10 Oct 2008 10:11AM
PP: Para pemimpin parti pembangkang memberikan reaksi yang berbeza terhadap keputusan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tidak aan mempertahan jawatan sebagai Presiden Umno pada pemilihan akan datang.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata Perdana Menteri dipaksa melepaskan jawatan tanpa kerelaannya, dan mengikut jangka masa yang bukan menjadi pilihannya.
Beliau berkata pengunduran secara tiba-tiba dan tidak sopan itu merupakan gambaran muram kedudukan politiknya yang lemah, yang mengakibatkan beliau kehilangan penghormatan oleh parti.
'Berbeza daripada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Abdullah dipaksa berundur,' katanya.
Beliau berkata anehnya orang ramai lebih menghormati Datuk Seri Abdullah berbanding parti Umno kerana beliau dilihat sebagai 'orang yang memiliki hasrat baik, yang mungkin seorang daripada beberapa kerat pemimpin bersih yang masih tinggal dalam Umno'.
'Abdullah sepatutnya meninggalkan legasi dalam memerangi rasuah dengan mewujudkan tender terbuka dan mengambil tindakan terhadap para pemimpin dalam Barisan Nasional (BN) dan Umno yang menyalah guna kuasa,' tambahnya.
Mursyidul Am Parti Islam SeMalaysia (PAS), Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berpendapat tindakan Datuk Seri Abdullah sebagai 'sesuatu yang sudah terlambat'.
'Kalau lepas (jawatan) pada Mac tahun depan, Perdana Menteri seperti rasa tidak bersalah, dan kalau bertanggungjawab pada parti atau negara sepatutnya letaklah jawatan sekarang,' katanya.
Sementara itu, kerajaan Kedah pimpinan PAS berharap pengganti Datuk Seri Abdullah akan meneruskan hubungan mesra dengan kerajaan negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata pihaknya akan berurusan dengan sesiapa pun yang dilantik menjadi Perdana Menteri.
Penasihat Parti Tindakan Demokratik (DAP), Lim Kit Siang, berkata adalah sukar bagi Datuk Seri Abdullah melaksanakan janji-janji beliau untuk melakukan pembaharuan sebaik sahaja beliau mengumumkan rancangan pengundurannya.
'Namun begitu, tekad tersebut masih boleh dilaksanakan sekiranya Abdullah bersedia melakukan sesuatu yang mustahil, dan menggunakan tempoh lima bulan sebagai Perdana Menteri untuk melaksanakan semua ikrar dan janji yang dibuatnya sejak lima tahun lepas,' katanya./ Bernama
http://www.klpos.com/news/2008/10/10/3.html
No comments:
Post a Comment