Monday, November 17, 2008

Obama - merayakan meritokrasi


Hishamuddin Rais Nov 12, 08 3:01pm

Hegemoni budaya gerombolan United Malays National Organisation amat meluas. Hegemoni budaya yang selama 50 tahun ini telah meresapi ke dalam semua jalur falsafah dan cara pemikiran warga Malaysia.

Hegemoni ini telah memaksa kita semua melihat diri kita bukan sebagai warga Malaysia – anak semua bangsa - tetapi melihat kewujudan kita sebagai orang berbangsa Melayu, Cina atau India atau bangsa-bangsa lain.

Dalam identiti diri yang luas ini, kita telah gagal untuk melihat diri kita sebagai warga negara bangsa dalam satu kesatuan. Jauh sekali untuk melihat diri kita sebagai warga dunia.

Tekanan hegemoni ini telah memaksa semua warga berfikir dengan menggunakan pendekatan, kayu ukur dan kaedah gerombolan United Malays National Organisation berfikir. Hegemoni ini memaksa kita melupakan meritokrasi.

Meritokrasi boleh kita hayati dengan memahami bahawa:

1 – berasas keupayaan individu, bukan kerana kelas, derajat, seksualiti atau kekayaan
2 - individu dianugerah kerana keupayaan dan ketrampilannya untuk mencapai anugerah itu
3 – memajukan individu berdasarkan ketrampilan individu

Konsep meritokrasi ini tidak memasukkan bangsa, kelas, agama, seksualiti atau gender. Konsep ini mengajukan keupayaan individu. Konsep meritokrasi ini mengajukan ketrampilan fikrah individu tanpa mengira bangsa, kelas, agama, seksualiti atau gender.

Jika individu itu memiliki berkeupayaan terunggul, maka individu itulah yang akan dipilih. Jika susuk itu bijak berilmu, maka susuk itulah yang diangkat untuk dinobatkan sebagai profesor – bukan kerana dia Melayu atau kerana dia ketua cawangan atau kerana dia saudara kepada menteri pelajaran.

Meritokrasi ini agak senang dihayati kerana ia sedang diamalkan dengan terbaik dalam arena sukan.

Jika seorang Mamat pelari 100 meter itu deras berlari, maka dia akan menjadi jaguh. Tidak ada huh tidak ada hah di sini. Jika Minah Cun itu cekap berenang, maka Minah Cun ini akan mendapat pingat emas di Sukan Olimpik. Yang terbaik adalah asas meritokrasi.

Terbukti jelas dalam arena sukan, meritokrasi telah diamalkan. Justeru sukan dilihat sebagai satu aktiviti yang adil, telus dan jujur. Terlalu susah untuk rasuah masuk dalam budaya sukan yang mementingkan merit individu.

Jika ada percubaan untuk mengangkat seorang pelari 100 meter kelas kedua untuk ke kelas pertama kerana dia saudara menteri sukan atau kerana ayahnya dulu jaguh negara, lambat-laun akan terlihat juga oleh orang ramai.

Ahli sukan kelas kedua ini akan tetap di kelas kedua apabila diduga. Yang bukan jaguh tetap bukan jaguh.

Justeru, konsep meritokrasi ini amat berguna untuk sesebuah tamadun mara maju ke hadapan. Apa yang menghalang meritokrasi dirayakan dan dinobatkan dalam sesebuah masyarakat ialah nilai feudal. Nilai feudal akan menghalang meritokrasi dari berkembang.

Dalam negara kita, budaya feudal ini yang masih menebal terutama dalam masyarakat Melayu. Budaya ini telah digunakan sebaik mungkin oleh gerombolan United Malays National Organisation untuk dijadikan sebahagian dari proses politik mengaut penyokong.

Nilai budaya fuedal gagasan gerombolan United Malays National Organisation ini gagal melihat kejaguhan dan keupayaan individu tetapi melihat susuk berbangsa apa, kelas apa, adakah dia memiliki derajat atau harta kekayaan.

