.

Menurutnya, kes mahkamah yang berlarutan dan sering tertunda, antara punca wanita itu tertekan selain terpaksa mengupah peguam untuk kes yang berbeza.

“Apabila kes ini berlarutan, kerja saya terganggu. Jika tidak bekerja, bagaimana hendak dapat duit membayar kos perbicaraan.

“Dalam kes ini, di mana saya hendak mengadu dan kepada siapa. Saya berharap, kerajaan lakukan sesuatu untuk ibu tunggal seperti saya, sebab itu ramai yang buat kerja tidak elok kerana tiada duit untuk menyelesaikan masalah dihadapi,”
katanya yang mengharapkan pengamal undang-undang membantunya yang kini dalam kesukaran untuk menghadapi perbicaraan.


Beliau berharap sangat ada peguam sudi membantu dengan kos yang rendah kerana saya memang tidak mampu ketika ini.

“Jika kes tidak selesai, saya bimbang anak menghadapi masalah kelak,” katanya.

Sementara itu, aktivis sosial, Lim Ai Yim, berkata kes dihadapi Zana adalah kes paling lama dibantunya disebabkan pelbagai masalah dihadapi.


“Saya membantunya sejak dia memfailkan kes pukul di Mahkamah Majistret pada 2004 dan sehingga kini tidak selesai kerana masalah tarikh ditunda, bertukar peguam dan pelbagai lagi.

“Zana sendiri tertekan dengan kes ini, malah ditambah lagi dengan pelbagai kes lain. Masa, tenaga dan kosnya dibuang begitu saja,”
katanya yang memberi khidmat secara percuma kepada wanita itu.

Kata Lim, dia tabik dengan Zana kerana menghadapi pelbagai masalah dengan semangat tinggi.


“Selain bekerja keras mencari duit untuk menyelesaikan kes di mahkamah, dia juga uruskan anak. Zana wanita tabah dan berani,” katanya.

Ilmu seks tinggi

KUALA LUMPUR: Kes hamil luar nikah atau seks sebelum berkahwin di kalangan remaja berlaku bukan saja disebabkan keinginan nafsu atau perasaan tetapi turut didorong faktor ilmu seks yang ada pada mereka.

Ketua dan Pakar Perunding Kanan, Jabatan Onstetrik dan Ginekologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor, Dr Mohamad Farouk Abdullah, berkata kebanyakan remaja hari ini memiliki ilmu seks tinggi dan penting mendidik golongan itu mengenai langkah pencegahan kehamilan.


Selain itu, katanya, remaja perlu diberi kesedaran mengenai nilai harga diri dengan tidak semudahnya menyerahkan kehormatan.

“Melalui pengalaman saya, ramai remaja belasan tahun sudah melakukan seks sebelum kahwin dan hamil luar nikah. Malah, ada satu kes, mangsa berusia 16 tahun, hamil luar nikah empat kali.

“Dia menjadi mangsa sumbang mahram sejak usia 13 tahun lagi dan selepas itu terbabit dalam gejala sosial sehingga mengandung empat kali.

“Sebenarnya, remaja hari ini memiliki ilmu seks yang tinggi dan sesuatu perlu dilakukan bagi mengelak masalah ini menjadi lebih rumit,” katanya pada Forum Remaja: Hargai Dirimu anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), di sini, semalam.

Dr Mohamad Farouk berkata, antara langkah boleh dilakukan ialah dengan mendidik remaja mengenai kesihatan reproduktif supaya mereka dapat mengawal diri daripada terbabit dalam aktiviti tidak sihat.

Sementara itu, Ketua Unit Pengurusan Kes Reproduktif LPPKN, Kamarol Faridah Kamarol Zaman, berkata 13 peratus remaja berusia antara 15 hingga 21 tahun terbabit dalam seks luar nikah.

Kajian Kementerian Kesihatan bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Universiti Malaya itu juga mendapati 70 peratus remaja berkenaan adalah wanita dan selebihnya lelaki.

“Ia berpunca daripada keterbukaan minda yang keterlaluan selain ada sumber pencarian sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Cawangan Semarak, Norsofie Azwa Ahamad Bokhari, 19, berkata, pengalaman rakannya yang mengandung ketika masih di sekolah menakutkannya.

