Friday, November 14, 2008

Tepuk dada, tanya selera, kata Aishah Ghani



Abdul Rahim Sabri Nov 14, 08 12:28pm


Bekas Ketua Wanita Umno, Tan Sri Aishah Ghani berkata, terpulang kepada calon-calon yang layak bertanding jawatan tinggi pergerakan itu, untuk membuat keputusan sendiri sama ada mahu bertanding atau tidak dan menyerahkan kepada perwakilan membuat keputusan.

"Tepuk dada, tanya selera," kata pemimpin Umno itu ketika diminta mengulas kekusutan berhubung isu pelalihan kuasa yang melanda Wanita Umno sekarang.

Ia ekoran mesyuarat exco Wanita Isnin lalu yang mahu peralihan kuasa dikekalkan pada Jun 2009, manakala beberapa Wanita negeri mahu ia dipercepatkan ke Mac depan ketika pemilihan pucuk pimpinan Umno di semua peringkat diadakan.

Selepas kesemua 191 bahagian Wanita Umno selesai bermesyuarat, 118 bahagian mencalonkan ketua pergerakan itu, Tan Sri Rafidah Aziz untuk mengekalkan jawatannya, manakala 73 lagi mencalonkan naibnya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil untuk bertanding jawatan ketua. Shahrizat melepasi kelayakan minima untuk bertanding jawatan ketua.

Shahrizat juga turut dicalonkan 114 bahagian untuk mempertahankan jawatan naib. Turut layak bertanding jawatan naib ialah exco Wanita, Datuk Kamilia Ibrahim yang mendapat 55 pencalonan.


Kamilia secara terbuka telah menyatakan pendiriannya akan bertanding jawatan naib, walaupun mesyuarat exco Wanita Isnin lalu turut memutuskan tiada pertandingan bagi jawatan ketua dan naib ketua pergerakan tersebut.

Ketika diminta mengulas mengenai kekusutan tersebut, Aishah berkata: "Seelok-eloknya kembalilah kepada peraturan Umno. Jangan sekat daripada bertanding kerana ia adalah amalan dalam Umno dari dulu.

"Peraturan itu tidak ada cacat celanya...patut diikut...jangan buat peraturan lain...cuba memandai-mandai inilah akibatnya," katanya yang dipercayai merujuk kepada keputusan exco Wanita yang menetapkan tiada pertandingan bagi jawatan ketua dan naib ketua pergerakan tersebut.

Layak bertanding

Beliau menjelas ahli-ahli Umno tidak boleh menghalang calon yang layak untuk bertanding.

"Sekiranya calon itu layak bertanding dan dia tidak mahu, siapapun pun tak boleh nak halang (juga).

"Ia mudah tetapi dipersusahkan. Peraturan Umno tidak kusutkan apa-apa. Saya tidak mahu kisah ini berlarutan.

"Jalan penyelesaiannya ikut perlembagaan. Demi kepentingan Umno itulah patut dilakukan untuk menggerakkan parti, ikut landasan yang betul," tambahnya.

Beliau juga menolak ketika ditanya sama ada beliau bersedia orang tengah untuk meleraikan kekusutan yang berlaku dalam pergerakan tersebut.

"Saya tak mahu. Saya ahli Umno biasa," tambah Aishah.

Peralihan kuasa

Mengulas berhubung peralihan kuasa kepada Rafidah dahulu, beliau menjelaskan bahawa beliau memngumumkan hasratnya itu lebih awal sebelum perhimpunan agung bermula.

"Saya memikirkan ada (calon) yang layak, siang-siang saya cakap, saya tidak lagi mempertahankan jawatan (ketua wanita Umno)," tambah Aishah.

Menurutnya, beliau berkata pertandingan mana-mana jawatan dalam Umno memang tidak dapat dielakkan dan ia membuktikan amalan demokrasi dalam Umno.

Sehubungan itu beliau menasihatkan calon-calon yang bertanding agar bersikap ikhlas dan memikirkan kesan baik buruk demi kepentingan parti.

"Kalau lebih memikirkan kehendak ego dan puak-puak itu tak bagus," jelas Aishah lagi.


http://www1.malaysiakini.com/news/93067

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...