Amin Iskandar Nov 12, 08 3:51pm
Dunia minggu lepas meraikan kemenangan senator Barack Hussein Obama dalam pilihanraya presiden Amerika Syarikat yang paling mendebarkan pada abad ke-21 ini.
Dari benua Amerika, Afrika, Eropah dan Asia, kemenangan presiden kulit hitam yang pertama itu diraikan.
Obama dianggap sebagai orang Amerika berketurunan Afrika oleh kerana bapanya berasal dari Kenya sedangkan ibunya berasal dari Kansas, AS.
Dengan menggunakan slogan “Yes we can” (Ya, kita boleh), senator Illinois dan Joe Biden dari Demokrat berjaya menambat hati rakyat AS dan menewaskan pencabarnya John McCain, calon Republikan dengan membolot 349 undi Badan Perwakilan Pemilih (BPP) di seluruh negara melepasi undi minimum sebanyak 270 undi BPP bagi melayakkan seseorang calon untuk diisytihar menang bagi menduduki Rumah Putih.
Sementara itu, McCain yang bergandingan dengan gabenor Alaska, Sarah Heath Palin sebagai calon naib presiden hanya memperoleh 163 undi BPP.
Walaupun keputusan pilihanraya di North Carolina (15 undi) dan Missouri (11) kesemuanya melibatkan sebanyak 26 undi BPP masih belum diputuskan, ia tidak akan mengubah keputusan pilihanraya dan hanya akan meningkatkan undi yang diterima oleh Obama dan McCain.
Dianggarkan seramai 130 juta rakyat AS keluar mengundi menjadikan peratusan keluar mengundi yang tertinggi dalam sejarah negara tersebut sejak 1960.
Dalam ucapannya di Grant Park, Chicago bandar kediamannya, Obama menyatakan bahawa "detik perubahan sudah tiba di Amerika" dan menyeru seluruh rakyat AS supaya bersatu menyahut pelbagai cabaran mendesak.
Obama turut berterima kasih kepada semua golongan yang menyokongnya dan yang tidak menyokongnya dan berjanji untuk menjadi presiden bagi semua rakyat AS di hadapan 200,000 orang yang berhimpun.
Reaksi dunia
Kemenangan Obama mendapat pelbagai reaksi positif dari pemimpin dunia.
Perdana menteri United Kingdom, Gordon Brown menyatakan bahawa pilihanraya presiden di Amerika Syarikat kali ini merupakan satu sejarah. Brown turut mendakwa bahawa dia dan Obama “berkongsi banyak nilai”.
Sementara itu, presiden China, Hu Jintao berkata dia mengharapkan kemenangan Obama akan memperkuatkan dialog diantara China-Amerika Syarikat.
Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy berkata keputusan pilihanraya tersebut memberikan harapan besar kepada dunia.
Kenya, tempat asal bapa Obama turut meraikan kemenangan presiden baru AS itu. Mwai Kibaki, presiden Kenya mengisytiharkan cuti umum sebagai tanda kegembiraan rakyat negara tersebut terhadap kemenangan Obama.
Di Indonesia, bekas rakan sekelas dan bekas guru Obama turut meraikan kemenangannya. Menurut Dewi Asmara, salah seorang daripada rakan sekelas Obama, “saya masih teringat dalam satu kelas, setiap pelajar menuliskan tentang cita-cita mereka. Ada yang menyatakan mereka mahu menjadi peguam, tentera dan juruterbang akan tetapi Obama mahu menjadi presiden”.
Di Obama, Jepun - sebuah bandar nelayan - turut merayakan kemenangan presiden kulit hitam pertama itu kerana namanya berkongsi dengan senator Illinois.
Inilah pertama kali kemenangan calon presiden AS disambut hebat oleh dunia. Dari benua Amerika, Eropah, Afrika dan Asia majoritinya meraikan kemenangan Obama.
Ini adalah isyarat yang jelas daripada rakyat dunia yang sudah muak dengan kerajaan AS bawah pimpinan George W Bush dan dasar-dasar neokonservatif yang telah menyebabkan dunia menjadi kucar-kacir akibat penaklukan terhadap Afghanistan dan Iraq.
Mampukah Obama merubah dunia?
Menurut teman-teman diskusi saya, kemenangan Barack Obama sebagai presiden AS tidak akan memberikan apa-apa makna selagi dasar luar AS tidak berubah.
Menurut mereka, kemenangan Obama ibarat menukar minuman “Coca-Cola” kepada “Pepsi Cola” - kerana kedua-dua Demokrat dan Republikan adalah penganut fahaman kapitalisme.
Cuma Obama dan Demokrat mungkin dilihat sebagai kapitalisme yang lebih baik berbanding dengan kapitalisme yang dibawa oleh Republikan.
Amnesty International (AI) sebuah organisasi prohak asasi manusia telah menuntut agar presiden AS yang baru menutup kem tahanan suspek pengganas Guantanamo di Cuba yang kini memenjarakan 255 orang yang disyaki terlibat dengan Al-Qaeda, 100 hari setelah menjadi presiden.
Menurut setiausaha agungnya, Irene Khan, AI mengharapkan agar sesiapa sahaja yang menjadi presiden baru AS agar menjadikan negara tersebut sebagai jaguh hak asasi manusia di dalam dan luar negara.
Selain itu, harapan besar masyarakat dunia ialah dengan kemenangan Obama, penaklukan Amerika Syarikat terhadap Afghanistan dan Iraq dapat ditamatkan dengan segera.
Dengan harapan yang tinggi dan menggunung daripada rakyat AS dan warga dunia terhadap Obama, mampukah senator Illinois itu melakukannya?
Obama dan Badawi
Harapan yang diberikan oleh rakyat AS dan warga dunia terhadap Barack Obama mirip harapan rakyat Malaysia ketika memberikan kemenangan besar kepada Barisan Nasional yang dipimpin oleh Abdullah Ahmad Badawi dalam pilihanraya umum 2004.
Abdullah pada ketika itu berjanji akan melaksanakan reformasi terhadap sistem kehakiman, pentadbiran negara dan ingin memerangi rasuah.
Akan tetapi sepanjang pemerintahannya hingga ke 2008 menyaksikan kegagalan Abdullah untuk melaksanakan janji-janjinya kepada rakyat Malaysia.
Akibatnya Abdullah dihukum oleh rakyat Malaysia. Buat pertama kalinya selepas 1969, Barisan Nasional hilang penguasaan majoriti 2/3 di parlimen.
Jika Obama gagal melaksanakan janji-janjinya, beliau akan menerima nasib sama seperti Abdullah pada masa akan datang.
Cabaran yang dihadapi oleh Obama pada masa akan datang amat besar dan beban yang bakal dipikulnya selepas menjadi presiden AS yang sah pada pertengahan Januari 2009 amat berat.
Ketika ini, AS sedang berhadapan dengan krisis ekonomi yang turut memberikan kesan kepada ekonomi dunia. Krisis yang dihadapi kini dikatakan bakal menyamai Great Depression pada tahun 1930-an dahulu.
Obama memberikan harapan kepada warga dunia untuk perubahan. Tidak salah untuk mempunyai harapan. Kerana harapan, manusia terus hidup.
Seperti yang dikatakan oleh Christopher Reeve, pelakon filem Superman, “sekali anda memilih berharap, segalanya mungkin”. (Once you choose hope, anything's possible).
http://www1.malaysiakini.com/columns/92940
No comments:
Post a Comment