Oleh ZIEMAN
PELAKON hebat dan selalu menampilkan penghayatan yang 'intense' dan berkali-kali meraih anugerah, Eman Manan mengakui dia cukup senang berlakon di bawah pengarahan Prof Dr Hatta Azad Khan dalam filem terbarunya, Wayang.
Kehebatan lakonan Eman tidak perlu dipertikaikan lagi kerana seperti sudah menjadi 'air mandinya' apabila setiap kali diserahkan watak padanya, ia akan tampak hebat dan gah. Itulah keistimewaan Eman Manan.
Setelah lama tidak kelihatan di layar perak, Eman kembali dengan 'Wayang' dan kali ini diberi penghormatan memegang watak yang dicipta khas untuknya iaitu Tok Dalang wayang kulit yang bernama Awang.
Ceritanya berkisar tentang Awang, seorang Tok Dalang yang memelihara dua orang anak angkat yang bernama Melor (lakonan pendatang baru bernama Mas Muharni) dan Awi (pelakon teater Zul Huzaimy). Melor yang sengau dan Awi yang buta cukup berminat bermain wayang kulit dan berjaya menyambung warisan bermain wayang kulit dari Awang sedangkan anaknya sendiri, Mamat langsung tidak berminat.
Menurut Eman, ini adalah kali pertama dia bergandingan dengan Dr Hatta dan ternyata ia telah membuah hasil yang cukup membanggakan kerana telah mendapat 11 pencalonan di dalam Festival Filem Malaysia ke 21 yang sedang berlangsung sekarang.
Eman Manan turut dicalonkan di bawah kategori Pelakon Terbaik untuk filem wayang.
Eman Manan (kiri) pertama kali berlakon di bawah arahan Prof. Dr. Hatta Azad Khan. (Foto The Star oleh Ibrahim Mokhtar)
"Saya tidak kenal Dr. Hatta secara peribadi jadi ketika saya mendapat skrip darinya, saya terpaksa membuka 'hijab' antara dia dan saya. Saya cuba menserasikan diri dengannnya.
"Lama-lama proses persahabatan itu menjadi lebih akrab dan cantik terjalin," kata pelakon yang cukup dikenali dengan wajah serius dan sifat 'cerewet'nya yang memilih skrip itu.
Ketika ditanya mengapa beliau menerima tawaran dari Dr Hatta, Eman berkata, "Saya bukanlah seorang pelakon yang bagus. Untuk itu saya perlu berlakon di bawah pengarah yang bagus. Maka saya menerima watak Tok Dalang dalam Wayang."
Jika dilihat sepintas lalu, kelihatannya agak mudah bagi seorang pelakon kelahiran Terengganu untuk membawa watak Tok Dalang kerana loghatnya sudah ada, namun realitinya tidak begitu.
"Nampak saja senang. Sebenarnya tidak begitu senang. Apa saja yang dilakukan adalah susah kerana tidak biasa dan kita perlu belajar," kata pelakon yang pernah merangkul Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia yang ke-17 untuk filem 'Buai Laju-laju' ini.
Jelasnya lagi, "Apa saja watak yang diberikan pada saya, saya anggap susah dan tidak ada titik kepuasan dalam kamus saya. Ianya bukan semudah yang orang fikir.
"Ia banyak menuntut kesabaran dari saya dan saya perlu belajar bermain wayang kulit. Dan bukan setakat bermain wayang kulit saja tapi saya perlu nampak macam saya pakar dalam bermain wayang kulit kerana saya adalah Tok Dalang.
Pratonton filem Wayang di GSC Alamanda, Putrajaya semalam menerima banyak komen positif daripada penonton.
"Saya kena pandai gerakkan Sita Dewi dan Sri Rama, Ramuna. Juga kena pandai menyanyi dan ikut tempo. Semua ini tidak pernah saya buat selama ini dan itu bukan sesuatu yang mudah.
"Dan perlu ingat orang mesti percaya yang saya ini adalah Awang, Tok Dalang kalau tidak saya gagal," jelas hero filem Matinya Seorang Patriot ini.
Agak lama menyepikan diri dari dunia lakonan, bermacam spekulasi timbul bila Eman tiba-tiba 'hilang' dari pandangan.
"Saya tidak hilang. Malah saya sibuk seperti biasa. Cuma saya tidak berlakon filem itu saja," kata pelakon yang terkenal dengan sikap berterus terangnya.
Dalam usia di ambang 40an, Eman masih menjadi tunggak sesebuah filem dan diberi watak utama sebagai hero dan ini tentu membanggakannya walau kadangkala diberi gelaran 'hero tua.'
"Saya faham keadaan kita di sini yang masih sibuk membicarakan soal 'heroism' dan siapa yang paling layak bergelar hero. Selama 22 tahun, saya menjadi hero filem dan saya tidak merasakan kejanggalan apa-apa. Kalau orang masih mahu saya menjadi hero, saya akan teruskan membawa watak tersebut.
"Kalau orang tidak mahu tengok saya sebagai heropun, saya tidak kisah...," kata duda yang masih tampan ini.
Komen Eman tentang Wayang?
"Ini adalah sebuah filem Melayu yang mengangkat martabat seni Melayu itu sendiri. Aspek komsersial dan nilai artistiknya juga cukup tinggi. Bukan kerana saya berlakon di dalam filem ini sebab itu saya memuji. Atau sebab Dr Hatta ada di sebelah saya.
"Walaupun saya tidak berlakon di dalam Wayang, saya tetap akan berkata ini filem hebat!," jelas Eman.
Untuk menonton rakaman temubual bersama Dr. Hatta, Eman Manan dan komen beberapa penonton filem Wayang, sila klik pautan di bawah:
http://thestaronline.tv/default.aspx?vid=1847
No comments:
Post a Comment