Hishamuddin Rais Oct 17, 08 4:19pm
Hari ini ekonomi kapitalis sedang menghadapi satu krisis yang amat besar. Kemungkinan dunia kita dibawa kembali ke zaman meleset sama seperti tahun 1929 cukup cerah.
Ahli-ahli Kongres Amerika Syarikat telah meluluskan dana negara sebanyak 700 bilion dolar untuk membantu lembaga-lembaga bank yang berkemungkinan jatuh muflis. Di Britain, Gordon Brown telah juga meluluskan 500 bilion pound untuk tujuan yang sama.
Sebuah lembaga penyimpan/peminjam dana – Northern Rocks – telah dimiliknegarakan oleh kerajaan Parti Buruh.
Dari mana asal-usul krisis yang menghimpit ekonomi kapitalis ini?
Semua ini berpunca daripada asas ekonomi kapitalis yang mengajukan dasar neoliberalisma. Ertinya ekonomi kapitalis yang mengetepikan peranan daulah dan membuka pasaran bebas.
Amerika Syarikat negara kapitalis terunggul di dunia telah mengetepikan sistem wang yang bersandarkan emas. Ini berlaku pada tahun 1971 apabila presiden Nixon memansuhkan Perjanjian Bretton Woods.
Perjanjian ini dimansuhkan ketika kuasa imperial Amerika Syarikat sedang melancarkan perang kolonial terhadap Vietnam, Laos dan Kamboja. Perang Indo-China ini telah membocorkan dan mengoyak-rabakkan ekonomi negara itu.
Berbilion-bilion dolar telah digunakan dalam usaha sia-sia untuk mengalahkan gerakan nasionalis bawah pimpinan Ho Chi Minh. Perang memerlukan perbelanjaan yang amat tinggi – nyawa dan harta benda.
Yang menjadi ganti Perjanjian Bretton Woods ialah Dolar Amerika. Negara-negara kapitalis terutamanya di Asia, Afrika dan Amerika Latin telah dipaksa menerima pakai ‘fiat money’ yang hanya bersandarkan kepada kekuatan ekonomi Amerika.
Justeru semua jual beli di antara negara-negara kapitalis terutama jual beli bahan bakar petroleum wajib menggunakan dolar Amerika.
Hasil awal daripada tindakan dasar ini telah menyelamat ekonomi Amerika yang mula merundum pada tahun-tahun 1970-an. Ekonomi kapitalis Amerika dapat bernafas semula dan berkembang.
Rupa-rupanya langkah Nixon itu hanya untuk membeli masa. Tiga puluh tahun kemudian, semuanya berulang kembali.
Amerika kini sedang melancarkan perang kolonial terhadap Iraq dan Afgahnistan. Kalau pada 1971 Perang Vietnam melimpah ke Laos dan Kamboja, kini tahun 2008 Perang Iraq-Afghanistan telah melimpah ke Iran dan Pakistan.
Sebelum serangan ke atas Iraq bermula, Rumah Putih secara ‘romantik' telah memberi anggaran 50 bilion dolar sebagai belanja perang. Hari ini angka rasminya telah mencecah hampir 600 bilion dolar.
Perang di Iraq memerlukan 300 juta dolar sehari. Ada yang menganggarkan di antara 1 hingga 2 bilion dolar seminggu digunakan di Iraq.
Seorang pakar ekonomi Linda Bilmes dari Kennedy School of Government di Harvard, dan pakar ekonomi Joseph Stiglitz pemenang hadiah Nobel yang juga bekas penasihat ekonomi Bill Clinton telah meletakkan harga 2 trilion dolar sebagai belanja perang di Iraq hingga ke hari ini.
Justeru, peperangan di Iraq dan Afghanistan sedang mengancam ekonomi Amerika dan ekonomi dunia kapitalis – sama seperti ancaman di zaman Perang Vietnam dahulu.
Dalam masa yang sama, dasar neoliberal juga telah memberi ancaman. Banyak peraturan jual-beli, peraturan urus niaga yang menjaga kepentingan negara-negara kecil telah dilupuskan atas paksaan perjanjian Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) atau atas nasihat Bank Dunia.
WTO dan Bank Dunia adalah dua lembaga yang diwujudkan oleh kuasa imperial Amerika untuk memastikan kepentingan ekonomi Amerika berjalan lancar tanpa gangguan. Dua lembaga ini menganjurkan dasar-dasar neoliberal dan memastikan pasaran dibuka seluas mungkin untuk kaum pemodal.
Peraturan dan perjanjian yang dilihat tidak menguntungkan kaum pemodal akan dihapuskan. Negara-negara Dunia Ketiga tidak dapat bertahan daripada serangan dasar penswastaan yang dipaksakan ke atas mereka oleh WTO dan Bank Dunia.
Selain perbelanjaan perang dan dasar neoliberal ini, ekonomi kapitalis juga sedang berhadapan dengan masaalah struktur sistem kapitalis itu sendiri. Di zaman meleset pada 1929, Amerika tidak berperang tetapi berhadapan dengan masalah keyakinan terhadap lembaga-lembaga bank.
