Saturday, February 20, 2010

Saluran bantu pekerja, majikan

Oleh Hayati Ibrahim
ya_t@hmetro.com.my
2010/02/18

PUTRAJAYA: Majikan kepada pembantu rumah dan pekerja asing yang teraniaya, kini mempunyai saluran khas mendapatkan khidmat nasihat bagi menyelesaikan masalah supaya semua pihak berkaitan diberikan perlindungan sewajarnya.

Usaha penyelesaian itu muncul selepas penubuhan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali Pertubuhan Malaysia Bebas-Pati (Patree) sejak tahun lalu yang bermatlamat melindungi majikan khususnya kepada pembantu rumah dan pekerja asing teraniaya yang bekerja di negara ini.


Presidennya, Zul Azhar Cha, berkata sebelum ini, majikan atau pekerja teraniaya tidak mempunyai tempat khas untuk mengadu sehingga kebanyakan mereka terpaksa menanggung kerugian akibat tindakan tidak bertanggungjawab agensi dan ejen mengambil pekerja asing.


Beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan kerajaan dan mana-mana agensi terbabit bagi membantu menangani masalah membabitkan pekerja asing di Malaysia.


“Usaha ini bagi mengelakkan kejadian seperti pembantu rumah didera, majikan ditipu dan pembantu rumah lari meninggalkan majikan tidak terus berleluasa.


“Jika ada kes pekerja asing yang dibawa masuk ke negara ini tidak mendapat pekerjaan yang dijanjikan, mereka boleh membuat aduan bagi memastikan gejala seumpama ini tidak berlaku pada masa depan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perjumpaan dengan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, semalam.

Zul Azhar berkata, beliau tidak mahu isu pekerja asing tidur di bawah jambatan, pembantu rumah didera, majikan ditipu terus berleluasa. Beliau berkata, pihaknya akan memastikan gejala itu tidak berlarutan kerana ia akan merosakkan nama baik Malaysia di kalangan pembekal pekerja asing termasuk Indonesia, Bangladesh dan India. “Sekiranya negara ini menghentikan pembekalan tenaga kerja asing ke negara ini, apa yang akan terjadi pada industri. “Apa yang penting di sini, kita dapat menjaga hubungan baik dua hala antara negara berkenaan,” katanya.


Bagaimanapun, Zul Azhar berkata, khidmat nasihat dan runding cara yang disediakan bukan hanya khas untuk pembantu rumah dan majikan, tetapi turut membabitkan pekerja di sektor lain seperti perladangan, perkilangan atau perkhidmatan.


“Sekiranya ada pekerja asing dalam bidang perladangan yang ditipu majikan atau agensi seperti tidak mendapat gaji dijanjikan seperti yang termaktub dalam perjanjian, mereka juga boleh membuat aduan kepada Patree, kita akan bantu dan lindungi mereka.


“Patree akan menjadi orang tengah bagi menyelesaikan masalah berkaitan golongan ini,” katanya.


Katanya, mengikut pelan induk penubuhan Patree, pertubuhan itu akan menyediakan satu pangkalan data khusus mengenai majikan dan pekerja asing di negara ini bagi membolehkan mereka melakukan pemantauan dengan lebih terperinci terhadap majikan dan pekerja.


Menurutnya, orang ramai yang mempunyai masalah dengan pekerja asing khususnya pembantu rumah boleh merujuk kepada Patree dengan menghantar SMS atau menelefon di talian 012-7777548 serta menghantar e-mel ke zulazharcha@ymail.com.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Saluranbantupekerja_majikan/Article/index_html

2 jam pisau di leher adik

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my
2010/02/18

BERANANG: Akibat ketagih dadah, seorang abang sanggup mengugut membunuh adiknya dengan pisau pemotong daging.

BUKTI...pisau yang diguna penagih mengugut adiknya.
BUKTI...pisau yang diguna penagih mengugut adiknya.
TAHAN...penagih yang mengugut membunuh adiknya ditahan polis.
TAHAN...penagih yang mengugut membunuh adiknya ditahan polis.
Lebih mencemaskan, dia menjadikan adik perempuan berusia 21 tahun itu sebagai tebusan lebih dua jam dalam kejadian di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma di sini, semalam, selepas ayah mereka enggan memberi wang untuk membeli dadah.


Walaupun si adik menangis dan meraung ketakutan, lelaki berusia 22 tahun itu tidak mengendahkannya dan terus meletakkan pisau di leher gadis itu.


Polis terpaksa mengambil masa lebih dua jam memujuk lelaki terbabit yang terlebih dulu mengunci pintu jeriji bagi mengelak ayahnya yang berada di dalam rumah keluar atau orang lain memasuki unit pangsapuri terbabit.


Difahamkan, suspek yang terlalu panik dengan kehadiran pihak berkuasa terbuang air besar hingga menyebabkan lantai ruang tamu rumahnya dipenuhi najis.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Mohd Shakaruddin Che Mood berkata, polis menerima panggilan kecemasan jam 10 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.


Menurutnya, sebaik tiba, seorang lelaki didapati sedang memeluk adiknya menggunakan tangan kiri manakala sebelah tangan lagi memegang pisau pemotong daging yang diletak rapat di leher gadis itu.

Mohd Shakaruddin berkata, punca lelaki terbabit bertindak demikian kerana bapanya enggan memberikan wang diminta untuk membeli dadah.


Katanya, polis dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bangi dan Mantin terpaksa memecahkan kunci mangga yang dipasang di pintu jeriji rumah terbabit.


“Pegawai polis terpaksa berunding dengan suspek lebih dua jam untuk memujuknya membebaskan adik yang dalam keadaan terlalu takut.


“Bapa suspek yang berusia 54 tahun terlebih dulu dikeluarkan dari rumah itu bagi memudahkan proses rundingan. Hasil pujukan, lelaki itu akhirnya menyerahkan pisau pemotong daging yang dipegang sebelum membebaskan adiknya.


“Rundingan itu berjaya menyelamatkan adiknya daripada terkorban dan suspek ditahan jam 1.30 tengah hari,” katanya.


Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati lelaki terbabit penagih dadah tegar jenis heroin dan ketika kejadian dalam keadaan gian.


Katanya, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau kini ditahan di Balai Polis Beranang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah.


“Adiknya yang calar di lengan kiri dikejar menggunakan ambulans ke klinik berhampiran untuk rawatan,” katanya.


Jiran mangsa, Hamidah Ibrahim, 35, berkata dia mendengar jeritan lelaki terbabit memarahi bapanya kira-kira jam 8 pagi semalam.


“Selepas mendengar suara itu, lelaki terbabit mengunci jeriji dari dalam rumah.

“Lelaki itu berterusan memarahi bapanya kerana enggan memberinya wang. Saya juga terdengar jeritan adik perempuannya,” katanya.


Difahamkan, selain mengugut untuk membunuh adik perempuannya, lelaki terbabit turut mengancam membunuh diri dengan meminum racun rumpai.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2jampisaudileheradik/Article/index_html

Neraka pujukan cinta

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Muhammad Apendy Issahak
am@hmetro.com.my
2010/02/18

KUALA LUMPUR: Cinta gila! Mungkin itu gambaran tepat terhadap tindakan luar biasa seorang lelaki yang sanggup mendera kekasihnya sejak setahun lalu gara-gara dirasuk cemburu melampau dan bimbang gadis terbabit dirampas lelaki lain.

DERITA CEMBURU...Siti menunjukkan laporan polis  yang dibuat.
DERITA CEMBURU...Siti menunjukkan laporan polis yang dibuat.
Malah, gadis berusia 24 tahun itu saban hari turut dipukul dan diugut bunuh dengan kejam jika cuba melarikan diri, malah pernah diancam akan dihumban dari tingkat 13 kerana disyaki mempunyai teman lelaki lain.


Lebih menyedihkan, gadis terbabit bukan hanya menjadi mangsa penderaan, malah turut dilayan umpama hamba abdi apabila semua wang gajinya setiap bulan dirampas teman lelakinya.


Bagaimanapun, penyeksaan itu berakhir apabila gadis itu membuat laporan sebelum lelaki berkenaan diberkas polis kelmarin atas dakwaan mencederakan mangsa.


Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 24, berkata penderitaan dialami bermula selepas dia menjalin hubungan dengan lelaki terbabit yang dikenalinya di kompleks beli-belah Kotaraya, Januari tahun lalu.


Menurutnya, hasil perkenalan dengan lelaki dari Sarawak itu, dia jatuh cinta sebelum diajak mengikut lelaki itu pulang ke asramanya di Jalan Imbi di sini, untuk tinggal bersama.

“Mungkin kerana terlalu percaya dan sayang, saya akhirnya terperangkap apabila kata-kata romantis yang sebelum ini diluahkan teman lelaki saya itu mula bertukar menjadi maki-hamun serta sepak terajang.