Di sinilah lemahnya nilai budaya feudal. Kalau buah fikiran itu kurang baik tetapi ia wajib diterima pakai kerana tuan empunya pandangan itu seorang yang berderajat tinggi, berharta atau berpangkat atau kerana bangsanya.

Akhirnya kita sebagai warga dipaksa melakukan sesuatu yang bodoh kerana idea bodoh ini datangnya dari seorang yang berderajat tinggi.

Jika budaya feudal jadi amalan pasti tamadun itu tidak akan berkembang.

Gerombolan United Malays National Organisation telah mengamalkan konsep Ketuanan Melayu. Konsep dan falsafah Ketuanan Melayu ini melanggar dan menghancurkan nilai meritokrasi.

Contoh terbaik untuk melihat bagaimana nilai Ketuanan Melayu menghancurkan tamadun negara bangsa ialah dalam bidang keilmuan dan pembelajaran. Pada satu ketika dahulu, Universiti Malaya antara gedung-gedung ilmu yang unggul dalam dunia.

Hari ini ia telah merosot kerana keilmuan itu bukan lagi berasaskan meritokrasi tetapi berasaskan Ketuanan Melayu.

Susuk-susuk yang berilmu tidak dapat mencari ruang untuk mengembang potensi keilmuan jika susuk-susuk ini bukan orang Melayu. Atau jika pakar keilmuan ini tidak menelan Ketuanan Melayu.

Masa demi masa budaya keilmuan semakin merosot maka akhirnya orang bodoh akan menjadi guru untuk mengajar orang yang lebih bodoh. Orang yang lebih bodoh ini akan juga menjadi tenaga pengajar untuk orang yang lagi banyak bodoh. Ini terjadi di semua gedung keilmuan dalam negara ini.

Hasilnya universiti dan gedung keilmuan kita hanya sanggup mengeluar graduan-graduan yang bodoh-bodoh dan tidak memiliki pemikiran kritikal tetapi mereka Melayu.

Inilah satu contoh teragung betapa bodohnya konsep Ketuanan Melayu yang menjadi paksi budaya gerombolan United Malays National Organisation.

Sayugia disedari gerombolan United Malays National Organisation telah berkuasa 50 tahun lebih, maka hegemoni budaya feudal yang antimeritokrasi telah menyerap dalam mempengaruhi semua jalur pemikiran warga.

Akhir-akhir ini kita telah melihat bagaimana hegemoni budaya ini tanpa disedari telah juga digunakan dalam hujah yang diguna pakai oleh ahli-ahli dan simpatisan Pakatan Rakyat. Contoh terbaik apabila kedengaran tuntutan agar diwujudkan timbalan perdana menteri kedua yang bukan Melayu.

Persoalan timbul - apakah jika yang bukan Melayu ini akan menjamin seorang yang itu hebat pimpinannya, hebat jiwa juangnya, berhati rakyat atau hebat pemikiranya? Susuk bukan Melayu tidak menjamin apa-apa.

Hujah ini tidak ada bezanya dengan tuntutan agar perdana menteri itu mesti seorang Islam. Menjadi Islam sahaja tidak akan menjamin ketrampilan fikrah seseorang itu. Menjadi Islam sahaja tidak menjamin kualiti kepemimpinan.

Terbukti dengan jelas dan tidak perlu bersuluh bahawa yang Islam juga amat bijak berasuah. Yang Islam juga cukup hebat dan bijak melakukan kezaliman dan keganasan. Kezaliman bukan sahaja kepada yang tidak seagama, malah yang seagama pun dilibas sama.

Apakah kita lupa bahawa ahli-ahli dan pucuk pimpinan gerombolan United Malays National Organisation semuanya penganut Islam. Ramai antara gerombolan ini telah berpuluh kali berumrah, berbelas kali naik haji. Tetapi lihat hasilnya - tarak.

Kita wajib menobatkan mereka yang berilmu. Kita wajib menobatkan mereka yang jaguh. Dalam semua bidang, yang bijak fikrahnya wajib di hadapan. Anak semua bangsa kita wajib merayakan meritokrasi.

http://www1.malaysiakini.com/opinions/92935

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...