Monday, November 17, 2008

Ragu status nikah 1,000 pasangan

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my

ALOR STAR: Status pernikahan lebih 1,000 pasangan suami isteri di negeri ini serta negeri lain diragui kerana mereka menggunakan khidmat sindiket jurunikah palsu yang didapati memalsukan cop Jabatan Agama Islam Kedah serta tanda tangan Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Alor Star.

Kegiatan sindiket yang dipercayai beroperasi sejak sembilan tahun lalu itu, dikesan apabila Pejabat Agama Daerah Kuala Muda menerima laporan daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) yang mengesyaki sijil nikah sepasangan suami isteri di negeri itu palsu, dua minggu lalu.

Hakim Syarie Mahkamah Tinggi Syariah Alor Star, Mohd Roze Abdul Wahab, berkata sijil nikah pasangan di Selangor itu menggunakan nama dan tanda tangannya.

Menurutnya, sindiket jurunikah palsu itu menggunakan namanya sebagai wali hakim ketika menguruskan pernikahan pasangan dan berleluasa di daerah Kuala Muda, Sungai Petani dan Yan sejak sembilan tahun lalu.


Katanya, rekod jumlah pasangan terbabit dikesan menerusi bilangan nombor siri pada sijil nikah yang diperolehi pejabat agama kerana sijil terbabit didapati memalsukan tanda tangannya manakala saksi pernikahan dipercayai serta menyamar sebagai kakitangan pejabat agama daerah.

Berikutan itu, menurutnya, status anak pasangan terbabit juga diragui.

Namun, bilangan yang tampil ke pejabat agama untuk mendaftar atau menyemak perkahwinan terlalu sedikit dan mereka hanya mendaftar selepas gagal mendaftar anak di sekolah yang memerlukan sijil pernikahan sebagai rujukan.

Difahamkan, pasangan yang menggunakan khidmat jurunikah sindiket itu tidak menyedari ditipu kerana cop serta tanda tangan yang dipalsukan hampir sama dengan yang asli.

Sebelum ini, sindiket itu turut dikesan memalsukan tanda tangan jurunikah Majlis Agama Islam Wilayah Songkhla (MAIWS), Thailand menyebabkan jurunikah terbabit terpaksa menukar tanda tangannya bagi mengelak ditiru.

Mohd Roze berkata, kegiatan sindiket itu dikesan berleluasa sejak sembilan tahun lalu dan mengaut keuntungan lumayan.

“Biasanya mereka yang menggunakan khidmat sindiket itu terdiri daripada pasangan bermasalah, termasuk tidak mendapat izin ibu bapa, terlanjur dan mahu berpoligami,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, semalam.

Menurutnya, sindiket itu mengenakan bayaran antara RM1,000 hingga RM1,500 kepada setiap pasangan yang hendak bernikah dengan sebahagian bayaran itu untuk hakim atau pegawai agama yang meluluskan pernikahan.

Sindiket itu yang menggunakan rumah sebagai pejabat, menikahkan pasangan pada waktu malam bagi mengelak dikesan dan menggunakan cop getah beralamat Mahkamah Rendah Syariah Kuala Muda serta tandatangan Mohd Rozee yang pernah menjadi hakim mahkamah rendah itu.

“Bagaimanapun, sehingga kini sindiket itu masih menggunakan nama saya sebagai Hakim Mahkamah Rendah Syariah Kuala Muda sedangkan saya sudah lama bertugas di Mahkamah Tinggi Syariah Alor Star.

“Kebiasaannya, pasangan yang mempunyai masalah untuk bernikah akan ke negara jiran tetapi sekarang lebih mudah kerana sindiket itu bergerak bebas di negeri ini dan mencari pelanggan di luar perkarangan mahkamah syariah.

“Apabila tertarik dengan penerangan mereka dengan menggunakan nama saya, pasangan terbabit sanggup membayar berapa saja demi untuk mencapai hasrat mereka,” kata Mohd Rozee.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Monday/Setempat/20081117094436/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...