“Perempuan ini baru tingkatan lima dan disebabkan pergaulan bebas, dia mengandung. Lelaki terbabit pula baru tamat sekolah dan mereka dikahwinkan.

“Beberapa bulan berkahwin, pasangan ini bercerai kerana lelaki tadi tidak bekerja. Ini menakutkan namun ia memberi pengajaran kepada saya,”
katanya.

Bagi Elizabeth Kay Nyigor, 20, penuntut tahun satu Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), seks sebelum kahwin perlu dielakkan kerana lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

RM20,000 beli suami

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN DAN SHAMRAN SARAHAN
mizan@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Tidak perlu bersusah payah memerah tenaga seperti insan lain kerana apa yang perlu dilakukan hanyalah merelakan maruah tergadai, berjanji menyimpan rahsia dan mengambil sisa orang lain demi menutup aib seseorang.

Tidak sampai satu jam, selepas semuanya selesai, dapatlah habuan wang tunai atau barangan termasuk tempat tinggal dan kenderaan .


Begitulah kerja mudah dilakukan individu tertentu yang sanggup merelakan diri menjadi ‘suami segera’ kepada wanita mengandung gara-gara terlanjur.

‘Kerjaya’ yang popular dengan gelaran ‘pak sanggup’ itu didedahkan seorang lelaki yang baru tiga bulan melakukannya.

Mahu dikenali sebagai Salleh Ali, 33, dia mengakui mendapat habuan RM20,000 di atas pekerjaan tidak bermaruah itu.

Salleh berkata, dia pernah mendengar mengenai ‘pak sanggup’ tetapi tidak menyangka terjebak dengan kerja seperti itu.

“Segala-galanya bermula apabila seorang rakan bercerita mengenai hajat seorang lelaki yang mahu mencari sesiapa yang sanggup mengahwini teman wanitanya yang hamil luar nikah hasil perhubungan sulit mereka.

“Lelaki itu sudah berkahwin dan tidak mahu mengahwini wanita itu serta mahu mengelak perhubungan sulit mereka diketahui isterinya. Wanita itu pula mahu melahirkan anak yang dikandungnya,”
katanya.


Menurut Salleh, rakannya itu yang juga orang suruhan lelaki terbabit diminta mencari individu yang sanggup mengahwini wanita berkenaan dengan tawaran ganjaran wang tunai RM20,000.

“Saya yang bujang dan bekerja tidak menentu tanpa banyak cakap sanggup menerima tawaran itu. Siapa yang tidak mahu wang sebanyak itu dalam sekelip mata.

“Apatah lagi, saya sememangnya memerlukan wang kerana mahu membayar tunggakan kereta dan hutang along RM10,000,”
katanya yang kemudian dibawa berjumpa lelaki itu untuk mengadakan perbincangan.


Tempoh perbincangan hanya mengambil masa dua minggu sebelum majlis pernikahan dijalankan.

Dia dimaklumkan, wanita itu terkantoi kerana keluarganya sudah tahu dia mengandung dan keluarganya mahu keterlanjuran itu diselesaikan dengan perkahwinan.

Katanya, lelaki terbabit yang sememangnya kaki perempuan tidak mahu bertanggungjawab dan mencari orang lain sebagai pak sanggup untuk berkahwin dengan kekasihnya.


“Sebelum ini, apabila teman wanitanya hamil lelaki itu melarikan diri tapi kali ini dia mengugut akan menghebahkan apa yang berlaku jika dia berbuat demikian,” katanya.

Selain itu, wanita terbabit meminta sejumlah wang dan majlis pernikahan ringkas supaya dapat memenuhi kehendak keluarga.

“Saya tidak mahu ambil tahu mengenai masalah mereka, kerana apa yang penting saya dijanjikan wang RM20,000 selepas selesai majlis pernikahan.

“Lelaki itu membawa saya bertemu teman wanitanya dan selepas berbincang, dia menetapkan tarikh untuk kami berkahwin.

“Saya dan wanita itu dibawa ke sebuah rumah. Turut serta keluarganya. Apabila pertama kali bertemu, puas jugalah saya kena herdik dan tidak kurang yang memberi nasihat oleh keluarga wanita itu.

