Thursday, September 18, 2008

Mubarak mahu peralihan kuasa sebelum Disember


Sep 18, 08 12:39am

Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) berpendapat proses peralihan kuasa perlu diadakan secepat mungkin, selewat-lewatnya sebelum perhimpunan agung Umno pada 16 Disember ini bagi mengelakkan pergolakan dalam parti.

Presidennya Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata keputusan tersebut dicapai sebulat selepas mendengar pandangan dan rumusan 34 daripada 36 anggota Majlis Tertingginya dalam mesyuarat yang diadakan hari ini. Dua lagi anggotanya tidak dapat hadir.

Keputusan itu berbeza dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai peralihan kuasa yang dipersetujui kedua-dua mereka diadakan pada Jun 2010.

Menurut Bernama, Abdullah dan Najib hari ini mengulangi komitmen mereka dengan tempoh peralihan kuasa seperti yang ditetapkan sebelum ini.

Kedua-dua mereka juga akan mempertahankan jawatan masing-masing sebagai presiden dan timbalan presiden Umno Disember ini.

Abu Zahar berkata peralihan kuasa yang telahpun dipersetujui itu adalah satu persefahaman tetapi ia perlu dirujuk kepada perhimpunan agung Umno Disember ini.

"Pemimpin mestilah patuh dan hormati perlembagaan parti Umno di mana semua hak ahli-ahli tidak boleh diketepikan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat itu di ibunegara hari ini.

http://www1.malaysiakini.com/news/89939

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...