Friday, October 10, 2008

Perebutan kerusi no 2 panas

10 Oct 2008 10:09AM

SUDAH pasti kini pertandingan jawatan Timbalan Presiden Umno akan menjadi tumpuan. Pertandingan menyaksikan perebutan tiga orang tokoh; Ketua Penerangan Umno, Muhammad Mohd Taib, Naib Presiden, Mohd Ali Rustam dan Muhyiddin Yassin. Muhammad dan Ali Rustam telah mengesahkan hasrat mereka untuk bertanding semalam.

Mereka seperti tidak akan berganjak lagi dan sedang mengiatkan kempen psiko untuk mendapatkan pencalonan. Bagaimanapun agak malang sedikit orang yang paling awal menawarkan diri untuk mencuba ke jawatan itu Ahli Majlis Tertinggi Umno, Ahmad Zahid Hamidi telah menarik diri.

Zahid membuat perhitungan semula selepas Abdullah Ahmad Badawi mengaku kalah. Zahid hanya akan menumpukan kepada jawatan Naib Presiden, jawatan yang menjadi idaman awalnya.

Tindakan Zahid itu dikira bijak dan beliau tidak mahu mengundang risiko. Tindakan itu juga membenarkan apa yang saya rasakan sebelum ini.

Bahawa beliau terlatah membuat tawaran itu kerana ianya didorong oleh seseorang. Ia bukan lahir atas kehendaknya dan kekuatannya sendiri. Zahid tahu mengukur baju di badan sendiri.

Zahid seorang setia dan patuh kepada suruhan, apa lagi kalau ketuanya meminta beliau berbuat begitu. Ingat apa yang dilakukan semasa beliau berwalad kepda Anwar Ibrahim tahun 1998 dulu.

Beliaulah yang membangkitkan isu kronisme dan nepotisme yang akhirnya membuatkan Mahathir Mohamad resah dan membawa kepada kebencian rakyat kepadanya. Kononnya Zahid mengaku beliau berbuat begitu kerana disuruh oleh Anwar!

Apabila beliau tiba-tiba menawarkan untuk bertanding jawatan nombor dua itu saya sikit teralat. Tapi saya yakin Zahid menawar diri itu kerana atas permintaan Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah berhajat untuk menumpang pengaruh dan kekuatan Zahid bagi mengekang kemaraan Mohd Najib Razak yang hendak merampas kerusi presiden.

Namun apabila setelah dikaji dan diselidiki kekuatan itu tidak mencukupi maka hasrat itu dibubarkan. Jadi Zahid terpaksalah berundur ke belakang semula dan melapazkan kesetiaan dan sokongan 100 peratus kepada bekas bosnya itu. Saya berpandangan beliau akan mendapat kemenangan besar untuk jawaban itu kelak.

Sebenarnya keputusan Zahid itu tepat. Zahid belum pernah menduduki jawatan Naib Presiden menerusi pemilihan melainkan duduk secara automatik sekejap sewaktu menjadi Ketua Pemuda. Beliau tidak mempunyai pengalaman luas sebagai Naib Presiden seperti mana Muhyiddin Yassin.

Kalau Zahid meneruskan hasratnya itu beliau akan berhadapan dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu dan peluang untuk menang agak sulit.

Dengan penarikan oleh Zahid itu itu pertandingan itu akan tertumpu kepada tiga calon tadi; Muhyiddin, Mohamad Taib dan Ali Rustam. Walaupun sehingga kini Muhyiddin belum mengesahkan tetapi diyakini beliau akan ke jawatan itu. Menurutnya beliau akan mengumumkan hari ini untuk mengambil berkat hari Jumaat!

Ketiga mereka boleh bertarung kerana masing-masing ada kelebihan dan kelemahan tersendiri. Diukur secara fizikal ternyata kelebihan kepada Muhyiddin. Selain beliau dilihat orang yang berusaha keras untuk menolak Abdullah di mana kekosongan tempat Najib wajar diberikan kepadanya, beliau juga berpengalaman sebagai Naib Presiden paling lama dan paling kanan.

Muhammad Taib juga pernah menduduki jawatan itu bersama Muhyiddin satu masa dulu. Bagaimana pun beliau kalah dalam pertandingan tahun 2004 ekoran isu penggantungannya kerana terlibat dalam skandal kewangan. Manakala Ali Rustam merampas tempat itu pada tahun berkenaan.

Sekiranya pertandingan bebas tanpa ada klik dan kumpulan Mohammad Taib boleh memberi cabaran kepada Ali Rustam tetapi tidak kepada Muhyiddin Yassin. Sebaliknya kalau pertandingan akan berdasarkan kepada merit peluang Muhammad Taib terbuka.

Ini kerana para perwakilan yang berpihak kepada Najib akan berbelah bagi dan keliru untuk memilih antara Muhyiddin atau Ali Rustam.

Adalah dipercayai Najib sendiri lebih suka kalau Ali Rustam dipilih menjadi bakal timbalannya berbanding dengan Muhyiddin.

Andainya ini berdasarkan kepada kebiasaan orang politik tidak sesekali akan melanti pembantunya yang lebih cerdik dan lebih bijak darinya kerana bimbang takut ditikam dari belakang.

Jika Mohd Najib memberi mesej ini dan melupai pengorbanan kurba Muhyiddin kepadanya dengan mengaturkan pelan menjatuhkan Abdullah jawabnya Muhyiddin tidak akan mendapat apa-apa dan usahanya menyingkirkan Abdullah itu akan turut sama menyingkirkan dirinya sendiri.

Nota: Muhyiddin telah pun mengesahkan beliau akan bertanding Timbalan Presiden. Beliau membuat pengumuman itu di Putrajaya sekejap tadi.

* Penulis dilahirkan di Kampung Gual Nibong, Gual Periok, Pasir Mas Kelantan pada Feb, 1960. Mendapat pendidikan dan pengalaman kewartawanan di Indonesia awal tahun 1980-an. Berkecimpung dalam dunia kewartawan/penulisan buku politik sejak lebih 20 tahun. Sehingga kini telah menghasilkan lebih 45 buah buku politik semasa. Antara buku yang menjadi sebutan "Anwar Ibrahim: Mimpi dan Realiti, "Sumpah dan Airmata Reformis Bangsa:,"Saya Mahafiraun", "Hitam Putih: Darul Arqam" dan lain-lain. Blog beliau boleh dilayari di msomelayu.blogspot.com - Pengarang

http://www.klpos.com/news/2008/10/10/2.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...