Friday, November 14, 2008

Lelaki `culik’ diri sendiri

AMPANG JAYA: Hanya kerana tidak tahan diburu along, seorang lelaki sanggup berlakon kononnya dia diculik dan menghubungi kakaknya meminta diberikan RM40,000 sebagai wang tebusan untuk melepaskannya, Sabtu lalu.

Namun, lakonan bodohnya itu tidak menjadi apabila dia bersama seorang rakan yang juga dikatakan penjamin pinjamannya diberkas polis di rumah kakaknya itu.

Menurut sumber, kakak lelaki itu pada mulanya menerima panggilan daripada seorang lelaki tidak dikenali yang mendakwa adiknya diculik dan berada di Pahang.

“Pada mulanya, wanita itu tidak mempercayai kata-kata lelaki berkenaan sebelum mendengar adiknya menjerit meminta tolong kerana tidak tahan dipukul ketika berbual melalui telefon itu.


“Wanita itu yang bimbang keselamatan adiknya kemudian berjanji membayar wang tebusan terbabit sebelum meminta nombor akaun suspek,” katanya.


Namun, suspek yang enggan memberikan nombor akaunnya kerana khuatir identitinya dapat dikesan bersetuju mengambil wang terbabit di rumah wanita itu di Pandan Perdana.

Wanita berkenaan kemudian terus menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian terbabit sebelum sepasukan polis bergegas ke rumah mangsa dan menunggu suspek yang kemudian muncul di situ.

Menurut sumber, sejurus tiba, polis menahan dua lelaki dan lebih mengejutkan seorang daripadanya adalah adik kepada wanita itu yang mendakwa dia diculik dan dilarikan ke Pahang.

“Kedua-duanya ditahan dan siasatan awal mendapati mangsa yang mendakwa diculik itu sebenarnya meminta wang untuk melangsaikan hutang,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20081113101054/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...