Friday, November 14, 2008

'Handover' bulan Jun: Giliran Melaka tolak pelan 'Kak Pidah'


Elok tiada pertandingan, ini kehendak 'akau' umbi



14 Nov 2008 12:06PM



MELAKA: Kini giliran Wanita Umno Melaka pula menyatakan sokongannya terhadap Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, dan ahli exco pergerakan itu, Datuk Kamilia Ibrahim, yang menolak keputusan Exco pergerakan itu mengekalkan pelan peralihan kuasa yang dirancang oleh Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz.

Ketua Wanita Umno Melaka, Datuk Hazizah Mohd Sultan, semalam berkata pihaknya tidak sanggup melihat pergerakan itu dalam keadaan tidak lengkap atau 'tempang', apabila Tan Sri Rafidah menyerahkan kuasanya kepada Datuk Seri Shahrizat pada Jun depan.

Menurutnya, Wanita Umno Melaka sememangnya sejak awal lagi tidak pernah bersetuju dengan pelan peralihan yang dicadangkan itu dan sebaliknya berharap Datuk Seri Shahrizat boleh menggantikan Tan Sri Rafidah pada Mac ini.

'Wanita Umno Melaka menyokong penuh sekiranya Tan Sri Rafidah memberi laluan kepada Shahrizat... biarlah tidak ada pertandingan, demi perpaduan dan masa depan pergerakan ini,' katanya di sini.

Kelmarin, Wanita Umno Sabah dan Negeri Sembilan juga menyokong secara terbuka pendirian Datuk Seri Shahrizat dan Datuk Kamilia untuk menolak pelan peralihan kuasa asal yang pernah diusulkan Tan Sri Rafidah pada Ogos lalu.

Ketua Wanita Umno Sabah, Senator Datuk Armani Mahiruddin, mengingatkan kepemimpinan tertinggi pergerakan itu supaya tidak memandang sepi pencalonan di peringkat akar umbi.

'Ia adalah kemahuan ahli di peringkat akar umbi. Saya menyokong pendirian Datuk Kamilia Ibrahim untuk bertanding Naib Ketua dan menolak pelan peralihan kuasa Wanita Umno,' katanya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu kelmarin.

Menurutnya, majoriti Wanita Sabah inginkan perubahan kepimpinan dalam Wanita Umno berdasarkan 14 pencalonan yang diterima Datuk Seri Shahrizat bagi jawatan Ketua Wanita, selepas 25 Wanita Umno bahagian Sabah selesai bermesyuarat.

Ketua Wanita Negeri Sembilan, Datuk Norhayati Omar, pula berkata cadangan Datuk Seri Shahrizat supaya peralihan kuasa itu diselaraskan pada Mac ini adalah yang terbaik untuk memastikan kesinambungan kepemimpinan Wanita Umno.

Selasa lalu, Datuk Seri Shahrizat tegas mempertahankan bahawa pelan peralihan kuasa itu perlu diselaraskan dengan Umno induk, Pemuda dan Puteri pada Mac ini.

Datuk Kamilia pula tetap dengan pendiriannya mahu bertanding merebut jawatan Naib Ketua. / BHS

http://www.klpos.com/news/2008/11/14/1.html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...