Saturday, November 8, 2008

Tuntut mutaah RM2j


Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my


SHAH ALAM: “Saya perlu mencari wang,” kata seorang bekas pramugari ketika memberi keterangan pada perbicaraan membabitkan tuntutan mutaah sepanjang perkahwinan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.

Plaintif, Nor’aini Md Dom, 48, dalam tuntutannya meminta bekas suaminya yang turut memegang jawatan penting di beberapa syarikat korporat terkemuka, termasuk institusi kewangan, Mohamed Rithuan Mohamed Shamsudin, 57, membayar mutaah kepadanya bernilai RM2 juta.

Kes itu dikendalikan Hakim Syarie, Abu Bakar Mohd Daud, manakala plaintif diwakili peguam Zainul Rijal Abu Bakar, manakala defendan diwakili peguam Dr Mohd Rafie Shafie.

Pasangan itu bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur pada 30 April tahun lalu dan tidak terdapat perintah lain direkodkan antara mereka, termasuk hak mutaah plaintif.

Dalam tuntutannya, Nor’aini berkata sepanjang perkahwinan, dia seorang yang taat kepada defendan dan sentiasa menjaga kebajikan sehingga defendan berjaya dalam kerjayanya. Plaintif juga bertanggungjawab menjaga kebajikan dan pendidikan anak.

Defendan juga didakwa mempunyai pendapatan stabil dan berkemampuan memenuhi tuntutan plaintif.

Dakwa plaintif, perceraian mereka bukan disebabkannya, sebaliknya atas permohonan defendan sendiri yang menceraikannya tanpa sebab selain tidak pernah disabitkan nusyuz.

Plaintif bagaimanapun mendakwa menanggung pelbagai kesengsaraan dan tohmahan sejak diceraikan serta terpaksa memulakan penghidupan baru bersama enam anak hasil perkongsian hidup dengan plaintif sejak bernikah 24 tahun lalu.

Menurut Nor’aini, dia diceraikan suaminya tanpa sebab munasabah selepas menerima tohmahan, termasuk fitnah mempunyai hubungan dengan lelaki lain serta keluar malam dan tidak pulang ke rumah.

“Saya menjalankan perniagaan sekiranya ada peluang. Orang minta saya dapatkan pengesahan daripada pihak tertentu dan saya lakukannya untuk dapatkan bayaran. Sebab orang yang buat perniagaan itu lelaki, jadi dia fitnah saya.

“Walaupun saya ada beritahu suami, tetapi suami lebih percayakan orang ketiga. Jadi lelaki yang dimaksudkan adalah ‘orang perniagaan’ saja,”
katanya menjawab soalan Zainul Rijal.

Nor’aini berkata, lelaki yang sering bersamanya hanya kawan perniagaan dan bukan rakan istimewa serta tidak pernah melanggar hukum syarak.

“Dalam seminggu sekali atau dua minggu sekali, saya akan menghadiri majlis bersama Tuanku Fauziah. Saya dititahkan untuk bersama kerabat diraja dan kadang-kala balik lambat dan kadang-kala awal.

Saya tidak pernah tidak balik langsung kecuali kalau saya di luar negeri. Tidak balik langsung tidak pernahlah, tetapi defendan selalu tidak pulang ke rumah,”
katanya.

Ditanya Zainul Rijal sebab lain mengapa defendan tidak memberi nafkah kepadanya, Nor’aini mendakwa tidak mengetahuinya, tetapi suami ada menghulurkan duit untuk keperluan semua anak.

“Sepanjang 24 tahun perkahwinan, saya tidak pernah mengabaikan dari segi pelajaran, termasuk pelajaran agama dan tuisyen. Saya cari yang terbaik dan termurah. Pada hujung bulan saya minta wang daripada defendan.

Saya tidak tahu sebab defendan tidak memberikan nafkah. Saya terkejut dan anak masih kecil,”
katanya.

Ketika diminta menjelaskan maksud defendan plaintif sering keluar malam, Nor’aini menjelaskan perkara itu berlaku disebabkan dia rapat dengan kerabat diraja, termasuk kerabat Pahang.

Menurutnya, defendan memegang pelbagai jawatan di beberapa syarikat, termasuk ketua perbankan Islam dan pengarah eksekutif dengan pendapatan antara RM13,000 hingga RM15,000 sebulan dan tidak termasuk jawatan lain dipegangnya.

“Defendan turut menjawat jawatan pengarah syarikat dan pengerusi eksekutif serta mengambil tempat arwah ayahnya selepas meninggal dunia,” katanya.

Katanya, defendan memintanya berhenti kerja sebagai pramugari sebaik mendirikan rumah tangga dengan alasan mahukan anak.

“Saya akur dengan kehendak suami. Saya berhenti kerja pada 1985 selepas dua tahun berkahwin sebab waktu itu pramugari yang mengandung tidak boleh bekerja. Bila saya berhenti kerja, defendan tidak bagi wang, jadi saya bekerja semula sebagai pramugari bawa jemaah haji.

“Defendan tidak memberi nafkah sejak setahun lebih. Duit pasar pun tidak beri. Sepanjang perkahwinan, saya menguruskan anak sendiri dan masak sendiri. Apa yang dibeli defendan saya masak,”
katanya.

Perbicaraan bersambung 25 Februari dan 5 Mac tahun depan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081107093916/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...