Sunday, July 19, 2009

Ilmu seks tinggi

KUALA LUMPUR: Kes hamil luar nikah atau seks sebelum berkahwin di kalangan remaja berlaku bukan saja disebabkan keinginan nafsu atau perasaan tetapi turut didorong faktor ilmu seks yang ada pada mereka.

Ketua dan Pakar Perunding Kanan, Jabatan Onstetrik dan Ginekologi, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, Selangor, Dr Mohamad Farouk Abdullah, berkata kebanyakan remaja hari ini memiliki ilmu seks tinggi dan penting mendidik golongan itu mengenai langkah pencegahan kehamilan.


Selain itu, katanya, remaja perlu diberi kesedaran mengenai nilai harga diri dengan tidak semudahnya menyerahkan kehormatan.

“Melalui pengalaman saya, ramai remaja belasan tahun sudah melakukan seks sebelum kahwin dan hamil luar nikah. Malah, ada satu kes, mangsa berusia 16 tahun, hamil luar nikah empat kali.

“Dia menjadi mangsa sumbang mahram sejak usia 13 tahun lagi dan selepas itu terbabit dalam gejala sosial sehingga mengandung empat kali.

“Sebenarnya, remaja hari ini memiliki ilmu seks yang tinggi dan sesuatu perlu dilakukan bagi mengelak masalah ini menjadi lebih rumit,” katanya pada Forum Remaja: Hargai Dirimu anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), di sini, semalam.

Dr Mohamad Farouk berkata, antara langkah boleh dilakukan ialah dengan mendidik remaja mengenai kesihatan reproduktif supaya mereka dapat mengawal diri daripada terbabit dalam aktiviti tidak sihat.

Sementara itu, Ketua Unit Pengurusan Kes Reproduktif LPPKN, Kamarol Faridah Kamarol Zaman, berkata 13 peratus remaja berusia antara 15 hingga 21 tahun terbabit dalam seks luar nikah.

Kajian Kementerian Kesihatan bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan Universiti Malaya itu juga mendapati 70 peratus remaja berkenaan adalah wanita dan selebihnya lelaki.

“Ia berpunca daripada keterbukaan minda yang keterlaluan selain ada sumber pencarian sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, penuntut Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Cawangan Semarak, Norsofie Azwa Ahamad Bokhari, 19, berkata, pengalaman rakannya yang mengandung ketika masih di sekolah menakutkannya.

“Perempuan ini baru tingkatan lima dan disebabkan pergaulan bebas, dia mengandung. Lelaki terbabit pula baru tamat sekolah dan mereka dikahwinkan.

“Beberapa bulan berkahwin, pasangan ini bercerai kerana lelaki tadi tidak bekerja. Ini menakutkan namun ia memberi pengajaran kepada saya,”
katanya.

Bagi Elizabeth Kay Nyigor, 20, penuntut tahun satu Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), seks sebelum kahwin perlu dielakkan kerana lebih banyak keburukan daripada kebaikan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...