“Saya datang dengan beberapa individu yang berlagak seperti keluarga saya. Semua ‘ahli keluarga’ saya disediakan lelaki itu dan kami hadir seperti orang kaya,”
katanya.

Kata Salleh, dia tidak tahu perkahwinannya sah atau tidak kerana jurunikah yang disediakan meragukan.

“Saya hanya ikut perintah saja. Apabila bapa wanita itu melafazkan akad nikah, saya ikut saja. Perasaan takut tetap ada menyebabkan akad nikah terpaksa dilakukan lima kali.

“Saya juga hairan kerana keluarga wanita itu tidak pula banyak soal. Mungkin mereka percaya dengan wanita itu, apatah lagi melihat saya hadir dengan gaya seperti orang kaya,”
katanya.

Tidak sampai satu jam, majlis pernikahan selesai dan dia mendapat habuan RM20,000 tunai yang dimasukkan dalam sampul.

“Ikutkan hati, saya mahu melarikan diri, tetapi saya perlu berlakon untuk tempoh beberapa hari. Saya dan wanita itu duduk di kondominium disediakan lelaki terbabit. Keluarga wanita itu turut serta kerana mereka mahu berehat di Kuala Lumpur dua atau tiga hari,” katanya.

Dia turut mengambil kesempatan meniduri wanita itu, namun bukan secara paksaan.

“Lelaki itu tidak kisah saya buat apa dengan teman wanitanya kerana dia mahu meninggalkannya. Wanita itu pun tak kisah saya buat apa kepadanya,” katanya.

Salleh berkata, dia hanya tinggal bersama wanita itu selama seminggu sebelum menghilangkan diri.

“Wanita itu tidak pula menghalang. Sehingga hari ini saya tidak tahu apa nasibnya dan saya tidak lagi bertemu lelaki itu,” katanya.

Ditanya apa yang dibuat dengan wang RM20,000 itu, Salleh tersenyum sambil memberitahu, RM10,000 untuk langsaikan hutang termasuk hutang along dan selebihnya ‘enjoy’!

Melihat ganjaran lumayan, dia bersedia untuk menjadi ‘pak sanggup’ lagi kepada pasangan kekasih yang terlanjur tetapi enggan kahwin.

“Sekarang, saya banyak melepak, dengan harapan dapat lagi tawaran jadi ‘pak sanggup’. Kerja pula ikut suka. Rasa nak datang, saya datang. Kalau tidak ponteng saja. Saya tak risau sebab wang masih ada ribuan ringgit lagi dan mungkin dapat rezeki jadi ‘pak sanggup’ lagi,” katanya.

Korek dan tampal wajah

Pembedahan plastik bukan untuk tujuan kesempurnaan penampilan.


TEKNIK pembedahan zigzag mampu mengurangkan kesan parut.



NORMALA BASIRON






TAMPALAN melibatkan kulit daripada bahagian lain digunakan untuk menutup kekurangan tisu.


TEH, 40-an, baru keluar dari sebuah pusat beli-belah di Muar, Johor apabila sebilah mata gergaji berbentuk piring menerjah dan menembusi cermin hadapan kereta Honda Civic yang dipandunya.

Mata gergaji dengan ukuran lilit 30 sentimeter dan seberat setengah kilogram itu dipercayai dibaling seorang lelaki bermotosikal. Kejadian itu berlaku pada kira-kira pukul 8 malam, 11 Oktober 2006.

Akibat insiden itu, bahagian kiri muka Teh cedera parah. Mujurlah tindakan pantas pasukan penyelamat berjaya menghentikan pendarahan tersebut.

Biarpun telah lama berlalu, kesan daripada kecederaan itu meninggalkan parut sepanjang kira-kira 20 sentimeter, bermula dari belakang telinga kiri Teh, melintasi atas bibir membawa ke rahang kanan.

Pembedahan demi pembedahan dilalui dan akhirnya pakar pembedahan plastik berjaya mengurangkan kesan parut di muka Teh hingga ke tahap minimum.

Pembedahan plastik merupakan satu prosedur yang melibatkan penggunaan tisu atau organ asal pesakit.

