Saturday, August 9, 2008

Mudahnya beli arak

Oleh WARTAWAN KOSMO!
berita@kosmo.com.my


SEORANG pelanggan berseragam sekolah dengan mudah membeli setin arak di sebuah kedai serbaneka 24 jam di Kuala Lumpur baru-baru ini.


KUALA LUMPUR - Jika sebelum ini sudah banyak kali dakwaan membuktikan betapa mudahnya membeli arak di kedai serbaneka 24 jam namun langkah penguatkuasaannya sehingga kini ternyata masih 'hangat-hangat tahi ayam'.Malah amaran yang ditampal seolah-olah sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja.
Sebagai bukti, beberapa wartawan Kosmo! baru-baru ini menyamar sebagai pelajar sekolah dan singgah membeli arak di kebanyakan kedai serbaneka di seluruh negara tanpa sebarang halangan.
Malah tidak ada sesiapa pun menegur mereka dan ini bermakna pelajar sekolah pun tidak dihalang berbuat demikian.
Lebih menyedihkan, tindakan kakitangan kedai tersebut yang membisu turut membantu 'melahirkan' lebih ramai lagi kaki botol khususnya melibatkan remaja berumur belasan tahun.
Ironinya, untuk menangani masalah penjualan arak seolah-olah tiada pendekatan baru yang dapat diambil oleh pihak berkuasa sejak dahulu lagi.
Sementara itu, beberapa pekerja kedai tersebut ketika ditanya kenapa begitu mudah membenarkan mereka (remaja) membeli minuman berkata, mereka tidak berani menegur.
"Bukan apa, sekiranya kami tak bagi, mereka mengugut macam-macam.
"Untuk itu, kami membiarkan sahaja kerana tidak mahu perkara buruk menimpa kami lebih-lebih lagi kami terpaksa bertugas mengikut syif," katanya.
Tinjauan Kosmo! juga mendapati kebanyakan remaja membeli minuman keras di kedai terbabit sekitar pukul 1 hingga 3 pagi kerana mereka mungkin khuatir aktiviti mereka 'dihidu' oleh pihak berkuasa.
Walaupun harga satu tin adalah RM7 hingga RM9 namun ia tetap menjadi 'minuman' pilihan utama.


http://www.kosmo.com.my/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...