“Entah di mana silapnya, dia mula berubah sikap menjadi panas baran hingga tidak dapat mengawal perasaannya hampir setiap hari. Saya langsung tidak dibenarkan pulang ke rumah keluarga, sebaliknya diarah tinggal bersamanya di asrama berkenaan selepas kad pengenalan saya dirampas,” katanya ketika ditemui.


Menurutnya, dia pernah cuba melarikan diri, namun teman lelakinya memburu dan mengheretnya pulang ke asrama berkenaan yang turut dihuni beberapa lelaki lain.


“Hampir saban hari saya diugut akan dipukul dan dibunuh jika meninggalkannya. Malah, segala gerak-geri saya diperhatikan saban masa.


“Malah, tabiat gilanya yang cemburu buta menyebabkan saya kerap dibelasah tanpa sebab. Hampir setiap minggu saya diterajang dan ditumbuk, namun saya takut untuk lari kerana bimbang perkara lebih buruk menimpa saya dan keluarga,“ katanya.

Siti berkata, pada masa sama, dia dipaksa bekerja sebagai pengawal keselamatan bersama kekasihnya di sebuah pusat beli-belah di ibu kota bagi menampung kehidupan mereka.

“Namun, semua wang gaji saya berjumlah RM1,200 dirampas lelaki terbabit. Jika lapar atau ingin membeli sesuatu, saya terpaksa merayu meminta sedikit wang daripadanya.


“Apa yang saya tahu, semua wang gaji saya digunakannya untuk berjudi dan membeli arak. Sering kali saya dibelasah ketika dia dalam keadaan mabuk sehingga mata saya lebam ditumbuk,” katanya.


Dia yang berasal dari Segambut Dalam di sini, berkata setiap kali puas membelasahnya hingga separuh mati, lelaki itu akan berubah sikap secara mendadak hingga sanggup melutut meminta maaf atas keterlanjurannya tetapi kemudian penderaan itu berulang lagi.


Terbaru, Sabtu lalu mangsa mengalami pendarahan di mata akibat ditinju lelaki terbabit.


Menurutnya, dia yang mencurahkan masalah dihadapi kepada rakan sekerjanya kemudian dipujuk supaya melarikan diri dan membuat laporan polis.


“Atas dorongan rakan, saya memberanikan diri membuat laporan di Balai Polis Jalan Tun HS Lee tanpa disedari teman lelaki,” katanya yang lega selepas bebas daripada cengkaman lelaki itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Nerakapujukancinta/Article/index_html

Isteri curang, suami pitam

Oleh Hadzlihady Hassan dan Sarah Zulkifli
am@hmetro.com.my
2010/02/18

KAJANG: Luluh dan hancur hati seorang suami apabila mendapati isterinya berkhalwat dengan seorang lelaki di Pangsapuri Kenanga View, awal pagi semalam.

Isteri berkenaan yang juga seorang guru sekolah rendah berusia 40 tahun dan pasangannya berusia 45 tahun yang bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kira-kira jam 3.30 pagi.


Anggota penguat kuasa Jais terpaksa memecahkan pintu selepas pasangan itu enggan memberikan kerjasama dan sanggup berkurung hampir setengah jam walaupun pintu diketuk beberapa kali.

Pasangan berkenaan yang berpakaian lengkap, ditahan anggota penguat kuasa Jais ketika berada dalam sebuah bilik di kediaman itu.


Turut bersama dalam operasi itu, dua anggota dari Balai Polis Kajang dan beberapa penghuni di pangsapuri berkenaan selepas dikatakan tidak mahu bersekongkol dengan perbuatan mungkar pasangan itu.


Suami wanita itu yang berusia lingkungan 60-an dan enggan dikenali berkata, dia yang turut bersama dalam operasi terbabit hanya mampu menahan kemarahan dan hampir pitam sejurus melihat isterinya berada bersama lelaki lain.


“Selama ini, saya hanya mengesyaki isteri mempunyai hubungan dengan lelaki lain dan selepas melihat sendiri kecurangannya di depan mata, hati saya begitu geram.

“Namun, biar undang-undang yang menentukan dan saya serahkan segala kes ini kepada pihak berkuasa (Jais) untuk siasatan,” katanya yang sudah tidak dapat menerima lagi isterinya itu.


Menurut suami malang terbabit, dia mendirikan rumah tangga sejak 19 tahun lalu dan mempunyai dua anak hasil perkongsian hidup dan tidak menyangka isterinya itu sanggup melakukan perbuatan terkutuk dengan tinggal bersama lelaki bukan mahram.

“Saya mula mengesyaki isteri mempunyai hubungan sulit sejak beberapa bulan lalu selepas melihat sikapnya yang kerap menjauhkan diri setiap kali telefon bimbitnya berbunyi.


“Dia seolah-olah menyembunyikan sesuatu yang buruk daripada saya kerana sepanjang kami berkahwin, kami tidak pernah berahsia. Kelakuan peliknya ini menyebabkan saya berasa curiga,” katanya.


Menurutnya, sejak itu, isterinya yang juga mengajar di sebuah pusat tuisyen di Kajang itu kerap pulang lewat ke rumah walaupun kebiasaannya pusat mengajar berkenaan sudah tutup pada jam 10 malam.


“Isteri saya tiba ke rumah jam 12 tengah malam dan perangainya bertambah teruk, termasuk pernah tidak pulang langsung,” katanya.

Lelaki itu mendakwa, isterinya juga pernah menutup telefon bimbitnya dari pagi dan dia hanya dapat menghubungi wanita berkenaan semula pada sebelah malam.


“Sebenarnya, saya sangat risaukan keselamatannya ketika itu kerana telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi. Namun, dengan rasa tidak bersalah, isteri saya pulang ke rumah tanpa memberikan alasan munasabah.

Difahamkan, cinta antara wanita itu dan lelaki terbabit mula berputik selepas mereka bertemu ketika menghadiri kursus pada September tahun lalu dan ia semakin menjadi-jadi apabila lelaki berkenaan mengambil kesempatan menyenaraikan nama wanita berkenaan setiap kali kursus dianjurkan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Istericurang_suamipitam/Article/index_html

Tikam isteri minta cerai

Oleh Mohd Harzrul Aminuddin
harzrul@hmetro.com.my
2010/02/17

MUAR: Mulanya cuma pertelingkahan biasa rumah tangga sebelum meleret-leret hingga membawa kepada permintaan cerai menyebabkan si suami naik angin.

BUKTI...Mohamad Nasir menunjukkan pisau yang digunakan suspek untuk menikam isteri dan dirinya.
BUKTI...Mohamad Nasir menunjukkan pisau yang digunakan suspek untuk menikam isteri dan dirinya.
Ia kemudian berakhir di hospital apabila kedua-dua mereka terlantar di hospital selepas si suami menikam isterinya sebelum menikam diri sendiri.


Lebih tragik, kejadian tikam menikam di sebuah stesen minyak di pekan Pagoh, dekat sini, itu disaksikan orang ramai.


Dalam kejadian jam 11.40 malam kelmarin, lelaki berusia 41 tahun berkenaan yang dipercayai mabuk semakin hilang akal apabila isterinya berusia 37 tahun meminta cerai ketika mereka bertelingkah.


Pasangan yang mempunyai tiga anak berusia lima hingga 18 tahun itu bergaduh di rumah mereka, tidak jauh dari stesen minyak berkenaan.


Berikutan tidak mahu pertengkaran itu dilihat anak mereka, si isteri keluar rumah sebelum dikejar suaminya yang berang dengan tindakan wanita berkenaan.

Difahamkan, si isteri meminta cerai berikutan tidak tahan suaminya kaki botol sejak beberapa tahun lalu hingga menyebabkan rumah tangga mereka porak-peranda.


Malah, lelaki itu tumbang beberapa kali ketika mengejar isterinya berikutan di bawah pengaruh alkohol sebelum menikam wanita itu di dada. Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, berkata ketika pergaduhan, wanita terbabit keluar dari rumah dan terus ke sebuah hentian bas berhampiran stesen minyak itu, sebelum dikejar suaminya menggunakan kereta.

“Selepas dipujuk, mangsa memasuki kereta sebelum berlaku satu lagi pergaduhan dipercayai akibat permintaannya untuk diceraikan.


“Mangsa keluar dari kereta dan cuba melarikan diri sebelum suaminya yang berang mengejar dan menikamnya di kanan dada. “Mangsa yang cedera parah, rebah di tempat kejadian manakala suspek yang panik kerana perbuatannya itu disaksikan orang ramai, terus menikam perutnya sendiri menggunakan pisau sama,” katanya di sini, semalam.


