Saturday, February 20, 2010

'Mengapa ayah, ibu cari saya'

Oleh Mohamad Yatim Latip
am@hmetro.com.my

2010/02/16

MELAKA: “Punah harapan saya apabila anak sulung yang bakal menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan yang berbaki satu semeter saja lagi dan diharapkan menjadi seorang guru hanya sempat menjalani praktikal selama empat hari sebelum menghilangkan diri,” kata seorang bapa, Mohd Yusof Burok, 57, dari Taman Pisang Mas Jaya, Gadek, Alor Gajah, mengenai kehilangan anak perempuannya, Yang Norhafizy, 22.

SEDIH...Mohd Yusof menunjukkan gambar Intan (gambar kecil) yang didakwa hilang sejak bulan lalu.
SEDIH...Mohd Yusof menunjukkan gambar Intan (gambar kecil) yang didakwa hilang sejak bulan lalu.
Mohd Yusof berkata, kehilangan anak sulung daripada empat beradik itu amat mengejutkan beliau dan isterinya, Fuziah Salllehudin, 47, kerana mereka mendakwa Yang Norhafizy tidak mempunyai sebarang masalah daripada segi sikap dan membuatkan mereka sukar menerima kenyataan itu.


Menceritakan detik sebelum anaknya dilaporkan hilang, Mohd Yusof berkata, Yang Norhafizy yang dipanggil dengan nama timangan ‘Intan’ sudah lebih dua tahun menuntut di Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia (IPBMM) di Jalan Pantai Baru, Kuala Lumpur, sebelum dihantar menjalani praktikal mengajar di Sekolah Kebangsaan Sungai Kapar Indah, Kapar, Klang, bermula 4 Januari lalu hingga 21 Februari ini.


Katanya, beliau dan isterinya terkejut apabila menerima surat daripada IPBMM bertarikh 29 Januari lalu yang menjelaskan pihak Hal Ehwal Pelajar (HEP) menerima laporan anak mereka tidak hadir melaporkan diri dan gagal menghubungi pihak sekolah, unit praktikum dan penyelia beliau.


Beliau berkata, kandungan surat itu turut mengatakan pihak HEP sudah menghubungi keluarga (bapa) iaitu beliau sendiri berhubung perkara itu, sedangkan beliau mendakwa ia tidak berlaku sehinggalah sehari sebelum surat pemberitahuan berkenaan (28 Januari 2010) dikeluarkan kepada anak mereka yang dihantar ke alamat rumahnya di Alor Gajah yang diterimanya pada 9 Februari lalu kira-kira jam 2 petang.


“Intan ada menghubungi saya selang seminggu selepas tarikh melaporkan diri pada 4 Januari lalu memberitahu dia sudah mengajar dan tinggal menyewa di Lot 3324-2, Batu 6, Sementa, Jalan Kapar, Klang.

“Bagaimanapun, selepas membaca dan meneliti surat dihantar pihak IPBMM itu, saya dapati kemungkinan anak saya tidak menghadirkan diri bertugas di sekolah terbabit pada 8 Januari lalu sehinggalah laporan mengenainya dibuat,” katanya semasa ditemui di Pejabat Pembela BN Negeri Melaka di Kota Cemerlang, Ayer Keroh di sini kelmarin.


Mohd Yusof berkata, keesokannya iaitu selepas sehari menerima surat itu, beliau bersama isteri dan adik lelakinya bergegas ke Klang dan apabila sampai di rumah sewa anaknya kira-kira jam 1 pagi, mereka diberitahu rakan serumah Intan bahawa anaknya itu tinggal di situ selama empat hari saja sebelum meninggalkan rumah sewa berkenaan.


Menurutnya dia juga mendapati hanya pakaian anak perempuannya ada di rumah berkenaan.


“Sebelum itu, rakan serumah anak saya turut mengatakan anak kami memaklumkan pada mereka bahawa dia mahu pulang ke kampung kerana sakit mata.


“Berikutan itu, saya menghabiskan masa selama tiga hari di sana untuk mencari Intan, dan semasa saya menelefonnya dia menangis dan mempersoalkan mengapa saya dan ibunya datang mencari sedangkan dia hendak tidur kerana mengantuk dan menyuruh saya membawa ibunya balik.


“Menerusi jawapannya yang dalam keadaan menangis itu saya dapat merasakan ada sesuatu tidak kena pada anak kami itu, malah sejurus selepas itu, usaha saya menghubunginya gagal,” katanya.


Sesiapa yang mempunyai maklumat atau mengenali Yang Norhafizy diminta menghubungi Mohd Yusof di talian 017-6326402 atau 06-5548297.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Mengapaayah_ibucarisaya/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...