Oleh Kamarulzaman Pid
amar@hmetro.com.my
PUTRAJAYA: Sebanyak 4,595 pusat pemindahan disediakan di seluruh negara bagi menempatkan mangsa banjir bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka bermula bulan depan.
Selain itu, 1,775 bot penyelamat, 1,182 pasukan kesihatan dan perubatan, 450 pangkalan hadapan dan 20 unit helikopter serta 13 unit jambatan bailey disediakan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak (gambar), berkata menurut perkiraan Jabatan Meterologi, berdasarkan kajian gambar satelit dan sumber lain, hujan akan turun melebihi paras biasa pada Disember dan Januari depan.
“Oleh itu, kita tidak boleh menolak kemungkinan akan berlaku banjir pada waktu itu.
“Kita memberi notis awalan supaya kawasan yang biasa dilanda banjir lebih bersedia menghadapi kemungkinan banjir,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Pusat (JPBBP) di sini, petang semalam.
Timbalan Perdana Menteri berkata, hebahan mengenai hujan lebat dan paras air di sungai utama akan dimaklumkan kepada orang ramai menerusi media elektronik.
“Jabatan Meteorologi dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dengan kerjasama RTM akan membuat tiga siaran pada waktu puncak setiap hari mengenai amaran hujan lebat dan paras air semasa di sungai utama selain menerusi saluran televisyen dan radio milik swasta terutama Media Prima serta Astro.
“Penyebaran maklumat melalui media elektronik ini di samping jentera kerajaan di peringkat daerah adalah penting bagi membolehkan masa yang mencukupi bagi masyarakat setempat untuk membuat persediaan dan berpindah ke pusat pemindahan,” katanya.
Najib berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR) pula akan menyediakan maklumat secara talian terus (online), mengenai jalan yang ditutup akibat dinaiki air dan juga jalan yang selamat dilalui bagi mengelakkan pengguna terkandas.
“Maklumat itu juga akan disiarkan secara langsung di televisyen dan radio.
“Dalam masa sebenar ini (realtime) adalah penting bagi membolehkan pengguna jalan raya, terutama bagi melancarkan urusan perniagaan dan merancang perjalanan serta laluan yang selamat,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pula diminta menyusun semula aktiviti pengurusan di pusat pemindahan supaya mereka yang mendiami pusat pemindahan itu diberi tanggungjawab menguruskan aktiviti harian.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081107091106/Article/index_html
No comments:
Post a Comment