Menurut, pasangan berkenaan dibawa ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah Muar, dekat sini, oleh orang awam yang menyaksikan kejadian berkenaan.


Katanya, mangsa stabil manakala suaminya masih kritikal kerana kecederaan parah di perut.


Hasil siasatan, katanya, polis menemui botol arak dalam kereta suspek dan percaya lelaki yang bekerja sebagai pekerja ladang sawit itu dalam keadaan mabuk ketika kejadian.


Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana kesalahan mendatangkan kecederaan. “Berikutan itu, sesiapa yang melihat kejadian berkenaan diminta tampil bagi membantu siasatan,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tikamisterimintacerai/Article/index_html

Tak layan rayuan cikgu pondan

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad dan Mohd Zaidi Ya’acob
am@hmetro.com.my
2010/02/16

MELAKA: “Abang...tolong lepaskan saya bang, saya tak bersalah...saya (janji) tak buat lagi!“ Itulah rintihan seorang guru lelaki sebuah sekolah rendah di daerah Melaka Tengah kepada pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim), ketika ditahan kerana berlagak seperti wanita di kawasan tumpuan pondan di Taman Astakona atau lebih dikenali ‘Taman Asmara’, Bandar Hilir awal pagi semalam.

DICEKUP...kakitangan Jaim bersama anggota MBMB menahan seorang guru lelaki berpakaian wanita, awal pagi semalam.
D
ICEKUP...kakitangan Jaim bersama anggota MBMB menahan seorang guru lelaki berpakaian wanita, awal pagi semalam.
Operasi cegah maksiat bermula jam 2 pagi itu turut dilakukan di kawasan pasangan berdua-duaan di dalam kereta dan pusat hiburan yang beroperasi lebih masa sekitar Taman Merdeka, Bukit Rambai, Pantai Klebang, Bachang, Bukit Beruang dan di kawasan Jalan Tun Ali dan Jalan Kilang.


Ia dianjurkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan diketuai Pegawai Inspektorat dan Pembangunan Komunitinya, Mohd Derus Tompang dan turut disertai Polis Tentera.


Terdahulu, lelaki berusia 40 tahun dan mendakwa secara lisan kepada pegawai Jaim dia seorang guru Sains dan Matematik di Bukit Rambai itu cuba melarikan diri apabila menyedari kehadiran anggota penguat kuasa agama kira-kira jam 4.25 pagi semalam.


Namun, beliau yang ketika itu memandu kereta Proton Gen-2 gagal memboloskan diri berikutan jalan keluar dari taman itu disekat di lorong belakang Medan Selera Samudera, Bandar Hilir oleh kereta penguat kuasa. Dia yang bertubuh besar dan berambut pendek ditahan sekumpulan penguat kuasa Jaim selepas berlaku pergelutan, manakala ‘teman lelakinya’ dapat melepaskan diri.


Selepas berkali-kali merayu dan merintih, lelaki terbabit yang berasal dari Taman Desa Baru, Batu Berendam dekat sini, akhirnya pasrah apabila menyedari pegawai Jaim tidak termakan pujukan itu.

Wartawan akhbar ini yang mengikuti operasi bersepadu itu mendapati guru terbabit mengenakan gaun pendek bercorak bunga dengan mendedahkan bahagian dada dan paha serta memakai rambut palsu dan selipar labuci.


Dia kemudiannya digari dan selepas soal jawab serta dokumen peribadinya diperiksa, dia dibawa menaiki keretanya sendiri yang dipandu anggota Jaim ke Balai Polis Melaka Tengah.


Ketua Pegawai Penguat Kuasa Jaim, Rahimin Bani berkata, lelaki terbabit yang sudah diambil keterangannya dan dibebaskan dengan jaminan selepas dikeluarkan saman hadir di mahkamah.


Beliau berkata, lelaki terbabit disiasat mengikut Seksyen 72 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka (EKSNM) 1991 kerana berlagak seperti wanita, jika disabitkan boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-dua sekali.


Rahimi, berkata, Jaim turut menahan dua pasangan pelajar institusi pengajian tinggi di Johor yang tidur di dalam kereta berasingan berdekatan Medan Selera Samudera.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Taklayanrayuancikgupondan/Article/index_html

Siswi IPT leka minum arak antara dicekup

2010/02/16

KUALA LUMPUR: Siswi institusi pengajian tinggi (IPT) dan golongan elit antara mereka yang dicekup atas kesalahan meminum arak dalam Operasi Cumbu yang diadakan di lokasi utama di Selangor pada malam Hari Kekasih, Ahad lalu.

Mereka ditahan ketika leka berseronok dengan minuman memabukkan itu di beberapa pusat hiburan dan pub, seolah-olah langsung tidak berasa bersalah dengan kesalahan dilakukan, walaupun nyata bertentangan di sisi undang-undang. Penolong Pengarah Unit Perhubungan Awam dan Penerbitan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Mohd Hidayat Abd Rani, berkata mereka ditangkap melakukan kesalahan terbabit oleh sepasukan penguat kuasa yang melakukan operasi pada malam terbabit.


Menurutnya, melalui operasi itu pihaknya mengenal pasti pelbagai golongan, baik lelaki mahupun perempuan terbabit dengan pelbagai kesalahan, rata-rata berusia 20 hingga 40-an, termasuk gadis dari Sabah dan Sarawak.


“Operasi Cumbu tertumpu di kawasan taman rekreasi, hotel bajet, pusat hiburan dan pub, membabitkan beberapa lokasi utama di Petaling Jaya, Shah Alam, Gombak, Kajang dan Klang.


“Di Petaling Jaya dan Shah Alam, pihak Jais mendapati 39 orang Islam terbabit dalam kesalahan minum arak, enam kes kerana kesalahan bersekedudukan yang boleh didakwa melalui Seksyen 29 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995 dan 37 orang dikenakan arahan kaunseling.


“Serbuan di kawasan Gombak dan Kajang, mendapati 35 kes bersekedudukan dan enam orang dikenakan arahan kaunseling manakala di Klang, lima kes khalwat dan 13 dikenakan arahan hadir ke pejabat agama untuk menerima kaunseling,” katanya.

Operasi Cumbu membabitkan 80 penguat kuasa dari jam 10.30 malam hingga 5 pagi berkenaan, tidak berdepan dengan masalah, walaupun ada sesetengah yang diserbu memberikan pelbagai alasan sebagai taktik untuk meloloskan diri.


“Sesetengah mereka memberikan alasan berada di dalam bilik hotel kerana berbincang mengenai urusan pekerjaan dan hanya semata-mata mahu merehatkan badan bagi mengikuti aktiviti yang dijadualkan pada keesokan hari.


“Tetapi, bagi pihak kami, semua itu hanya sekadar alasan, malah tindakan tetap dikenakan kepada mereka tanpa sebarang kompromi,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/SiswiIPTlekaminumarakantaradicekup/Article/index_html

Lari ikut ‘abang Jo'

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my
2010/02/16

GOMBAK: Godaan selain ilmu pengasih diamalkan seorang buruh binaan warga Indonesia dipercayai menjadi punca seorang gadis, Norlaili Afizah, 19, termakan pujukan sehingga sanggup melarikan diri meninggalkan keluarga serta ibu yang sakit gara-gara diajak kahwin lari di tanah seberang.

SAYU..Rokiah sebak membaca surat  Norlaili sambil diperhatikan Mustapa.
SAYU..Rokiah sebak membaca surat Norlaili sambil diperhatikan Mustapa.
LARI...Norlaili  yang dilarikan buruh binaan warga Indonesia.
LARI...Norlaili yang dilarikan buruh binaan warga Indonesia.
Difahamkan, kehilangan mangsa yang disifatkan ahli keluarga sebagai anak yang baik mencetuskan tanda tanya berikutan mangsa amat patuh terhadap ibu bapa selain menjaga ibunya, Rokiah Ratih 50, yang menderita penyakit di bahagian otak sejak 10 tahun lalu.


Abang mangsa, Mustapa Kamal Omar, 26, berkata, kehilangan adik kesayangannya itu bersama seorang pemuda warga Indonesia bernama Sarjo cukup membuat mereka sekeluarga menderita, apatah lagi bapa dan adik yang lain kerap menangis sejak Norlaili hilang Jumaat lalu.


Menurutnya, kehilangan Norlaili hanya disedari selepas adiknya itu tidak pulang ke rumah mereka di Kampung Setia Jaya, Setapak di sini sehingga jam 7.30 malam.


“Pada mulanya, adik saya itu hanya memberitahu ingin pergi ke rumah rakannya kira-kira jam 11.20 pagi, namun tidak pulang ke rumah sehingga kini manakala telefon bimbit miliknya gagal dihubungi.


