Saturday, February 20, 2010

2 jam pisau di leher adik

Oleh Amir Abd Hamid
amir@hmetro.com.my
2010/02/18

BERANANG: Akibat ketagih dadah, seorang abang sanggup mengugut membunuh adiknya dengan pisau pemotong daging.

BUKTI...pisau yang diguna penagih mengugut adiknya.
BUKTI...pisau yang diguna penagih mengugut adiknya.
TAHAN...penagih yang mengugut membunuh adiknya ditahan polis.
TAHAN...penagih yang mengugut membunuh adiknya ditahan polis.
Lebih mencemaskan, dia menjadikan adik perempuan berusia 21 tahun itu sebagai tebusan lebih dua jam dalam kejadian di Pangsapuri Baiduri, Bandar Tasik Kesuma di sini, semalam, selepas ayah mereka enggan memberi wang untuk membeli dadah.


Walaupun si adik menangis dan meraung ketakutan, lelaki berusia 22 tahun itu tidak mengendahkannya dan terus meletakkan pisau di leher gadis itu.


Polis terpaksa mengambil masa lebih dua jam memujuk lelaki terbabit yang terlebih dulu mengunci pintu jeriji bagi mengelak ayahnya yang berada di dalam rumah keluar atau orang lain memasuki unit pangsapuri terbabit.


Difahamkan, suspek yang terlalu panik dengan kehadiran pihak berkuasa terbuang air besar hingga menyebabkan lantai ruang tamu rumahnya dipenuhi najis.

Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Mohd Shakaruddin Che Mood berkata, polis menerima panggilan kecemasan jam 10 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.


Menurutnya, sebaik tiba, seorang lelaki didapati sedang memeluk adiknya menggunakan tangan kiri manakala sebelah tangan lagi memegang pisau pemotong daging yang diletak rapat di leher gadis itu.

Mohd Shakaruddin berkata, punca lelaki terbabit bertindak demikian kerana bapanya enggan memberikan wang diminta untuk membeli dadah.


Katanya, polis dengan bantuan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bangi dan Mantin terpaksa memecahkan kunci mangga yang dipasang di pintu jeriji rumah terbabit.


“Pegawai polis terpaksa berunding dengan suspek lebih dua jam untuk memujuknya membebaskan adik yang dalam keadaan terlalu takut.


“Bapa suspek yang berusia 54 tahun terlebih dulu dikeluarkan dari rumah itu bagi memudahkan proses rundingan. Hasil pujukan, lelaki itu akhirnya menyerahkan pisau pemotong daging yang dipegang sebelum membebaskan adiknya.


“Rundingan itu berjaya menyelamatkan adiknya daripada terkorban dan suspek ditahan jam 1.30 tengah hari,” katanya.


Menurutnya, siasatan awal pihaknya mendapati lelaki terbabit penagih dadah tegar jenis heroin dan ketika kejadian dalam keadaan gian.


Katanya, suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah lampau kini ditahan di Balai Polis Beranang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan iaitu ugutan jenayah.


“Adiknya yang calar di lengan kiri dikejar menggunakan ambulans ke klinik berhampiran untuk rawatan,” katanya.


Jiran mangsa, Hamidah Ibrahim, 35, berkata dia mendengar jeritan lelaki terbabit memarahi bapanya kira-kira jam 8 pagi semalam.


“Selepas mendengar suara itu, lelaki terbabit mengunci jeriji dari dalam rumah.

“Lelaki itu berterusan memarahi bapanya kerana enggan memberinya wang. Saya juga terdengar jeritan adik perempuannya,” katanya.


Difahamkan, selain mengugut untuk membunuh adik perempuannya, lelaki terbabit turut mengancam membunuh diri dengan meminum racun rumpai.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/2jampisaudileheradik/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...