Saturday, November 8, 2008

Bergabung bentuk ketahanan hadapi krisis-Pakar Ekonomi


Bina GLC lebih teguh, kukuh dan bermodal besar




31 Oct 2008 12:17PM



PENGGABUNGAN syarikat-syarikat berkaitan kerajaan di bawah beberapa agensi kerajaan seperti Khazanah Nasional, Permodalan Nasional Bhd dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja wajar difikirkan, kata Datuk Muhammad Salleh Majid.

"Ia bertujuan bagi menjadikan syarikat-syarikat itu lebih besar, kukuh dan bermodal besar untuk berhadapan dengan apa jua krisis dunia pada masa akan datang," kata mantan presiden Bursa Saham Kuala Lumpur itu.

"Mana-mana syarikat yang tidak menunjukkan prestasi kewangan yang baik wajar diketepikan," katanya.

"Felda misalnya wajar disatukan dengan bahagian perladangan Sime Darby dan sebuah syarikat baru ditubuhkan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dan di Bursa Saham London," cadangnya.

Beliau berkata Sime Darby boleh terus disenaraikan dengan kegiatan bukan perladangannya kerana pada masa ini perladangan hanya menyumbang 40 peratus daripada pendapatan konglomerat itu.

"Syarikat perladangan yang baru itu akan menjadi sebuah syarikat perladangan yang sebenarnya terbesar di dunia," kata Salleh yang juga Felo Utama, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau turut menyatakan sektor perbankan juga perlu melalui satu lagi fasa penggabungan dan tidak menolak penyatuan Maybank dan RHB Bank.

Bursa Malaysia katanya perlukan lebih banyak syarikat yang "besar-besar" disenaraikan di mana "usaha menarik syarikat asing menyenaraikan saham mereka di bursa kita belum lagi menampakkan hasil."

Salleh berkata beberapa agensi utama kerajaan juga wajar memberikan kepimpinan yang mampu menembusi ke masa depan dengan lebih "tangkas", fleksibel dan agresif kerana ketidaktentuan perubahan yang berlaku masa kini.

"Cabaran yang bakal dihadapi di masa hadapan tidak dapat berlandaskan kepada sejarah semata-mata," katanya.

Memberi gambaran pasaran saham dunia ketika ini, Salleh berkata di sebalik pakej penyelamat AS$700 billion, sebanyak AS$6.5 trilion telah hilang daripada nilai modal pasaran di Bursa Saham New York awal bulan ini.

Bursa Malaysia pula kehilangan RM601.4 bilion daripada RM1,057.33 bilion yang dicatat awal tahun ini.

Implikasi krisis ekonomi dunia sekarang yang dianggap terburuk sejak "Great Depression 1929" ini telah mengakibatkan 50 peratus nilai pasaran saham negara telah hilang.

Ini bermakna skim-skim saham amanah yang berjumlah hampir 400 kesemuanya termasuk yang diterbitkan oleh Amanah Saham Nasional Bhd akan mengalami penurunan harga, katanya.

"Ini juga bererti dividen atau jua pulangan tahunan akan berkurangan daripada yang lalu dan para pekerja yang memiliki saham syarikat yang mereka bekerja juga akan mengalami penurunan."

Itu tidak termasuk skim-skim atau dana pencen yang juga dilaburkan di pasaran saham juga akan mengalami penurunan, katanya.

Kesan langsung juga dapat dilihat akibat daripada kejatuhan pasaran di mana pendapatan syarikat-syarikat broker saham dan lebih enam ribu wakil-wakil peniaga (remisier) yang menjalankan urusniaga jual-beli saham, akan menyusut.

"Kemorosotan jumlah urus niaga dan harga saham memburukkan keadaan mereka."

Salleh juga berkata salah satu kesan buruk yang mungkin dialami ekoran kejatuhan nilai modal pasaran Bursa Malaysia ialah penjualan besar-besaran hartanah yang digunakan sebagai cagaran kepada pinjaman oleh syarikat-syarikat.

"Misalnya kalau dahulu saham yang dicagarkan berharga RM10, peminjam memperoleh pinjaman sebanyak RM5 tetapi apabila harga saham tersebut jatuh kepada RM5, bererti peminjam layak menerima hanya RM2.50."

"Ini bermakna peminjam terpaksa menokok nilai cagaran yang diberikan. Kalau peminjam tidak mampu menambah nilai cagarannya, institusi kewangan yang memberikan pinjaman kepadanya akan menjual-paksa hartanah yang digunakan sebagai cagaran."

"Ini akan menyebabkan nilai hartanah keseluruhannya akan menurun."

Malaysia juga mengalami kejatuhan nilai mata wang kita berbanding dengan dollar Amerika dan beberapa matawang yang lain di mana Ringgit berada diparas RM3.59 bagi satu dollar Amerika pada minggu lalu berbanding RM3.10 pada lima bulan lalu.

"Bagi pelabur asing yang melabur di pasaran saham kita ini bermakna bukan sahaja mengalami kejatuhan harga saham yang mereka beli tetapi juga kejatuhan mata wang ringgit."

Keadaan ini akan membuatkan mereka menjual sebaik sahaja harga saham-saham yang mereka beli meningkat sedikit, katanya.

Dengan peruntukkan RM5 bilion kepada ValueCap untuk membeli saham-saham bernilai asas tinggi, harga saham-saham tersebut akan meningkat dan pelabur-pelabur asing akan mengambil peluang menjual.

"Kita sebenarnya tidak tahu berapa banyak lagi kejatuhan indeks komposit. Keadaan huyung-hayang indeks komposit ini akan membimbangkan mana-mana pengurus pelaburan.

"Oleh itu, kenaikan harga berikutan dengan peruntukkan RM5 bilion tersebut mungkin sementara sahaja," katanya./BERNAMA


http://www.klpos.com/news/2008/10/31/12.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...