Sunday, July 19, 2009

‘Ikat perut’ enam tahun

Oleh FUAD HADINATA YAACOB
hadinata@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal berusia 45 tahun terpaksa mengikat perut sejak enam tahun lalu apabila berhabis lebih RM200,000 hanya untuk menyelesaikan kes mahkamah membabitkan dirinya dan bekas suami.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Zana itu berdepan dengan pelbagai kes sejak 2003 lagi seperti perceraian, tuntutan nafkah serta anak dan sivil.

Ibu tiga anak itu, berkata sejak dia bercerai dengan suami pada 2003, pelbagai kes lain timbul yang memerlukan kos tinggi untuk menyelesaikannya.


“Saya bercerai 2003 dan sejak itu pelbagai kes timbul. Kes yang masih dalam perbicaraan ialah bekas suami menuntut anak, tuntutan nafkah saya kepada bekas suami dan kes sivil iaitu pinjaman ketika kami suami isteri yang sehingga kini bayarannya tertunggak,” katanya.

Zana yang bekerja sendiri, berkata pendapatan dan wang simpanannya habis digunakan untuk menyelesaikan kes berkenaan, malah dia kini hilang punca untuk mendapatkan bantuan.

“Saya kini begitu terdesak apabila tidak mempunyai wang lagi untuk mendapatkan peguam kerana semua wang yang ada sudah digunakan sebelum ini.

“Bayangkan setiap kali ke mahkamah, sekurang-kurangnya saya perlu bayar RM100, malah untuk buka satu fail kes saja berjumlah RM3,000, belum lagi kos bayaran peguam dan lain-lain.


“Sebagai ibu tunggal yang ada tiga anak, saya tidak tahu hendak buat macam mana untuk menyelesaikan kes ini kerana jika tidak, kehidupan saya akan bertambah teruk dan susah lagi,”
katanya.

Menurutnya, kes mahkamah yang berlarutan dan sering tertunda, antara punca wanita itu tertekan selain terpaksa mengupah peguam untuk kes yang berbeza.

“Apabila kes ini berlarutan, kerja saya terganggu. Jika tidak bekerja, bagaimana hendak dapat duit membayar kos perbicaraan.

“Dalam kes ini, di mana saya hendak mengadu dan kepada siapa. Saya berharap, kerajaan lakukan sesuatu untuk ibu tunggal seperti saya, sebab itu ramai yang buat kerja tidak elok kerana tiada duit untuk menyelesaikan masalah dihadapi,”
katanya yang mengharapkan pengamal undang-undang membantunya yang kini dalam kesukaran untuk menghadapi perbicaraan.


Beliau berharap sangat ada peguam sudi membantu dengan kos yang rendah kerana saya memang tidak mampu ketika ini.

“Jika kes tidak selesai, saya bimbang anak menghadapi masalah kelak,” katanya.

Sementara itu, aktivis sosial, Lim Ai Yim, berkata kes dihadapi Zana adalah kes paling lama dibantunya disebabkan pelbagai masalah dihadapi.


“Saya membantunya sejak dia memfailkan kes pukul di Mahkamah Majistret pada 2004 dan sehingga kini tidak selesai kerana masalah tarikh ditunda, bertukar peguam dan pelbagai lagi.

“Zana sendiri tertekan dengan kes ini, malah ditambah lagi dengan pelbagai kes lain. Masa, tenaga dan kosnya dibuang begitu saja,”
katanya yang memberi khidmat secara percuma kepada wanita itu.

Kata Lim, dia tabik dengan Zana kerana menghadapi pelbagai masalah dengan semangat tinggi.


“Selain bekerja keras mencari duit untuk menyelesaikan kes di mahkamah, dia juga uruskan anak. Zana wanita tabah dan berani,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...