Friday, November 14, 2008
Jual tubuh bayar ansur
Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my
GOMBAK: Akibat bebanan hidup, seorang ibu tunggal di Pulau Pinang terpaksa mengambil ‘jalan pintas’ dengan menawarkan khidmat seks melalui bayaran ansuran di kalangan rakan sekerja lelakinya.
Difahamkan, kegiatan tidak bermoral itu yang dilakukan secara separuh masa, mula dijalankan wanita terbabit bagi menampung keperluan diri dan enam anaknya selepas diceraikan suami.
Lebih menyedihkan, bekas suami wanita itu langsung tidak pernah memberi nafkah kepada anak-anaknya sejak menceraikan isterinya walaupun sudah diarahkan berbuat demikian melalui perintah mahkamah.
Berikutan buntu memikirkan nasib untuk meneruskan kehidupan selain menyara anak-anaknya, wanita itu yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, nekad menggadaikan maruah dirinya kepada beberapa lelaki ‘hidung belang’ yang juga rakan sekerjanya pada bulan kedua diceraikan, walaupun belum tamat tempoh edah.
Perkara ini didedahkan Ketua Pengarah merangkap Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Ibrahim Lembut, pada sidang media selepas merasmikan Seminar Isu-isu Mahkamah Syariah ke-10 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini, semalam.
Beliau mengetahui mengenai aktiviti tidak bermoral yang dijalankan ibu tunggal terbabit ketika menghadiri seminar berkaitan Badan Sokongan Keluarga (BSK) JKSM di Pulau Pinang, kelmarin.
Katanya, perkara itu boleh dielakkan sekiranya ibu tunggal terbabit tahu mengenai pelbagai bentuk bantuan yang layak diperolehnya termasuk melalui dana BSK.
“Saya terkejut dan sedih bila mendapat tahu mengenai perkara ini yang tidak sepatutnya berlaku, tambahan pula membabitkan umat Islam. Dengan gaji kecil, mana mampu menanggung keperluan peribadi dan anak-anak.
“Kami juga mendapat maklumat mengenai kegiatan sama dilakukan seorang lagi wanita di negeri berkenaan yang bekerja sebagai tukang cuci dan siasatan kami mendapati, bekas suami wanita itu tidak memberi nafkah,” katanya.
Hadir sama, Dekan Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim UIAM, Prof Datuk Dr Zaleha Kamarudin.
Mengulas lanjut mengenai BSK, Ibrahim berkata, pihaknya sudah menyiapkan kertas kerja untuk dibawa ke jemaah menteri sebelum dibentangkan di Parlimen.
“Kita harap sasaran dana BSK sebanyak RM15 juta diluluskan bagi membantu golongan seperti ibu tunggal yang tidak mendapat nafkah mencukupi untuk menyara keluarga dan dapat dilaksanakan awal tahun depan. Buat masa ini, dana terkumpul RM500,000 yang diperuntukkan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP),” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ibrahim berkata, langkah mengadakan perbicaraan di mahkamah syariah pada hujung minggu bermula Jumaat malam hingga pagi Ahad, perlu diadakan bagi mengelak warga asing yang terbabit dengan jenayah syariah terlepas daripada hukuman.
Hingga Ogos tahun ini saja, sebanyak 485 kes membabitkan jenayah syariah dilakukan warga asing dicatatkan di seluruh negara. Ada di kalangan mereka sanggup datang dari Negeri Sembilan dan Melaka untuk buat maksiat dengan gadis tempatan.
http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20081113100725/Article/index_html
No comments:
Post a Comment