Saturday, November 8, 2008
Rasuah dan Umno, dari sudut pandang Sayuti Omar
Bezanya di cawangan nilai rasuah kecil berbanding diperingkat kebangsaan
04 Nov 2008 8:48AM
Oleh Mohd Sayuti Omar
RASUAH dalam Umno diperkatakan dimana-mana saja. Fenomena ini memburuk dan menghanyirkan parti Melayu itu. Saking kuat dan hebatnya percakapan mengenai rasuah menyebabkan seolah-olah Umno sebuah parti rasuah, bukan parti Melayu lagi.
Umno jadi institusi rasuah, bukan lagi bertaraf sekolah atau kolej tetapi sudah sampai ke taraf universiti. Umno sebuah universiti rasuah!
Akar umbi rasuah dalam Umno berlaku pada atau ketika pemilihan pemimpin di semua peringkat.
Kerana ingin tempat dan kedudukan ahli Umno sanggup melakukan rasuah, beri dan terima. Rasuah berlaku dari sekecil-kecil perebutan jawatan hinggalah ke peringkat tertinggi.
Bezanya di cawangan nilai rasuah kecil berbanding diperingkat kebangsaan.
Di cawangan rasuahnya berupa pemberian material kain atau makanan seperti pelikat, batik jawa, gula, biskut atau membelanja makan mee di restoran atau teh tarik dikedai mamak atau warung wak Jawa.
Ahli mesyuarat tingkat peringkat cawangan akan dirasuahkan dengan cara begitu. Manakala diperingkat bahagian pula nilai meningkat sedikit.
Perwakilan akan diberikan wang seratus dua menjelang pemilihan peringkat bahagian.
Sebelum itu perwakilan dirasuahkan dengan lawatan sambil belajar, atau melancung (termasuk melacur sekali) ke luar negeri, Phuket, Medan, Bantam atau paling jauh di Jakarta.
Tahap rasuah itu menjadih lebih besar dan grand lagi bila sampai di peringkat nasional, dalam pemilihan pucuk pimpinan parti.
Perwakilan bukan lagi diukur setakat seratus dua tetapi ribuan ringgit. Tempat dibawa untuk lawatan bukan lagi di Indonesia atau Thailand, tetapi sampai ke London, Australia dan Makkah.
Tidak hairanlah kalau ahli Umno menjadikan musim pemilihan sebagai musim untuk mencari rezeki tersepak serta melancung ke luar negeri atau kawasan.
Pernah seorang perwakilan memperolehi pendapatan sehingga RM50,000 pada satu musim pemilihan peringkat kebangsaan.
Bayangkan betapa lumayan dan senangnya perwakilan berkenaan, boleh memiliki Proton baru secara bayaran tunai.
Cerita dan pengakuan ini bukan dongengan tetapi realiti dalam parti bernama Umno yang dulu ianya ditubuh dengan menggunakan wang dan titis peluh rakyat marhaen.
Sekali dengar tidak logik bagaimana perwakilan mendapat sebanyak itu! Macam dibuat-buat hendak burukkan parti Melayu itu saja.
Formula bagi perwakilan itu mendapat sebanyak itu senang saja dan ini dipraktikkan oleh kebanyakan perwakilan yang celit huruf dan celit komputer.
Misalnya kalau ada pertandingan untuk sesuatu jawatan itu melibatkan lima calon (Naib Presiden misalnya) senang-senang perwakilan berkenan akan memperolehi RM5,000 dari setiap calon.
Kalau lima calon jumlahnya RM25,000. Mereka bukan ambil dari satu calon saja tetapi dari semua calon.
Itu untuk Naib Presiden, belum dicampur dengan Majlis Tertinggi Umno. MT ada 25 jawatan, yang bertanding melebihi 50 orang.
Bayangkan kalau daripada satu calon mereka memperolehi RM1,000 ini bermakna sudah RM50,000.
Jumlah itu tidak termasuk rasuah untuk jawatan-jawatan lain Ketua Pemuda, Ketua Wanita atau Ketua Puteri dan juga pendapatan rasuah di peringkat cawangan dan bahagian!
Jadi pendapatan sebanyak RMN50,000 tadi adalah perkara yang tidak mustahil bahkan satu pendapatn dikira sedarhana bagi seseorang perwakilan yang licit dan tahu mengeksploitasikan keadaan.
Sebab itu bagi ahli Umno mereka suka kalau tiba musim pemilihan. Sudah terlekat dalam kepala (menjadi mind set) mereka musim pemilihan musim mencari rezeki dan pendapatan tambahan.
