Thursday, October 23, 2008

Kit Siang desak Gani letak jawatan serta merta


Lim Kit Siang

16 Oct 2008 11:34AM

KL: Pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Kit Siang, mendakwa di Dewan Rakyat semalam bahawa siasatan peringkat tertinggi 'mengesahkan' Peguam Negara (AG) Malaysia, Tan Sri Abdul Gani Patail, menyalah guna kuasanya dengan mereka bukti dalam perbicaraan mantan timbalan perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, 10 tahun lalu, lapor laman berita Malaysiakini semalam

Menurutnya, semasa bahas bajet 2009 semalam, Lim, sambil memetik sumber-sumber yang tidak dinamakan, memberitahu dewan beliau difahamkan Ketua Peguamcara Negara, Datuk Idrus Harun, telah menjalankan siasatan terhadap dakwaan itu Julai lalu.

Lim berkata beliau mendapat tahu Datuk Idrus telah membuat kesimpulan bahawa peguam negara itu memang menyalah guna kuasanya untuk mereka bukti terhadap Datuk Seri Anwar.

Oleh itu, Lim mendesak Tan Sri Abdul Gani supaya meletak jawatan serta-merta.

'Bagaimana kita hendak benarkan seorang penjenayah (berkhidmat) sebagai AG? Apa yang sedang berlaku kepada Malaysia?' katanya.

Lim memberitahu pemberita di lobi Parlimen kemudiannya bahawa siasatan itu dijalankan selepas Datuk Seri Anwar membuat laporan polis berhubung perkara itu Julai lalu.

Dakwaan bahawa Tan Sri Abdul Gani dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, mereka bukti dalam perbicaraan Datuk Seri Anwar muncul semula dalam satu dokumen mahkamah seorang pegawai polis bersara.

Mat Zain Ibrahim, yang mengetuai siasatan terhadap insiden 'mata lebam' Datuk Seri Anwar pada 1998, membayangkan dalam dokumen itu bahawa Tan Sri Abdul Gani melengahkan proses siasatan dan menyembunyikan fakta-fakta penting kes itu daripada pengetahuan AG ketika itu, Tan Sri Mohtar Abdullah.

Ketika itu Tan Sri Abdul Gani menjadi timbalan kanan pendakwa raya.

Datuk Seri Anwar membuat dakwaan yang sama terhadap Tan Sri Abdul Gani dan Tan Sri Musa dalam laporan polisnya Julai lalu, tetapi kedua-duanya menafikan dakwaan tersebut.

Tan Sri Musa telah memfail saman fitnah terhadap Datuk Seri Anwar. Tan Sri Abdul Gani turut menyuarakan hasrat menyaman Datuk Seri Anwar. / BHS, Malaysiakini

http://www.klpos.com/news/2008/10/16/2.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...