“Saya dan ayah, Omar Mahmud, 55, berusaha mencarinya hingga ke Kampung Kemensah, Hulu Klang berikutan ada maklumat mendakwa seorang lelaki Indonesia bernama Sarjo bertanggungjawab melarikan adik saya,” katanya.

Namun usaha itu gagal sebelum mereka menerima beberapa khidmat pesanan ringkas (SMS) memeranjatkan dihantar Norlaili yang memaklumkan berada di Johor Bahru dan dalam perjalanan menaiki feri ke Indonesia.


“Melalui SMS berkenaan, Norlaili turut memberitahu ada meninggalkan surat dalam kotak pisau yang disimpan dalam laci di dapur bagi memaklumkan pemergiannya.


“Berdasarkan surat berkenaan, Norlaili berulang kali meminta maaf kepada kami dan memberitahu ingin ke Indonesia bersama ‘abang Jo’ untuk berkahwin di sana. Dia memberitahu terpaksa kahwin lari kerana yakin hubungan mereka tidak direstui keluarga,” katanya.


Menurutnya, adiknya itu turut meminta ahli keluarga tidak bimbang dan berjanji akan pulang ke Malaysia suatu hari nanti.


“Kandungan surat itu cukup menghiris hati kami sekeluarga yang selama ini amat menyayanginya. Saya yakin ada ‘sesuatu’ yang dilakukan terhadap adik saya itu hingga fikirannya dikawal dan sanggup melarikan diri. Saya yakin adik saya tidak sanggup melakukan perbuatan itu kerana dia cukup manja dan tidak pernah membelakangkan keluarga dalam apa perkara sekalipun.


“Norlaili anak keempat daripada lima beradik dan tidak pernah sesekali keluar malam dan kini sedang menunggu tawaran bagi melanjutkan pelajaran ke Institut pengajian Tinggi Awam (IPTA),” katanya yang sudah membuat laporan di Balai Polis Taman Melawati di sini.


Menurutnya, adiknya itu berkemungkinan dipikat seorang buruh binaan warga Indonesia yang sebelum ini pernah bekerja di tapak pembinaan kondominium di seberang jalan rumah mereka beberapa tahun lalu.


“Mungkin kesempatan itu diambil lelaki warga Indonesia itu untuk memikat adik saya yang ketika itu cukup mentah,” katanya dengan linangan air mata.


Difahamkan, Norlaili kali terakhir dilihat keluar dari rumah membawa beg tangan dengan memakai baju kemeja hitam-kuning berlengan panjang dan berseluar jeans serta bertudung hitam.


Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai adiknya diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi talian 016-2690277.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Lariikut__8216_abangJo/Article/index_html

Potensi maut ubatan herba

2010/02/16

MELBOURNE: Seorang pakar patalogi forensik University of Adelaide memberi amaran mengenai potensi risiko maut ubatan herba jika diambil dalam kuantiti banyak, disuntik atau dicampur dengan ubat preskripsi.

Kertas kerja oleh Profesor Roger Byard yang diterbitkan dalam Jurnal Sains Forensik berpejabat di Amerika Syarikat menyatakan peratusan besar pengguna di seluruh dunia percaya kandungan toksik semula jadi yang tinggi dalam banyak ubat-ubatan herba adalah selamat. “Persepsi ubatan herba adalah lebih selamat daripada ubat dikilangkan adalah salah, sedangkan kebanyakannya mengandungi arsenik, raksa dan plumbum yang berbahaya,” kata Profesor Byard dalam kenyataan dikeluarkan universiti itu.


Katanya, bahan itu boleh menyebabkan penyakit serius, memburukkan lagi masalah kesihatan dihidapi atau mengakibatkan kematian, khususnya jika diambil secara berlebihan atau disuntik.


Profesor Byard berkata, juga amat berbahaya jika ubat herba dicampur dengan ubat preskripsi.


“Akses kepada produk itu sebahagian besarnya tidak dihadkan dan banyak orang tidak memberitahu doktor mereka mengambil ubat herba kerana bimbang diperlekehkan, sumbangan ubatan itu kepada kematian mungkin tidak dapat dikesan sepenuhnya oleh autopsi biasa,” katanya.


Analisis dijalankan ke atas 251 produk herba Asia di kedai di Amerika Syarikat mendapati bahan arsenik dalam 36 produk, raksa dalam 35 produk dan plumbum dalam 24 produk. - Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Potensimautubatanherba/Article/index_html

'Mengapa ayah, ibu cari saya'

Oleh Mohamad Yatim Latip
am@hmetro.com.my

2010/02/16

MELAKA: “Punah harapan saya apabila anak sulung yang bakal menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan yang berbaki satu semeter saja lagi dan diharapkan menjadi seorang guru hanya sempat menjalani praktikal selama empat hari sebelum menghilangkan diri,” kata seorang bapa, Mohd Yusof Burok, 57, dari Taman Pisang Mas Jaya, Gadek, Alor Gajah, mengenai kehilangan anak perempuannya, Yang Norhafizy, 22.

SEDIH...Mohd Yusof menunjukkan gambar Intan (gambar kecil) yang didakwa hilang sejak bulan lalu.
SEDIH...Mohd Yusof menunjukkan gambar Intan (gambar kecil) yang didakwa hilang sejak bulan lalu.
Mohd Yusof berkata, kehilangan anak sulung daripada empat beradik itu amat mengejutkan beliau dan isterinya, Fuziah Salllehudin, 47, kerana mereka mendakwa Yang Norhafizy tidak mempunyai sebarang masalah daripada segi sikap dan membuatkan mereka sukar menerima kenyataan itu.


Menceritakan detik sebelum anaknya dilaporkan hilang, Mohd Yusof berkata, Yang Norhafizy yang dipanggil dengan nama timangan ‘Intan’ sudah lebih dua tahun menuntut di Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia (IPBMM) di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur, sebelum dihantar menjalani praktikal mengajar di Sekolah Kebangsaan Sungai Kapar Indah, Kapar, Klang, bermula 4 Januari lalu hingga 21 Februari ini.


Katanya, beliau dan isterinya terkejut apabila menerima surat daripada IPBMM bertarikh 29 Januari lalu yang menjelaskan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) menerima laporan anak mereka tidak hadir melaporkan diri dan gagal menghubungi pihak sekolah, unit praktikum dan penyelia beliau.


Beliau berkata, kandungan surat itu turut mengatakan pihak HEP sudah menghubungi keluarga (bapa) iaitu beliau sendiri berhubung perkara itu, sedangkan beliau mendakwa ia tidak berlaku sehinggalah sehari sebelum surat pemberitahuan berkenaan (28 Januari 2010) dikeluarkan kepada anak mereka yang dihantar ke alamat rumahnya di Alor Gajah yang diterimanya pada 9 Februari lalu kira-kira jam 2 petang.


“Intan ada menghubungi saya selang seminggu selepas tarikh melaporkan diri pada 4 Januari lalu memberitahu dia sudah mengajar dan tinggal menyewa di Lot 3324-2, Batu 6, Sementa, Jalan Kapar, Klang.

“Bagaimanapun, selepas membaca dan meneliti surat dihantar pihak IPBMM itu, saya dapati kemungkinan anak saya tidak menghadirkan diri bertugas di sekolah terbabit pada 8 Januari lalu sehinggalah laporan mengenainya dibuat,” katanya semasa ditemui di Pejabat Pembela BN Negeri Melaka di Kota Cemerlang, Ayer Keroh di sini kelmarin.


Mohd Yusof berkata, keesokannya iaitu selepas sehari menerima surat itu, beliau bersama isteri dan adik lelakinya bergegas ke Klang dan apabila sampai di rumah sewa anaknya kira-kira jam 1 pagi, mereka diberitahu rakan serumah Intan bahawa anaknya itu tinggal di situ selama empat hari saja sebelum meninggalkan rumah sewa berkenaan.


Menurutnya dia juga mendapati hanya pakaian anak perempuannya ada di rumah berkenaan.


“Sebelum itu, rakan serumah anak saya turut mengatakan anak kami memaklumkan pada mereka bahawa dia mahu pulang ke kampung kerana sakit mata.


“Berikutan itu, saya menghabiskan masa selama tiga hari di sana untuk mencari Intan, dan semasa saya menelefonnya dia menangis dan mempersoalkan mengapa saya dan ibunya datang mencari sedangkan dia hendak tidur kerana mengantuk dan menyuruh saya membawa ibunya balik.


“Menerusi jawapannya yang dalam keadaan menangis itu saya dapat merasakan ada sesuatu tidak kena pada anak kami itu, malah sejurus selepas itu, usaha saya menghubunginya gagal,” katanya.


