KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara menyatakan layanan dan kemudahan asas yang diterima Raja Petra Kamarudin yang ditahan di Tempat Tahanan Perlindungan Taiping, Perak, mengikut peraturan dan sama seperti yang diterima tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) lain.
Pegawai Perhubungan Awam jabatan itu, Hadi Ag Kassim, berkata layanan dan kemudahan asas yang disediakan itu tidak menimbulkan sebarang masalah dari segi kesihatan kepada tahanan lain.
“Dakwaan berlakunya muntah dan cirit-birit tidak benar. Kejadian begini tidak berlaku, sebaliknya Raja Petra ada memberitahu beliau mahu makan roti dan telur,” katanya dalam satu kenyataan bagi menjelaskan berhubung satu artikel mengenai layanan diterima Raja Petra yang disiarkan melalui blog Malaysia Today pada 30 September lalu yang mengandungi isu memburukkan tempat tahanan dan Kementerian Dalam Negeri.
Menjelaskan perkara itu, Hadi berkata kos pembelian bahan makanan bagi menyediakan makanan tahanan ISA ialah RM5.07 sehari dan ia tidak termasuk upah, sumber tenaga dan peralatan lain.
“Makanan yang disediakan lima kali sehari berdasarkan diet seimbang yang diluluskan Kementerian Kesihatan dan setakat ini tiada tahanan lain yang sakit atau mengalami masalah dengan makanan itu,” katanya. - Bernama
http://www.hmetro.com.my/10102008
No comments:
Post a Comment