"Ia memerlukan kepakaran bagi memulihkan kecacatan atau kekurangan tisu pada anggota badan," jelas Ketua Jabatan dan Pakar Perunding Pembedahan Plastik di Jabatan Pembedahan Plastik dan Rekonstruktif, Hospital Kuala Lumpur, Dr. Normala Basiron.

Menurut Normala, pembedahan ini penting agar pesakit tidak berasa terlalu rendah diri dan membolehkan mereka hidup dengan selesa dalam masyarakat.

"Prosedur ini berbeza mengikut punca. Ia juga bergantung pada sama ada tisu gantian telah diperoleh dan sesuai terhadap pesakit," katanya.

Pembedahan plastik dan rekonstruktif ini juga agak unik kerana ia membabitkan keseluruhan anggota badan termasuk kulit, tisu lembut (lemak dan otot) dan tulang.

Kulit dari bahagian lain

Dalam erti kata lain, ia meliputi dari hujung rambut hingga hujung kaki. Malah bahan alternatif juga digunakan seperti titanium dan silikon.

"Penggunaan tisu asal daripada bahagian lain anggota perlu diambil kira agar tidak memberi kesan buruk atau menjejaskan fungsi anggota badan tersebut.

"Tambahan pula, ia merupakan tisu autologus iaitu tisu asal daripada tubuh pesakit. Ia digunakan kerana lebih sesuai dan sepadan bagi keadaan yang tidak kritikal," jelas Normala.

Dalam konteks kecacatan wajah, pembedahan pemulihan bergantung kepada tahap kecacatan atau kekurangan tisu di wajah pesakit.

"Andainya pesakit kehilangan kulit muka, maka tampalan ini boleh dilakukan dengan mengambil kulit daripada bahagian lain tubuh seperti belakang telinga, pangkal leher atau lengan, bergantung kepada saiz yang diperlukan," ujarnya.

Parut yang hodoh juga boleh dikurangkan menggunakan teknik pengubahsuaian parut berbentuk zigzag atau w.

Jika kehilangan tisu wajah membabitkan kulit dan tisu lembut, maka kulit dan tisu lembut di kawasan persekitaran atau berdekatan boleh dimanipulasi untuk menutupi kecacatan tersebut.

"Teknik ini dinamakan penarikan tisu dan amat berguna dalam kes kulit di bahagian yang cacat tidak mencukupi," kata Normala.

Untuk kecacatan yang lebih besar dan melibatkan kulit, tisu lembut atau tulang, gantiannya diperoleh daripada bahagian anggota tubuh yang jauh daripada muka.

"Bahagian seperti paha, kaki, pergelangan tangan dan lengan, kulit abdomen dan juga tisu kulit belakang pesakit boleh dipindahkan ke kawasan muka.

"Paling penting, saluran darah dan vena tisu ini boleh disambungkan dengan saluran darah di bahagian muka secara pembedahan mikro," ujar Normala.

Sementara itu, kecederaan muka akibat kemalangan yang teruk hingga melibatkan kehilangan kulit, tisu lembut, patah atau remuk tulang muka, pembedahan akan dikendalikan secepat mungkin bagi mengelakkan komplikasi seperti jangkitan kuman.

"Dalam kes sebegini, tulang yang patah akan diperbetulkan kedudukannya menggunakan plat titanium dan skru atau dawai titanium.

"Tisu lembut dan kulit pula akan dijahit dengan teliti bagi mengurangkan kesan parut," ungkap Normala. - SHANIKA ABDULLATIB

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0719&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm

Mudahnya merompak duit

Sedar atau tidak, kemajuan IT bukan hanya sekadar membawa kemudahan maklumat tetapi menjadi kaedah terbaru bagi penyangak maya merompak duit orang. Hanya satu panggilan telefon, sepucuk e-mel atau SMS sudah cukup untuk mengosongkan akaun seseorang.




UNCLE Kok, 53, bukan generasi pengguna teknologi maklumat (IT). Malah, satu-satunya gajet paling kerap digunakannya setiap hari cuma sebuah telefon rumah.