Sesiapa yang mempunyai maklumat atau mengenali Yang Norhafizy diminta menghubungi Mohd Yusof di talian 017-6326402 atau 06-5548297.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mengapaayah_ibucarisaya/Article/index_html

Tidak hubung sejak pisah

Oleh NAZARALI SAERIL dan SYARIFAH DAYANA SYED BAKRI

2010/01/03

KUALA LUMPUR: "Saya dan ustaz (Akhil Hayy) tidak pernah berhubung sejak berpisah 15 Julai 2008. Mungkin saya akan menghubunginya bagi memaklumkan niat saya untuk melangsungkan perkahwinan.

"Bagaimanapun, saya belum menentukan bila masa sesuai untuk menghubungi ustaz. Mungkin dalam masa terdekat," kata bekas isteri penyanyi dan penceramah bebas itu, Maizawati Zainal, semalam.

Maizawati yang berumur 34 tahun mengesahkan dia akan mengakhiri zaman solonya pertengahan Februari depan dengan mengahwini lelaki berusia 22 tahun yang berasal dari Likas, Sabah.


Menariknya, dia akan menjemput Akhil Hayy, 40, serta isteri barunya, penyanyi Norwahida Abdul Wahab atau Waheeda, 31, pada majlis perkahwinan itu yang bakal berlangsung di Ipoh.

"Walaupun tidak dijemput dalam majlis perkahwinan ustaz dan Waheeda, sebagai seorang Islam, saya tidak berdendam, sebaliknya akan menjemput mereka datang.

"Saya akan terima mereka dengan tangan terbuka sebagai tetamu. Begitu juga dengan sesiapa saja, cuma terimalah keadaan serta hidangan majlis itu seadanya kerana ia bakal diadakan secara sederhana," katanya.

Berkaitan perkenalannya dengan bakal suami, Maizawati memaklumkan mereka berkenalan selepas perpisahannya dengan Akhil selesai.

Katanya, jejaka berkenaan memiliki ciri-ciri diharapkan untuk menjadi suami dan bersyukur kepada Allah SWT kerana diberikan peluang untuk 'membina masjid' sekali lagi.


"Bakal suami seorang yang rendah diri, kelakar, ramah, tidak sombong, bijak menyelesaikan masalah selain punya bakat menyanyi dan suaranya mirip Amy Search," katanya yang mula mengenali lelaki berkenaan yang bertugas sebagai chef di sebuah restoran makanan Jepun di Singapura sejak lima bulan lalu.

Walaupun usia perkenalan mereka masih baru, hati Maizawati terbuka untuk mengenali dan menerimanya.

"Hubungan kami bukan seperti pada zaman remaja yang perlu masa untuk berkenalan dan bercinta tetapi yakin bahawa hati ini terbuka dengan izin Allah SWT," katanya.

Maizawati turut mengakui dia memilih untuk menamatkan kehidupan solo kerana kasihankan anak.

"Saya kasihankan anak, terutama yang bongsu dan berumur dua tahun, kerana sering bertanya kenapa orang lain ada ayah dan dia tidak. Dia juga yang meminta seorang ayah," katanya.

Dia mengakui, walaupun umur jejaka berkenaan jauh lebih muda, ia tidak menjadi halangan kerana sudah bersedia menjadi suami serta ayah kepada anaknya.

"Saya tidak anggap usia bakal suami sebagai pengukur kemampuannya menggalas tanggungjawab sebagai suami. Tidak semestinya lelaki lebih tua bertanggungjawab serta memahami susah payah dihadapi wanita.

"Tidak semestinya juga lelaki muda kurang bijak menangani hal rumah tangga. Yang penting, lelaki yang menjadi pilihan saya mengambil berat hal keluarga dan sanggup meredah susah senang bersama-sama," katanya yang bersyukur keluarga kedua-dua belah pihak menerima dan merestui hubungan mereka.

Maizawati berkata, pada mulanya dia gementar untuk menyuarakan hasrat berumah tangga kepada keluarga, namun tidak menduga mereka turut gembira dengan keputusan dibuatnya.

"Jika saya bergelar janda tanpa anak, kemungkinan besar saya tidak membuat keputusan untuk berumah tangga lagi. Disebabkan kehadiran anak menyebabkan saya tekad mendirikan masjid dengan pilihan hati.

"Emosi seorang ibu berbeza, apatah lagi melihat anak membesar tanpa perhatian ayah. Saya pernah lalui kehidupan tanpa ayah dan saya tahu apa yang anak rasa," katanya.

Dia yang kini sibuk membuat persiapan perkahwinan bercadang menjalankan perniagaan menjual serta mengedar madu herba bersama bakal suami yang akan meletak jawatan sebagai shef tidak lama lagi.

Sesiapa yang berminat menjadi pengedar madu herba itu boleh melayari maiza_collection75@yahoo.com.

Maizawati pernah mencetuskan kejutan apabila membuat pengakuan terbuka mengenai hubungan bekas suaminya dengan Waheeda serta merelakan penyanyi wanita berkenaan menjadi madunya.

Bagaimanapun, Akhil Hayy dan Waheeda menafikan hubungan mereka hingga diijabkabulkan di Masjid Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Bharu, 16 Ogos lalu.

Maizawati dan Akhil Hayy bercerai talak satu pada 15 Julai lalu di depan Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Ipoh, Mohd Ridzuan Mohd Yusof.

Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Siti Nur Maisarah, 12; Mohd Syarif Idayatullah, 11; Mohd Syakir Idayatullah, 8, dan Mohd Syatiri Idayatullah, 2.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/nd055d/Article/index_html

Buru suami

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
iskandar@hmetro.com.my

2010/01/03

AMPANG: Selepas mengalami kesukaran memujuk suami seorang wanita yang ditemui mati berbungkus selimut dalam almari di rumahnya di Taman Pinggiran Ukay di sini, Rabu lalu, supaya menyerah diri, polis mengedar gambar lelaki terbabit kepada umum, semalam.

Lelaki itu, Mohafri Mohamed, 37, yang juga pengurus katering dikehendaki polis bagi membantu siasatan kes terbabit.

Mohafri dipercayai kali terakhir dilihat di stesen komuter Rawang dengan membawa sebuah beg sandang dan wang RM100.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata melalui hasil siasatan dan perbualan dengan ahli keluarga, pihaknya tidak menolak kemungkinan lelaki terbabit masih berada di sekitar Lembah Klang.


“Kita (polis) percaya dia bersembunyi dan sering berpindah dari satu lokasi ke lokasi lain, sekali gus menyukarkan usaha untuk menjejakinya.

“Kita gunakan pelbagai cara, termasuk mengedar gambarnya, dan berharap ahli keluarga dapat memujuknya keluar dari tempat persembunyian untuk menyerah diri,” katanya.

Menurut Abdul Jalil, beliau turut mengarahkan pegawai dan anggotanya meneruskan usaha memburu Mohafri di beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang.

Beliau berkata, polis meminta orang ramai yang pernah terlihat atau ada maklumat supaya menghubungi balai polis berdekatan untuk membantu siasatan.

Difahamkan, ketika dihubungi ahli keluarga, lelaki itu dipercayai mahu menyerah diri namun tidak berani melakukannya dan kelihatan seperti keliru dengan apa yang berlaku.


Harian Metro sebelum ini melaporkan, kebimbangan seorang rakan membawa kepada penemuan mayat seorang wanita, dipercayai mati dibunuh suaminya dalam kejadian di Pinggiran Ukay, di sini.

Mangsa dikenali sebagai Fazlina Ahmad, 39, dipercayai dalam proses bercerai dengan suaminya, ditemui dalam keadaan menyayat hati apabila mayatnya dibungkus dengan cadar dan disumbat dalam almari baju di tingkat atas bilik utama rumah teres dua tingkat itu.

Polis menerima laporan kehilangan mangsa jam 1 tengah hari daripada rakan baik mangsa yang sering berhubungan dengannya, namun apabila panggilan tidak dijawab, rakannya membuat laporan polis.

Sejurus menerima maklumat itu, polis menemui mayat mangsa dalam almari, kira-kira jam 9 malam.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/20100103121333/Article/index_html

'Pakej maksiat'

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN

2010/01/03

KUALA LUMPUR: Dulu urut batin, tetapi kini 'urut badan dengan badan' dijadikan sebagai umpan berahi untuk menarik perhatian lelaki hidung belang berkunjung ke rumah urut.

Dengan bayaran antara RM130 hingga RM150, khidmat ekstra itu hangat diperkatakan sekarang sehingga tauke rumah urut berlumba-lumba menawarkannya.

Wartawan Metro Ahad mengesan kewujudan 'pakej maksiat' terbabit selepas diberitahu oleh seorang pelanggan tetap beberapa rumah urut yang menyediakan khidmat itu.


Dikenali sebagai Faizal, 32, dia mendakwa khidmat ekstra itu ditawarkan secara terbuka kepada pelanggan.

