berita@kosmo.com.my
SALWANIS memeriksa barangan yang dijual di pasar mininya di Serdang semalam.
KUALA LUMPUR - Muhammad Bilal, bayi berusia tiga bulan yang dilarikan bapanya yang berketurunan Pakistan mungkin masih berada dalam negara?
Pengerusi Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda UMNO di Jalan Kampung Attap, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim memberitahu, ini berdasarkan maklumat terkini yang baru diperoleh pihaknya.
"Kemungkinan besar Bilal masih berada dalam negara dan tidak dibawa keluar oleh bapanya seperti yang dilaporkan sebelumnya," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Beliau berkata demikian mengulas perkembangan terkini kes Bilal yang dilaporkan dibawa lari oleh bapanya sendiri Nasir Mahmood Qadri Nisar Ahmed, 39 ke luar negara.
Ibu Bilal ialah rakyat tempatan, Salwanis Ma'az, 31, yang tinggal di Serdang, Selangor.
Kata Abdul Azeez lagi, maklumat tersebut diperoleh hasil siasatan polis melalui laporan yang dibuat oleh Salwanis mengenai kehilangan Bilal.
Katanya lagi, siasatan yang dilakukan melalui bantuan Malaysia Airports Berhad (MAB) menunjukkan hanya nama Nasir sahaja yang tertera dalam senarai mereka yang ke luar negara dan tidak ada nama Bilal.
"Nama Bilal tidak direkodkan untuk perjalanan ke luar negara, jadi, dari situ kita percaya Bilal masih berada dalam negara," ujarnya.
Bagaimanapun katanya, pihaknya masih menunggu maklumat lanjut daripada MAB dan polis akan meneliti kamera litar tertutup (CCTV) bagi memastikan sama ada Bilal benar-benar dibawa keluar atau sebaliknya.
Sementara itu, Salwanis ketika ditemui gembira dengan berita itu tetapi dalam masa yang sama semakin risau tentang keselamatan Bilal.
"Kalau macam tu dia (Bilal) bukan bersama suaminya, dia mungkin di tangan orang lain, saya risau mungkin dia dijual," jelasnya.
Pada perkembangan lain, Salwanis ketika ditemui semalam terpaksa pula berhadapan dengan kemungkinan untuk menutup pasar mininya di Serdang yang diusahakan sebelum ini akibat kesempitan wang.
Malah dia terpaksa melakukan apa sahaja termasuk menjual beberapa barangan di pasarnya untuk menampung perbelanjaan melantik peguam.
Katanya, selain itu, beliau kini rungsing memikirkan sewa bulanan pasarnya yang telah hampir tiga bulan tidak berbayar melibatkan sejumlah wang sekitar RM5,000.
No comments:
Post a Comment