Ahli Umno sudah menjadikan musim pemilihan sebagai masa untuk mereka mengorbankan pemimpin parti. Seolah-olah mereka menyertai Umno hanya untuk mendapatkan manfaat berkenaan.
Seorang bekas ahli Umno dalam sebuah bukunya menyenaraikan harga untuk merebut ketua cawangan ialah antara RM2,000 hingga RM3,000.
Nilai ahli jawatankuasa bahagian pula RM5,000 hingga RM10,000. Manakala nilai untuk jadi Ketua Bahagian ialah RM30,000 hingga RMN50,000 ribut. Angka ini adalah dipraktik dan dilalui sendiri oleh bekas ahli Umno berkenaan.
Kalau diperingkat terendah sudah berjumlah ribuan ringgit bayangkan bagaimana kalau di peringkat kebangsaan tentu angkanya menelan jutaan ringgit. Berdasarkan kepada pengalaman itu jadi tidak mustahil perwakilan akan memperolehi sehingga RM50,000.
Pendedahan yang dibuat oleh calon Presiden Umno 2008, Tengku Razaleigh Hamzah yang mana ada bahagian meminta RM1 hingga RM2 juta sebagai jaminan untuk mencalonkannya menunjukkan keadaan rasuah dalam Umno sudah parah. Itu setakat untuk mencalonkan saja belum lagi upah atau rasuah untuk undi.
Permintaan rasuah sudah tidak sembunyi-sembunyi lagi tetapi ia dilakukan secara terus terang. Kerana itulah benar bagaimana kata Rais Yatim, jawatan tertinggi dalam Umno wajar dibuka tender.
Sesiapa yang mempunyai banyak wang boleh memiliki jawatan menerusi bidalan. Siapa yang membidal dengan cara tertinggi dialah akan memilik jawatan.
Mengambil kira pendedahan Tengku Razaleigh tadi cubalah kira berapa banyak dibelanjakan oleh Mohd Najib Razak untuk mendapat 143 pencalonan.
Berapa banyak digunakan oleh Muhyiddin Yassin. Berapa banyak pula digunakan oleh Mukhriz Mahathir, Khairy Jamaluddin dan Khir Toyo. Yang pastinya pencalonan itu tidak datang percuma melainkan setelah dibeli ataupun dirasuahkan.
Apakah ahli Umno suka-suka dan mencalon Najib dan yang lain-lain itu percuma begitu saja? Mustahil.... mustahil.... dan mustahil... Yang pastinya setiap bahagian yang mencalonkan mereka tentu mendapat imbuhannya atau pun dijanjikan imbuhan.
Manakala mereka yang tidak dicalon atau tidak cukup pencalonan bukan tidak merasuah, tetapi nilai rasuah mereka tersangatlah kecil.
Untuk membuang penyakit rasuah dalam Umno ini bukan mudah lagi. Rasuah sudah jadi kenser dalam Umno, tidak ada penawar.
Hanya satu cara sahaja bagi memperbaiki Umno ialah dengan memusnahkannya. Umno sudah jadi lembu yang terkena penyakit kuku dan mulut, di mana ia tidak boleh dipulihkan melainkan kena musnahkannya. Bawa ke tepi lubang dan tembak!
Orang Melayu termasuk ahli Umno yang sayangkan Umno kena berusaha memusnahkan Umno. Biarkan parti itu kalah, hilang kuasa untuk sesuatu tempoh. Selepas itu berusahalah membangunkannya dengan titik peluk seperti tatkala ia wujud di dunia ini.
Itu saja cara, cara lain sudah tidak ada. Tanpa pemusnahan cara begitu Umno akan terus hilang dan lenyap dari muka bumi ini. Kehilangan Umno tidak bermakna Melayu akan hilang itu hanya mitos orang-orang yang bebal saja!
* Penulis dilahirkan di Kampung Gual Nibong, Gual Periok, Pasir Mas Kelantan pada Feb, 1960. Mendapat pendidikan dan pengalaman kewartawanan di Indonesia awal tahun 1980-an. Berkecimpung dalam dunia kewartawan/penulisan buku politik sejak lebih 20 tahun. Sehingga kini telah menghasilkan lebih 45 buah buku politik semasa. Antara buku yang menjadi sebutan "Anwar Ibrahim: Mimpi dan Realiti, "Sumpah dan Airmata Reformis Bangsa:,"Saya Mahafiraun", "Hitam Putih: Darul Arqam" dan lain-lain. Blog beliau boleh dilayari di msomelayu.blogspot.com - Pengarang
http://www.klpos.com/news/2008/11/04/6.html
No comments:
Post a Comment