Namun, lelaki yang merupakan seorang pengarang sambilan ini cukup peka dengan perkembangan semasa termasuk risiko ancaman rompakan maya. Meskipun tidak celik IT, Kok sedar risiko tersebut boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Suatu hari, Kok menerima panggilan yang memintanya agar memindahkan wang di dalam akaun banknya ke akaun pihak lain.

Alasannya, duit simpanan Kok dalam bank tersebut terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram. Si pemanggil mendakwa hanya dengan cara pemindahan itu, wang simpanan Kok boleh diperoleh semula.

Kok pada awalnya cukup meragui dakwaan tersebut. Lalu, dia cuba mendapatkan pengesahan daripada si pemanggil yang mendakwa dirinya adalah pegawai bank tersebut.

Setelah mendengar 'pengesahan' berkali-kali yang cukup meyakinkan, Kok terus bergegas ke bank. Di kaunter bank, dia telah membuat pemindahan sebanyak tiga kali dengan harapan segalanya akan kembali seperti asal.

Malangnya, selepas pemindahan wang tersebut dibuat, barulah dia sedar betapa dirinya telah diperbodohkan. Pada saat itu, sudah terlewat untuk dia mendapatkan semula wangnya sebanyak kira-kira RM50,000 itu.

Kisah di atas mungkin hanyalah satu contoh klasik betapa mudahnya kita dimanipulasi oleh orang lain. Biarpun tidak memerlukan sebarang gajet canggih sekali pun, maklumat peribadi tetap berisiko terdedah tanpa kita sedari.

Berbeza dengan penggunaan medium teknologi seperti Internet atau rangkaian sosial, mangsa lebih cenderung untuk terpedaya.

Seorang kerani yang hanya mahu dikenali sebagai Zurina, 27, pula pernah berkali-kali menerima surat rasmi menerusi e-mel daripada bank akaun simpanannya. E-mel itu memintanya mengemaskini maklumat peribadi dan tanpa disangka, pendedahan itu telah menyebabkannya kerugian ribuan ringgit.


PENGGODAM atau penyangak maya suka menyasarkan entiti seperti bank. - Gambar hiasan


Pakar IT dalam aspek keselamatan, Muhamad Hazrul Mohamed Hamzah ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini berkata, terdapat satu terma yang merujuk pada bentuk manipulasi ini iaitu Kejuruteraan Sosial (Social Engineering).

"Istilah Kejuruteraan Sosial ini mungkin kedengaran baru. Tetapi ia sebenarnya satu seni penipuan sama ada secara bersemuka atau menerusi medium lain seperti Internet dan gajet yang telah berlaku sejak sekian lama.

"Penipuan ini biasanya dilakukan untuk memperoleh maklumat peribadi dan sulit daripada seseorang tanpa kerelaannya," katanya yang sudah lebih lima tahun berkecimpung dalam aspek keselamatan IT.


MUHAMAD HAZRUL menerangkan bagaimana penyangak maya mengambil kesempatan terhadap pengguna komputer yang naif.


Menurut Muhamad Hazrul, lazimnya sasaran golongan penyangak ini hanyalah satu iaitu untuk mendapatkan akses data dan maklumat secara tidak sah. Trend masa kini lebih menjurus kepada rompakan maya yang tidak berpenghujung.

Memetik contoh penipuan pelanggan-pelanggan bank menerusi e-mel, penyangak akan membuat 'pertaruhan' dengan menghantar jutaan e-mel kepada bakal mangsanya.

"Bayangkan, penyangak hanya memerlukan seorang mangsa yang memberi maklumbalas dan itu sudah bermakna tipu helahnya berjaya. Satu lagi, ramai antara generasi IT hari ini, masih memandang remeh lampiran fail-fail dalam e-mel.

"Setiap kali, kita klik pada satu lampiran fail, tidak mustahil ia mengandungi malware yang akan memantau aktiviti perkomputeran dari tempat lain," jelasnya dengan terperinci.

Pola taipan kekunci akan direkodkan dan membantu penyangak mengenal pasti minat pengguna. Misalnya, pengguna yang kerap menggunakan space bar bererti dia seorang penggemar mainan video.




Dengan hanya berpandu pada 'pembayang' ini, penyangak akan mengirim e-mel bertemakan mainan video kepada mangsa.