Kali ini keyakinan terhadap lembaga bank datang kembali bersama bencana perang – kedua-duanya datang sekali gus. Memang betul jika diperhatikan ekonomi kapitalis ini ada putaran jatuh-bangun setiap sepuluh tahun – 1974, 1988, 1997, 2008 - tetapi kali ini berbeza.
Kali ini bukan hanya pusingan krisis sepuluh tahun sekali lagi - ia lebih daripada itu.
Dunia kapitalis bukan sahaja berhadapan dengan pengeluaran yang berlebihan, malah strukturnya telah hampir hancur. Rakyat dunia tidak lagi mahu menerima dolar sebagai wang tukaran. Apabila dolar tidak lagi di yakini, maka nilai dolar jatuh.
Dalam suasana nilainya jatuh, Rezab Persekutuan – badan swasta yang berhak mengeluarkan dolar – mengambil jalan pintas. Bank pusat Amerika Syarikat itu terus mencetak dolar untuk dijadikan bahan eksport utama negara itu. Hasilnya, ada lambakan dolar di pasaran dunia.
Apabila dolar melambak, maka nilainya semakin merosot - samalah seperti apa yang pernah terjadi kepada ibu dan ayah kita dengan duit Batang Pisang di zaman Jepun menjajah Tanah Melayu pada 1941-1945.
Untuk memastikan dolar terus diterima pakai, kuasa imperial menggunakan ancaman kekuatan tentera untuk memastikan jual-beli terutama bahan bakar petrol akan terus dinilai dengan dolar. Harus diingat, salah satu sebab kenapa Saddam Hussein dijatuhkan ialah kerana presiden Iraq itu telah meninggalkan dolar dalam jual beli minyak.
Iran, yang kini dianggap musuh, telah juga meninggalkan dolar dan beralih kepada Euro dalam hal jual beli petrol. Langkah yang sama juga sedang diambil oleh Russia. Langkah meninggalkan dolar negara-negara ini terus membantu penurunan nilai mata wang itu.
Satu lagi musibah yang sedang menyerang sistem ekonomi kapitalis ialah munculnya perniagaan bentuk baru. Perniagaan ini bukan membuat sesuatu atau menghasilkan sesuatu barangan. Kalau kita memotong getah, hasilnya ialah getah. Kalau kita memburuh dengan menanam padi, hasilnya beras.
Perniagaan bentuk baru - tidak membuat apa-apa barangan - ia hanya membuat spekulasi tentang tentang harga barangan masa depan dan nilai mata wang dari sebuah negara ke sebuah negara. George Soros, nama yang dikenali di Malaysia hanya salah seorang daripada beratus-ratus peniaga bentuk ini.
Perniagaan ini lebih tepat kalau kita kenali sebagai perjudian. Berniaga mata wang ini tidak produktif. Ia tidak menghasilkan apa-apa barangan. Jenis perniagaan ini muncul hasil dasar neoliberalisma. Peniaga jenis ini akan berbondong-bondong ke hulu ke hilir dalam dunia global mencari pasaran untuk berjudi.
Kita tidak nampak mereka kerana semuanya bersarang di Wall Street, New York dan London. Mereka bebondong-bondong tetapi tidak bergerak. Mereka hanya mengalihkan angka dana melalui internet. Tidak ada wang ringgit yang masuk, tetapi jika mereka menang ‘judi’, maka harta dan titik peluh kita mengalir ke kantung mereka.
Gejala inilah yang berlaku sewaktu krisis kewangan Asia pada 1997.
Dalam masa kurang lebih enam bulan, krisis ekonomi kapitalis ini akan sampai kepada kita. Amerika dan Eropah pada masa ini sedang berhadapan dengan zaman meleset. Rakan niaga kita di Amerika Utara dan Eropah akan mengurangkan permintaan. Apabila keadaan ini berlaku, maka banyak kilang akan ditutup. Ramai yang akan hilang pekerjaan.
Inilah hakikat krisis ekonomi global kapitalisma.
Sekarang para pemimpin kita wajib membuat satu dasar ekonomi baru yang bersandarkan kepada ekonomi pertanian. Bumi Hijau seharusnya dijadikan dasar oleh Pakatan Rakyat.
Bumi Hijau bermakna kita menganjurkan penanaman bahan-bahan makanan dan bukan pembuatan barangan. Apabila zaman meleset sampai, kita memiliki beras yang cukup. Kita memiliki sayuran, ikan, daging, bijirin dan buah-buahan yang cukup.
Kita pasti tidak dapat makan Proton. Kita tidak dapat makan cip komputer kerana ia bukan potato chips.
Dengan asas ekonomi pertanian yang kukuh, pasti sedikit sebanyak akan dapat membantu orang ramai daripada dilanggar zaman meleset yang akan sampai tidak lama lagi.
http://www1.malaysiakini.com/columns/91466
No comments:
Post a Comment