MELBOURNE: Seorang pakar patalogi forensik University of Adelaide memberi amaran mengenai potensi risiko maut ubatan herba jika diambil dalam kuantiti banyak, disuntik atau dicampur dengan ubat preskripsi.
Kertas kerja oleh Profesor Roger Byard yang diterbitkan dalam Jurnal Sains Forensik berpejabat di Amerika Syarikat menyatakan peratusan besar pengguna di seluruh dunia percaya kandungan toksik semula jadi yang tinggi dalam banyak ubat-ubatan herba adalah selamat. “Persepsi ubatan herba adalah lebih selamat daripada ubat dikilangkan adalah salah, sedangkan kebanyakannya mengandungi arsenik, raksa dan plumbum yang berbahaya,” kata Profesor Byard dalam kenyataan dikeluarkan universiti itu.
Katanya, bahan itu boleh menyebabkan penyakit serius, memburukkan lagi masalah kesihatan dihidapi atau mengakibatkan kematian, khususnya jika diambil secara berlebihan atau disuntik.
Profesor Byard berkata, juga amat berbahaya jika ubat herba dicampur dengan ubat preskripsi.
“Akses kepada produk itu sebahagian besarnya tidak dihadkan dan banyak orang tidak memberitahu doktor mereka mengambil ubat herba kerana bimbang diperlekehkan, sumbangan ubatan itu kepada kematian mungkin tidak dapat dikesan sepenuhnya oleh autopsi biasa,” katanya.
Analisis dijalankan ke atas 251 produk herba Asia di kedai di Amerika Syarikat mendapati bahan arsenik dalam 36 produk, raksa dalam 35 produk dan plumbum dalam 24 produk. - Bernama
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Potensimautubatanherba/Article/index_html
No comments:
Post a Comment