Menurutnya, ia dengan panggilan 'B2B' (body to body) di kalangan pelanggan yang mengetahuinya, terutama golongan muda.

"Dulu kalau ke rumah urut, tawaran yang selalu diberi adalah urut batin, tetapi sekarang ada urut badan dengan badan. Sebut saja B2B, ia popular di kalangan mereka yang selalu berkunjung ke rumah urut,' katanya.

Faizal berkata, sama seperti khidmat urut batin yang pada mulanya ditawarkan secara rahsia, kini kebanyakan rumah urut menawarkan khidmat B2B secara terbuka.

"Pada mulanya saya tidak tahu ada khidmat seperti itu di rumah urut kerana sebelum ini yang sering diuar-uarkan adalah urut batin dan seks.


"Ketika berkunjung ke sebuah rumah urut di bandar raya ini, penjaga kaunternya dengan selamba menawarkan saya khidmat B2B yang asyik dikatakan sebagai lain daripada yang lain.

"Penjaga kaunter itu beritahu ia tidak membabitkan seks, sebaliknya hanya gesel menggesel menggunakan tubuh si tukang urut wanita tanpa seurat benang," katanya.

Menurut Faizal, rumah urut dikunjunginya menetapkan harga antara RM130 hingga RM150 untuk pakej itu.

"Pertama kali mencuba, saya berasa ketagih untuk mengulanginya semula. Kesudahannya pada awalnya seminggu sekali saja, tetapi lama kelamaan dua tiga kali sebulan kerana belanjanya besar.

"Sepanjang berkunjung ke beberapa rumah urut yang menawarkan khidmat itu, saya akui kebanyakan pelanggan 'kemaruk' memilih pakej berkenaan," katanya.

Faizal berkata, tidak kurang daripada 10 rumah urut di Kuala Lumpur dan Selangor menawarkan khidmat itu.

"Ada rumah urut yang dulu hanya menawarkan urut batin kini menyediakan B2B apabila menyedari pakej itu menjadi buruan dan lebih menguntungkan.

"Berdasarkan pengalaman saya, tukang urut yang melakukan 'tugas' itu adalah warga asing, terutama dari China dan Thailand. Ada yang langsung tak tahu mengurut, sebaliknya hanya melakukan B2B," katanya.

Berdasarkan maklumat diberi Faizal, wartawan Metro Ahad berkunjung ke sebuah rumah urut yang menyediakan khidmat itu.

Terbukti dakwaan Faizal benar kerana penjaga kaunter memberitahu ada 'servis' B2B sebaik ditanya mengenai pakej ditawarkan.

"Apa 'servis' awak mahu? Sini ada B2B, urut badan dengan badan. Tak mahal, RM150 saja untuk satu jam," kata penjaga rumah urut berkenaan.

Kunjungan sekitar jam 8 malam itu turut membuktikan kegilaan lelaki hidung belang terhadap pakej B2B terserlah apabila penjaga kaunter memberitahu semua tukang urut sibuk melayan pelanggan.

"Awak kena tunggu lagi satu jam sebab tukang urut tiada. Semua layan pelanggan yang kebanyakannya ambil pakej B2B.

"Awak mesti cuba. Tengok... ramai ambil pakej itu," katanya.

Bagi membuktikan dakwaan itu, wartawan Metro Ahad berpura-pura mendekati seorang pelanggan yang menunggu giliran.

Ketika ditanya tujuannya ke rumah urut itu, tanpa berselindung lelaki terbabit memberitahu mahu mengambil pakej B2B.

"Sudah tiga kali saya ke sini dan ramai juga kawan datang sebab ada pakej B2B. Bukan di sini saja, ada rumah urut lain buat B2B. Saya ada juga pergi ke tempat lain. Banyaklah sekarang (tawarkan B2B)," katanya.

Dalam pada itu, pemantauan di sebuah rumah urut lain mendapati perkhidmatan berkenaan turut disediakan. Penjaga kaunter memaklumkan, selain urut batin, urut badan dengan badan adalah 'menu istimewa' mereka.

Bayaran dikenakan adalah RM150 dan khidmat itu dilakukan tukang urut warga Thailand.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/b2b/Article/index_html

Isteri durjana

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim

2010/01/09

KEPONG: Gerak hati yang kurang tenteram ketika sedang memandu ke pejabat menyebabkan seorang lelaki mengambil keputusan berpatah balik untuk menjenguk keadaan isterinya di rumah.

Tindakan itu bagaimanapun membongkar rahsia skandal seks isteri yang dinikahinya hampir setahun lalu bersama seorang lelaki lain.

Lebih geram, hati suami mana tidak hancur luluh apabila menyaksikan dengan mata sendiri isteri sedang berasmara dengan lelaki lain dalam bilik tidurnya sendiri.


Perbuatan curang wanita itu dilakukan tanpa menyedari dia sedang diperhatikan suaminya yang meninjau secara diam-diam dalam kejadian di sebuah pangsapuri di sini, Rabu lalu.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, suami berusia 30-an berkenaan berpatah balik ke rumahnya ketika dalam perjalanan ke tempat kerja apabila berasakan ada sesuatu tidak kena di rumahnya.

Sumber polis memberitahu, ketika tiba di rumah, wanita itu sedang mandi menyebabkan dia tidak menyedari kepulangan suaminya.

"Lelaki itu terus masuk ke bilik tidurnya, namun terkejut apabila mendapati semua gambar perkahwinannya tiada di tempat biasa, dipercayai disembunyikan isterinya.

"Curiga dengan perubahan itu, suami berkenaan bersembunyi dalam bilik bersebelahan sebelum seorang lelaki tidak dikenali memasuki rumahnya tidak lama selepas itu lalu disambut mesra isteri durjana terbabit," katanya.


Bagaimanapun, ketika asyik bermesra dengan kekasih gelapnya, wanita berusia lingkungan 30-an terbabit terpandang kereta suaminya di tempat letak kenderaan di bawah pangsapuri itu.

Bagi mendapatkan kepastian, wanita terbabit segera menghubungi suaminya bertanyakan dia berada di mana selain bertanyakan sama ada sudah ke pejabat.

Namun, si suami yang sedang bersembunyi dalam bilik bersebelahan terlebih dulu mengaktifkan mod senyap pada telefon bimbitnya dan menjawab SMS isterinya dengan menyatakan dia pergi kerja dengan menumpang kereta rakan sepejabatnya.

Lega dengan jawapan suami, wanita terbabit menyambung semula aksi seks bersama kekasih Serani dipercayai bukan Islam tanpa menyedari tingkah laku kedua-dua mereka sedang diperhatikan.

"Si suami kemudian menyusup keluar rumah selepas melihat perbuatan keji isterinya sebelum mengunci pintu kediamannya dari luar dan segera memaklumkan kepada jiran dan polis bagi membantu memberkas pasangan berkenaan.

"Sejurus menerima maklumat, anggota polis daripada Unit Kereta Peronda (MPV) bergegas ke tempat kejadian sebelum menahan kedua-dua pasangan gelap itu sebelum membawa mereka ke balai polis bagi membantu siasatan," katanya.

Suami terbabit membuat laporan di Balai Polis Desa Jaya di sini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/mj4360/Article/index_html

Paksa isteri jadi pelacur

Oleh Hadzlihady Hassan

2010/01/02

KUALA LUMPUR: Gagal mendapatkan wang berjumlah RM1,500 daripada isteri, seorang suami sanggup memaksa isterinya menjadi pelacur untuk mendapatkan wang secara mudah dalam satu kejadian di sebuah rumah di Pandan Perdana, dekat sini, minggu lalu.

Malah, suami durjana terbabit turut mengugut akan mengetuk kepala isterinya dan akan membunuh mangsa selepas wanita itu berkeras enggan meminjam wang daripada ibunya selepas disuruh lelaki terbabit.

Menurut sumber, kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 2 pagi, apabila mangsa yang bekerja sebagai jurujual dipaksa menyerahkan wang terbabit oleh suaminya.


"Namun, wanita itu memberitahu secara baik yang dia langsung tidak mempunyai wang sebanyak diminta suaminya itu.

"Jawapan itu membuatkan lelaki terbabit mula berang dan dia terus memukul mangsa di leher dengan menggunakan tangan sebelum bertindak lebih kejam apabila memijak dada wanita berkenaan," katanya.

Sumber terbabit berkata, keesokannya, suami durjana terbabit masih tidak berpuas hati dan dia meminta isterinya meminjam wang yang dimahukan itu daripada ibu wanita itu.

"Wanita itu memberitahu yang dia segan dan malu untuk meminta wang terbabit daripada ibunya dan enggan mencampuri urusan suaminya itu.

"Lelaki terbabit sekali lagi berang apabila mendengar jawapan itu dan dia terus menolak kipas yang berada di atas meja dan hampir terkena isterinya," katanya.