"Apabila ini berlaku, pengguna perlu berhati-hati sewaktu membuka e-mel. Elakkan daripada mengklik sebarang lampiran kecuali selepas anda mengesahkan ia daripada sumber yang dikenali.

"E-mel bersifat penipuan (phishing) dari bank biasanya menggunakan istilah-istilah umum. Sebagai contoh, kandungan e-mel yang berbunyiDear Valued Customer ataupun ..... your account is going to be closed merupakan indikasi ia satu penipuan atau spam," kata seorang lagi pakar IT, Muhammad Shahriman Samsudin.

Masalahnya, rakyat Malaysia terlalu percaya kepada entiti seperti bank sedangkan wujud golongan penyamar yang mendahagakan jalan pintas memperoleh wang.

Muhammad Shahriman turut menasihat pengguna komputer supaya tidak memuat naik terlalu banyak gambar atau maklumat peribadi dalam platform rangkaian sosial.

Platform seperti Facebook, MySpace dan Twitter yang sedang hangat dalam kalangan orang muda khasnya, sangat berisiko tinggi menjadi sasaran penggodam.


MUHAMMAD SHAHRIMAN memberitahu pemacu storan juga perlu diimbas oleh beberapa perisian antivirus sebelum digunakan.


Menggelarkan platform-platform ini sebagai Syurga Informasi Peribadi secara percuma, Muhammad Shahriman memberitahu, penggodam 'suka memancing di kolam yang banyak ikan'.

"Jangan sangka kalau dalam keadaan komputer yang dipadamkan, penggodam tidak mampu berbuat apa-apa. Sebenarnya, mereka telah lama memantau anda dari jauh.

"Jadi, sentiasa berjaga-jaga dan mengemaskini perisian antivirus. Tidak ketinggalan pemacu storan (thumbdrive) perlu diimbas oleh lebih daripada dua perisian antivirus," tambahnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0715&pub=Kosmo&sec=Infiniti&pg=in_01.htm

H1N1: Lagi sekolah ditutup, 23 mangsa baru


KAMPUS UiTM Lendu, Melaka kini tinggal tujuh pelajar selepas hampir 5,800 orang pulang sejak Khamis lalu ekoran wabak H1N1.


KUALA LUMPUR - Sekolah Menengah Sains Matang, Kuching ditutup semalam sehingga 23 April ini selepas sejumlah 24 pelajar dikesan mengalami kes kluster seperti demam influenza (ILI).

Ia menjadi sekolah kedua dikenakan perintah itu di Sarawak selepas Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Limbang yang ditutup sejak kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Mohd. Ismail Merican berkata, kejadian kluster kes pertama ILI dikesan di sekolah itu pada 14 Julai lalu. Sekolah itu mempunyai 542 orang murid.

"Seramai 24 pelajar telah diasingkan selepas sampel daripada 10 pelajar didapati positif H1N1," jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Mohd. Ismail memberitahu, setakat semalam sebanyak 23 kes baru H1N1 membabitkan 22 jangkitan tempatan dan satu kes import, menjadikan keseluruhannya 871 kes di Malaysia setakat ini.

Dalam pada itu, seorang pesakit menjadi mangsa pertama H1N1 yang dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital di Kuala Lumpur.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0719&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_06.htm

Saya tak rasa malu - Faizal Tahir





KERATAN Kosmo! semalam.
FAIZAL


JAKARTA - Kalau bukan kerana Anugerah Planet Muzik (APM 2009) yang berlangsung di sini, penyanyi Faizal Tahir mengaku dia mungkin kekal sebagai peminjam tegar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Namun, disebabkan APM 2009, dia kelam-kabut melangsaikan hutangnya yang sebelum itu didakwa terlepas pandang.

"Saya terlalu sibuk sampai terlepas pandang.

"Saya juga tidak malu dengan apa yang berlaku. Saya sudah membayar semua hutang PTPTN kerana tidak mahu terlepas peluang muncul di APM 2009,'' katanya kepadaKosmo! Ahad di sini semalam.


http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0719&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_04.htm

Selebriti perlekeh PTPTN

KUALA LUMPUR - Mereka berbakat besar dan mempunyai reputasi hebat dalam kerjaya masing-masing, baik dalam bidang nyanyian, lakonan, deejay mahupun sebagai pengacara televisyen.

