Thursday, October 23, 2008

Pensyarah, kerani habuan nafsu bomoh

Oleh Junita Mat Rasid
am@hmetro.com.my



MUAR: Seorang pensyarah universiti dan seorang kerani dirogol dalam keadaan separuh sedar oleh seorang bomoh dalam dua kejadian berasingan di rumahnya dekat sini, minggu lalu.

Kejadian itu dikatakan berlaku selepas kedua-dua mangsa diberi minuman yang didakwa bagi memulihkan penyakit terkena buatan orang atau ilmu hitam.

Rumah bomoh terbabit yang menjadi lokasi perubatannya sentiasa dikunjungi orang ramai termasuk dari luar daerah untuk mendapatkan rawatan.

Kegiatan lelaki itu terbongkar selepas kerani wanita berusia 21 tahun dari Seri Kembangan, Selangor, membuat laporan polis pagi Isnin lalu mendakwa dirogol dua kali oleh bomoh terbabit kira-kira jam 3 petang, 11 Oktober lalu.


Seorang pensyarah berusia 28 tahun turut membuat laporan mendakwa dirogol ketika mendapat rawatan daripada bomoh itu di tempat sama, kira-kira jam 3 petang, 14 Oktober lalu.


Berikutan itu, polis menahan bomoh berusia 45 tahun itu yang dipercayai menjadi pengamal perubatan sejak lima tahun lalu dan pernah menjalankan kegiatan di Johor Bahru.

Lelaki itu ditahan di rumahnya dekat sini, Isnin lalu.

Polis juga sudah mendapat perintah menahan reman lelaki itu sehingga Jumaat ini bagi membolehkan siasatan lanjut kes berkenan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ramli, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Katanya, polis juga sedang menjalankan siasatan kemungkinan ramai lagi wanita yang menjadi mangsa rogol pengamal perubatan tradisional itu ketika berubat.

“Justeru, orang ramai diminta jangan mudah mempercayai lelaki yang mengaku sebagai pengamal perubatan dan lebih berhati-hati bagi mengelak mereka menjadi mangsa rogol dan kes penipuan,” katanya.

Beliau meminta mangsa kejadian tampil membuat laporan polis atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Muar 06-9526222 atau talian hotline 06-9526001.

http://www.hmetro.com.my/23102008

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...