Perbuatan kejinya tidak terhenti di situ apabila dia tergamak meminta isterinya menggadaikan tubuh dengan menjadi pelacur semata-mata mahu memperoleh wang terbabit dengan cepat.

Malah, suami kejam itu turut mengugut akan membunuh dan mengetuk kepala isterinya menggunakan tukul jika dia enggan mengikut arahan diberikan.

Berikutan kejadian itu, isterinya yang berusia 22 tahun itu kemudian melarikan diri sebelum dia yang takut dengan ugutan suaminya itu, akhirnya menghubungi ibunya untuk meminta pertolongan.

Atas nasihat ibunya, wanita itu yang bimbang keselamatannya terancam kemudian membuat satu laporan polis berhubung kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abd Jalil Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan masih dijalankan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/mj2256/Article/index_html

Tuesday, February 9, 2010

Serina Hamil, Suami Hadiahkan Percutian Ke Perth

Selasa Februari 9, 2010

Serina mengemudi program Jalan-Jalan Cari Makan Musim Ke-13. - Foto The star oleh NORAFIFI EHSAN

SINAR bahagia jelas terpancar pada wajah pelakon, pengacara dan model Serina Redzuawan yang kini sedang hamil lima minggu.

Orang pertama yang menerima berita gembira itu sudah tentu suaminya, Gavin Edward O'luanaigh atau nama Islam Salahudin Ghafar dan yang kedua adalah bapa tersayang, Chef Wan dan ibu, Norhayati Ayob.

Serina yang 'bunting pelamin' telah diijab kabulkan dengan Gavin pada 1 Januari 2010 di Masjid Wilayah Persekutuan dan diraikan dalam enam resepsi.

Belum puas berkongsi rasa gembiranya dengan kaum keluarga dan rakan-rakan, Serina bertambah gembira menerima hadiah daripada suaminya berupa percutian ke Perth, Australia.

Wajah bahagia bakal ibu.

Pasangan bahagia ini akan terbang ke Perth mulai hari ini dan menghabiskan masa cuti selama seminggu.

“Selepas disahkan hamil, sebagai kejutan, saya memberikan kad ucapan kepada suami dengan menulis congratulations for your baby.

“Selepas itu saya menghantar SMS kepada ayah saya dan dia membalas dengan lima muka surat SMS termasuk meminta saya menjaga pantang larang dan mengambil vitamin untuk kesihatan.

“Saya rasa rezeki anak ini bukan sahaja menunaikan impian saya dan Gavin malah turut mengabulkan doa bapa saya yang mahukan cucu ketika meniup lilin kek hari jadinya yang ke-53 tahun pada bulan lepas di Restoran Subak, Bukit Lanjan,” kata Serina yang mula mengimpikan untuk mendapat bayi lelaki kelak ketika sidang media program Jalan-Jalan Cari Makan (JJCM) Musim Ke-13 di ibu kota semalam.

Pelakon drama Akademi Polis dan Roda-Roda Kuala Lumpur ini berkata dia lebih teruja dengan bayi lelaki kerana sudah terbayangkan bagaimana aksi dia bermain bola sepak bersama anak lelakinya.

Walaupun kandungannya masih terlalu awal dan belum terkena apa-apa alahan, Serina berkata dia sudah mula mengidam makanan yang jarang disukai olehnya.

Serina dan Gavin dinikahkan pada 1 Januari lalu.

“Semasa baru-baru lagi, tiba-tiba sahaja saya menghubungi Domino’s Pizza dan memesan pizza dan Coca Cola sedangkan suami saya lebih teruja dengan makanan barat,” ceritanya yang gemarkan aktiviti lasak.

Namun begitu, tidak bermakna dia akan berhenti terus daripada menyertai aktiviti seperti sukan bermotor kerana tidak lama lagi wanita berusia 27 tahun ini akan menyambung penggambaran drama Roda-Roda Kuala Lumpur (RRKL).

“Saya boleh naik motor tapi tak boleh ganas-ganas macam dulu. Selain berlakon dalamRRKL, saya juga akan terlibat dengan banyak lagi program TV lain.

“Bagaimanapun, saya perlu mengutamakan JJCM. Saya akan teruskan penggambaran program ini mengikut kemampuan saya,” katanya yang telah selesai menjalani penggambaran sebanyak 10 episod.

Tidak guna kabel Chef Wan

Serina menggantikan pengacara asalnya, Maria Tunku Sabri dengan menggunakan konsep tersendiri.

Dalam pada itu, wanita yang berasal dari Kuala Lumpur ini berkata dia mempertaruhkan bakat yang ada dan bukannya menggunakan kabel bapanya untuk mengendalikan program itu.

“Saya juga menjalani sesi ujibakat seperti orang lain. Lagipun, sebelum menyertai ujibakat program ini, saya tengok dulu sama ada karektor saya bersesuaian dengan program ini atau tidak. Selepas itu, semuanya saya serah kepada Allah,” jelasnya yang menggayakan rambut pendek demi program itu.

Selepas dua minggu pulang dari berbulan madu di Greece pada Januari lalu, terus Serina memotong rambutnya dan berharap imej barunya itu dapat menarik minat penontonJJCM13.

Walaupun begitu, Serina berkata dia tetap kekal dengan sikap semulajadinya yang ramah dan ‘gila-gila’ kerana tidak mahu hipokrit di hadapan penonton.

Kelainan yang diterapkan oleh Serina juga termasuk menjadikan program ini berbentuk infotainment di mana bukan sahaja menyelitkan hiburan malah maklumat yang berguna.

“Saya ingin menunjukkan yang makanan boleh membuat orang gembira dengan membantu orang-orang susah. Jadi, saya cuba membawa anak-anak yatim untuk menjamah makanan yang sedap-sedap ini.

“Selain itu, saya juga pergi memancing ikan dan meminta kedai makan yang terpilih itu untuk memasak ikan itu. Pada masa yang sama, saya sebenarnya nak beritahu yang memancing itu bagus,” beritahunya.

Dalam seminggu, Serina telah menghabiskan masa di tiga buah restoran untuk mencuba dalam 40 jenis masakan pada setiap hari.

Biarpun begitu, Serina menegaskan dia langsung tidak takut jika badannya naik kerana dia akan menghabiskan masa untuk bersenam di gimnasium.

Saksikan JJCM13 mulai 14 Februari ini, setiap Ahad, pukul 12 tengah hari di TV3.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/2/9/mstar_hiburan/20100208212426&sec=mstar_hiburan

Perhimpunan Di Padang Mahsyar

Isnin Februari 8, 2010

Hadith :

Dari Abi Hurairah r.a ., bahawa Nabi s.a.w bersabda: “ Manusia berpeluh pada hari kiamat dengan banyaknya sehingga air peluh mereka meresap ke dalam bumi berpuluh-puluh hasta dan menenggelami mereka sehingga sampai ke telinga masing-masing.”

Riwayat Bukhari dan Muslim

Huraian:

1. Untuk menzahirkan tanda kesangatan murka Tuhan Yang Maha Adil terhadap orang-orang yang bersalah maka pada masa itu didekatkan matahari kepada kepala manusia dan dibawa datang Neraka jahannam ke padang Mahsyar serta diberikannya bercakap menyatakan jenis-jenis orang yang diserahkan kepadanya menjalankan hukuman azab seksanya.

2. Bagi orang yang beriman, mereka mendapat pertolongan Allah seawalnya

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

http://mstar.com.my/variasi/agama/cerita.asp?file=/2010/2/8/mstar_agama/20100208110458&sec=mstar_agama

Menilai Meja Kopi

Sabtu Februari 6, 2010

SAYA menulis artikel ini dalam keadaan yang amat letih. Petang Sabtu seperti biasa adalah waktu penamat untuk pengiriman artikel.

Pagi tadi (Sabtu) saya baru sahaja sampai dari London. Pergi ke sana hanya dua hari setengah. Sempat untuk mengisi dua ceramah.

Satunya khas untuk siswi dan satu lagi majlis yang agak besar. Majlis muzakarah bersama saya itu turut dihadiri oleh beberapa pemimpin politik tanahair.

Di samping itu, saya sempat berjumpa dengan beberapa sahabat karib yang sering bertukar-tukar pandangan. Mereka masih di United Kingdom. Antara mereka penulis terkenal dengan ketajamannya Saudara Maszlee Malik dan peguam yang ternama Saudara Ahmad Jailani. Mereka bakal mendapat Ph.D masing-masing insya-Allah.

Sahabat saya Mufti Perlis sekarang, Dr Juanda juga ada bersama. Berjumpa sahabat-sahabat yang saling memahami kadang-kala lebih membahagiakan dari berjumpa dengan mereka yang mempunyai hubungan kekeluargaan tetapi hidup di alam yang berbeza.