Biarpun karier berbeza, mereka berkongsi satu persamaan - kesemuanya enggan membayar hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selepas bertahun-tahun meninggalkan universiti.

Majoriti daripada mereka ialah bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Jika masih enggan membayar hutang, mereka akan bersama-sama dengan penyanyi Faizal Tahir dan kira-kira 78,000 lagi peminjam tegar PTPTN yang hanya akan dapat keluar negara selepas membayar hutang masing-masing.

Sumber Kosmo! Ahad memberitahu, ada selebriti dalam senarai itu berlakon dalam beberapa filem box-office dan kini bergelar pengarah.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0719&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_05.htm

23 kes baru H1N1 disahkan hari ini

Jul 18, 09 8:27pm
Sebanyak 23 kes baru influenza A (H1N1) disahkan hari ini, yang terdiri daripada 22 kes jangkitan tempatan dan satu kes import.

Manakala seorang pesakit Influenza A (H1N1) kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sungai Buloh, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Mohd Ismail Merican dalam satu kenyataan hari ini.


Ini menjadikan kes H1N1 yang disahkan di Malaysia sehingga ini berjumlah 871 kes - iaitu 565 kes import dan 306 kes jangkitan tempatan - tetapi tiada kematian dilaporkan.

Manakala 16 daripada kes jangkitan tempatan hari ini melibatkan tiga kluster - pertama di Sekolah Menengah Sains Matang, Kuching (Sarawak) yang mempunyai 542 pelajar.

Sepuluh sampel yang diambil secara rawak disahkan positif H1N1 dan sekolah tersebut ditutup sehingga 23 Julai ini.

Kluster kedua berlaku di Sekolah Menengah Kebangsaan Seafield, Subang Jaya, yang mempunyai 2,500 pelajar. Tiga daripada pelajar dari kelas yang sama, yang disahkan positif H1N1, telah dikuarantin di rumah sejak 15 Julai lalu.

Tindakan segera mengkuarantin tiga pelajar tersebut berjaya menghalang kes baru berlaku di kalangan pelajar sekolah berkenaan, tetapi pemantauan akan diteruskan di sekolah tersebut.

Kluster ketiga berlaku di Politeknik Kota, Melaka Tengah, Melaka yang mempunyai sejumlah 631 pelajar. Seramai 44 telah dikuarantin di satu blok yang khusus semenjak 16 Julai. Politeknik tersebut ditutup 24 Julai 2009.

Dirawat di ICU

Bagi enam kes jangkitan tempatan yang lain, dua kes sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh (1) dan Hospital Sultanah Aminah (1).

Kes yang dirawat di Hospital Sungai Buloh telah dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital tersebut. Pesakit merupakan pengidap penyakit lelah yang mendapat serangan akut lelah dan dimasukkan ke ICU petang semalam.

Bagi kes yang dirawat di Hospital Sultanah Aminah pula, pesakit terbabit dimasukkan ke hospital kerana mengalami radang paru-paru.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka kini berada dalam keadaan stabil. Baki empat kes lagi menerima rawatan sebagai pesakit luar di rumah.

Bagi satu kes jangkitan import pula melibatkan seorang pelancong wanita warganegara Australia yang kini dirawat di Hospital Langkawi.

Dia tiba ke Malaysia dengan menaiki penerbangan Air Asia D72703 pada jam 4 petang 12 Julai 2009 dan kemudian ke menaiki Air Asia AK5320 ke di Langkawi dan tiba jam 9.10 pagi 13 Julai/

Dia mula sakit pada 14 Julai dan disahkan positif influenza A(H1N1) pada 17 Julai.

Daripada 871 kes, jumlah pesakit influenza A(H1N1) yang telah dibenarkan pulang dari hospital adalah seramai 730 orang (84 %) dan 5 orang (1%) sedang dirawat di hospital. Baki, 136 orang (15%) menerima rawatan sebagai pesakit luar di rumah.

http://www1.malaysiakini.com/news/108794
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...