Friday, October 10, 2008

Najib umum tanding presiden


Oct 9, 08 4:23pm

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini secara rasmi menawarkan dirinya untuk bertanding jawatan Presiden Umno dalam pemilihan parti itu Mac depan.

Najib membuat pengumuman tersebut di majlis Aidilfitri bersama kepimpinan Badan Perhubungan Umno Terengganu dan pemimpin masyarakat semua peringkat di di Kuala Terengganu, petang ini.

"Sehubungan dengan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (yang mengumumkan tidak mempertahankan jawatannya sebagai Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno pada Mac tahun depan).

"Saya dengan rasa rendah hati dan penuh rasa tanggungjawab, ingin menawarkan diri untuk dicalonkan sebagai Presiden Umno," kata Najib, yang juga Timbalan Presiden Umno.

Menurut Bernama, Najib, yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tiba di Kuala Terengganu pagi ini sempena lawatan kerja sehari ke Terengganu.

Turut hadir pada majlis itu adalah Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said, yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Naib Presiden Umno.

Semalam, Abdullah mengumumkan bahawa beliau tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Umno pada pemilihan parti itu Mac tahun depan sekaligus memberi laluan kepada Najib untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri selepas itu.

Abdullah, yang percaya Najib akan dipilih sebagai Presiden Umno yang baru pada pemilihan parti kira-kira enam bulan lagi, mahu timbalannya itu, mengambil alih kepimpinan Umno, Barisan Nasional (BN) dan kerajaan daripadanya.

Proses peralihan kuasa Perdana Menteri kepada timbalannya itu, sebelum ini ditetapkan dilakukan pada Jun 2010. Bagaimanapun, atas desakan ahli-ahli, ia dipercepatkan pada Mac tahun depan.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis itu, Najib berkata dengan sokongan daripada akar umbi dan para perwakilan parti, beliau berikrar untuk meneruskan agenda perjuangan Umno dengan pembaharuan-pembaharuan yang disebutkan perdana menteri semalam.

Keyakinan rakyat

"Saya percaya bahawa pengumuman ini akan membolehkan proses demokrasi dalam parti berjalan lancar dan terus subur di samping membolehkan semua ahli Umno berganding bahu untuk memantapkan lagi parti," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berharap mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat daripada kalangan semua kaum termasuk pemimpin dan anggota parti, sekaligus dapat mengukuhkan BN.

"Sesungguhnya tugas sebagai pemimpin adalah satu amanah dan tanggungjawab yang dianugerah Allah S.W.T. Insya-Allah, saya akan melaksanakannya dengan cara yang terbaik," katanya.

Najib, bagaimanapun, enggas mengulas mengenai siapakah calon yang sesuai untuk berganding dengannya sebagai Timbalan Presiden Umno.

"Saya akan mengulas perkara itu pada masa lain... satu majlis lain," katanya.

Ketika ditanya jika terdapat calon lain yang menawarkan diri bertanding jawatan Presiden Umno, beliau berkata: "Apa hendak buat, kita melalui proses demokrasi... saya tetap menghormati suara ahli-ahli parti."

Mengenai harapan beliau apabila menjadi Perdana Menteri, Najib berkata: "Saya akan hanya bercakap mengenainya apabila tiba masanya kerana dalam tempoh enam bulan ini, Datuk Seri Abdullah adalah Perdana Menteri dan kami mesti memberikan sokongan penuh kepadanya untuk mengadakan pembaharuan yang diumumkannya," katanya.

Terima kasih pada Pak Lah

Najib menyifatkan keputusan Abdullah tidak mempertahankan jawatan presiden Umno, sebagai satu pendirian yang mencerminkan keikhlasan beliau meletakkan kepentingan rakyat, parti dan negara melebihi segala-galanya.

Katanya, keputusan Abdullah itu adalah selaras dengan tradisi Umno bagi membolehkan proses peralihan kuasa berlangsung secara tertib, berhemah dan lancar.

"Beginilah amalan, cara dan tradisi Umno yang selama ini, ia telah menentukan kestabilan dan kemakmuran negara," katanya.

Najib, yang juga Timbalan Presiden Umno, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas keyakinan dan kepercayaan beliau terhadap keupayaannya untuk mengambil alih tampuk kepimpinan parti dan kerajaan.

Terdahulu ketika berucap, Timbalan Perdana Menteri berkata keputusan yang dibuat oleh Abdullah itu adalah hasil perbincangan dan persefahaman antara mereka berdua sebagai pemimpin nombor satu dan dua negara.

Najib berkata sebagai timbalan, beliau tidak akan melawan ketuanya walaupun tindakannya itu dilihat oleh sesetengah pihak sebagai tidak berpendirian.

"Sebagai timbalan, saya tunjukkan kesetiaan, takkan dalam mesyuarat saya hendak bangkang dan lawan ketua...tidak boleh, buruk sekali.

"Tetapi saya cakap kepada Pak Lah, kita kena cari formula dan ia mesti menghasilkan situasi menang-menang. Jadi saya bincang dengan Pak Lah dan dia putuskan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno.

"Inilah yang diberitahu Pak Lah kepada saya secara peribadi, antara satu sama satu. Bila dan masanya, itu rahsia saya dan Pak Lah. Tetapi kami ada persefahaman dan akhirnya itu yang diluahkan beliau dalam mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) semalam.

"Pak Lah sedar, rakyat mahu pelan peralihan kuasa itu dipercepatkan dan beliau akur dan menerimanya," kata Najib.

Beliau berkata proses peralihan kuasa itu sebenarnya, telah berjalan apabila Abdullah menyerahkan jawatan Menteri Kewangan yang sepatutnya di bawah bidang kuasa perdana menteri, kepadanya baru-baru ini.

http://www1.malaysiakini.com/news/90961

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...