Kami berjumpa seperti biasa. Itulah kami, setiap kali berjumpa berbagai-bagai tajuk akan muncul, dan tidak lupa juga masing-masing bertanya khabar buku atau karya ilmiah baru yang berkaitan. Saudara Maszlee agak jaguh mengenai buku-buku Barat ini.

Walaupun dua hari amat singkat untuk kami ‘bersembang’ kesemua tajuk yang membabitkan masa depan umat Islam, negara dan rakyat Malaysia namun seperti biasa ia satu kesempatan yang manis.

Memang jika kita duduk berbincang tajuk-tajuk sedemikian dengan jiwa yang ikhlas dan mengharapkan kebaikan masa depan dakwah, umat dan rakyat, terlalu lazat dan enak rasanya.

Ia meresap dalam jiwa masing-masing. Pembentangan pemikiran, fakta dan penilaian amat mengasyikkan. Bagaikan dibuai angin yang sepoi-sepoi bahasa, waktu berlari selaju meter tajuk-tajuk yang dibincangkan.

Bilik sewaan MSD, meja kopi di Café Italy, Malaysia Hall dan kedai buku terpakai yang kami bertawaf dalamnya mengaksikan berbagai pandangan, impian, hasrat dan kerisauan tentang masa depan Malaysia. Senda gurau dan lawak jenaka menyulami perbincangan di sana sini.

Demikian kami dan sahabat-sahabat kami yang lain. Demikian juga saya yakin kebanyakan pembaca sekelian. Berbual dan bersembang bukan tiada faedahnya. Cumanya, apakah yang patut kita isi dalam perbualan dan pertemuan antara kita.

Saya catat hal ini bukan untuk menunjukkan apa yang kami lakukan. Orang lain lakukan lebih baik dari kami. Cumanya, saya ingin ingatkan pembaca tentang kepentingan tajuk ini. Manusia ini secara umumnya makhluk bersosial.

Kita inginkan teman dan rakan untuk meluahkan perasaan dan mendengar pandangan. Kadang-kala kopi dan teh hanyalah hiasan hidangan, ‘sembang-sembang’ itu yang penting. Ramai orang membazir masa sahaja kalau bersembang.

Ya, bersembang kosong memang membazir masa, bahkan kadang-kala menempah berbagai dosa. Namun berbual bersama teman, apatah lagi dengan insan-insan yang berilmu banyak faedahnya.

Perbualan yang diisi dengan ilmu dan nasihat serta lontaran cadangan dan idea yang baik, amatlah diperlukan oleh insan yang ingin membangun. Meja kopi dan teh boleh menjadi meja ilmu dan nasihat menasihati kepada kebenaran dan kesabaran atas amanah perjuangan seperti yang diajar oleh Surah al-‘Asr.

Diriwayatkan Al-Imam Abu Yusuf Ya’kub bin Ibrahim iaitu ilmuwan besar sahabat al-Imam Abu Hanifah ketika sakit hendak meninggal dunia masih lagi berbual tentang ilmu.

Ketika muridnya Ibrahim bin al-Jarrah menziarahinya di dapati beliau pitam kesakitan. Namun apabila beliau sedar sahaja dan melihat wajah muridnya itu, terus dia berbincang dengan muridnya tersebut mengenai hukum syarak.

Muridnya berkata: “Apakah pada waktu yang sebegini?”. Kata Abu Yusuf: “Tak mengapa, kita kaji, mana tahu barangkali menyelamatkan seseorang”. Selepas perbincangan, anak muridnya hendak keluar, tetapi apabila sampai sahaja ke pintu, beliau mendengar tangisan yang hadir tanda gurunya itu telah meninggal dunia. (Abu Ghuddah, Qimah al-Zaman ‘Inda ‘Ulama, m.s 15).

Ini ilmuwan dan begitulah kita jika ingin mendapatkan ilmu. Sebab itu duduk berbual dan berbicara dengan ilmuwan merupakan perkara yang terpuji dalam agama ini. Pergi berjumpa ilmuwan, mendampingi mereka, mendengar pandangan mereka, mengambil faedah dari hikmah dan ketajaman minda mereka dapat membentuk dan membangunkan seseorang.

‘Auf bin ‘Abdillah pernah berkata kepada isteri sahabat Nabi s.a.w Abu Dardak iaitu Umm al-Dardak: “Apakah kami duduk bersama engkau menyebabkan engkau jemu?”. Jawabnya: “Aku telah berusaha agar setiap perkara menjadi ibadah. Tiada yang lebih mengubati jiwaku dari duduk bersama ulama” (Al-Nawawi, Tahzib al-Asma wa al-Lughat, 1/953).

Perbualan boleh menjadi ibadah jika isi kandungannya mengingatkan kita kepada kebenaran dan kesabaran atas jalan Allah. Ia membangunkan minda dan jiwa. Sepatutnya, setiap kita ambil kesempatan ini.

Sekalipun jika tiada ilmuwan atau cerdik pandai besar dalam perbualan kita, kita mesti berusaha menjadikan perbincangan atau ‘meja kopi’ kita dihiasi dengan perkataan dan pandangan yang berusaha kepada kebaikan dan pembangunan pemikiran.

Setiap orang dengan kadar ilmunya berbicara kepada rakan apa yang dipelajari dan didapati dari bahan-bahan ilmu yang baik. Maka berfaedahlah waktu makan dan minum kita ketika bersama rakan dan sahabat handai.

Ramai dalam kalangan kita yang tidak menjadikan meja kopinya meja ilmu. Apabila duduk dengan teman dan rakan mereka jadikan perbualan kosong yang tidak membangunkan minda dan jiwa mencuri peruntukan umur yang diberikan kepada mereka.

Berbual dan bersenda bukanlah dilarang. Agama ini bukannya sempit dan jumud. Namun setiap perkara dengan kadarnya. Jika setiap kali duduk di meja kopi dipenuhi dengan perbualan kosong, atau dusta atau menyakitkan orang lain tanpa alasan yang benar adalah melampaui batasan agama.

Setiap kita patut meninggalkan meja yang seperti itu. Rosaknya sesetengah masyarakat melayu kerana ‘meja kopi’ yang menelan umur dan membazir hayat. Tajuk-tajuk perbincangan yang tidak memberikan faedah pada diri ataupun masyarakat bahkan merosakkan diri dan orang lain sering memenuhi kedai kopi kita.

Samada pada waktu pagi, ataupun ketika rehat bekerja, meja kopi menjadi tempat membazir pahala dan mengumpul dosa. Ada yang lupa hal diri dan keluarga sendiri, sibuk hal orang lain di kedai kopi.

Tanpa rasa malu pada diri, apatah lagi kepada Allah yang memberikan umur kepadanya sanggup pergi balik ke kedai kopi untuk mencari ‘rakan bual kosong’ bagaikan orang ketagihan candu. Di kampung-kampung orang melayu bukan sedikit hal yang demikian. Dari situ munculnya berbagai bisikan dan gossip dalam masyarakat kita.

Sudahlah taukeh kedai pun tidak untung seberapa dengan sekawan kopi tetapi duduk berjam-jam. Keluarga pula terabai. Masa yang dibazirkan di meja kopi itu jika dikumpulkan, barangkali orang melayu sudah mampu menguasai ekonomi negara ini. Namun, lawatilah kedai-kedai kopi di sesetengah tempat.

Di penuhi dengan ‘kaki-kaki lepak’ yang sebahagian sudah menjelang umur senja. Jika anak muda Melayu ramai yang suka lepak, orang tua-tua melayu yang suka lepak pun peratusnya pun bukan sedikit dalam masyarakat kita.

Sebab itu al-Quran melarang perbuatan lagha atau sia-sia dalam bicara yang berfaedah. Firman Allah: (maksudnya) Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman. Juga mereka yang khusyuk dalam solatnya. Juga mereka yang menjauhkan diri dari yang lagha” (Surah al-Mukminun, ayat 1-3). Kata al-Imam al-Sa’di dalam tafsirnya: “Lagha itu perkataan yang tiada kebaikan dan tiada faedah”.

Bersembang, berbual dan duduk di meja kopi bukan salah. Namun pengisiannya itu mestilah diislamisasikan. Jangan jadikan ia meja ‘lagha’ atau sia-sia. Jangan jadikan ia meja dosa. Jadikan ia meja pahala. Meja yang membangunkan minda. Menmbangunkan ilmu dan kebaikan, bukan membangunkan kejahatan dan mensia-siakan umur. Jika tidak mampu jadikan ia meja kebaikan, lebih tinggalkan sahaja!!

http://mstar.com.my/kolumnis/cerita.asp?file=/2010/2/6/mstar_kolum_minda_mufti/20100206214648&sec=mstar_kolum_minda_mufti

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...