Friday, December 26, 2008

Aceh mula pulih


GAMBAR Banda Aceh dirakam 5 Januari 2005 menunjukkan kerosakan teruk akibat tsunami yang turut mengorbankan lebih 170,000 nyawa.
--------------------------------------------------------------------------------


BANDAR ACEH - Usaha pemulihan di beberapa bahagian negara Asia yang teruk terjejas akibat tsunami empat tahun lalu masih belum menyeluruh.

Kerja-kerja membina semula Aceh dan Pulau Nias iaitu dua wilayah yang ranap akibat gempa bumi serta tsunami pada 26 Disember 2004 sudah mula menunjukkan perubahan.

Beberapa pegawai tempatan memberitahu, jumlah rumah yang dibina semula di dua kawasan tersebut kini jauh melebihi keperluan di mana terdapat penduduk yang mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dengan menyewakan rumah mereka.

Agensi pembinaan semula Aceh-Nias (BRR) memberitahu, pihak berkuasa sudah membelanjakan sekitar AS$6.7 bilion (RM23.2 bilion) daripada dana bantuan berjumlah AS$7.2 bilion (RM24.9 bilion) bagi membina hampir 125,000 buah rumah dan infrastruktur seperti sekolah, jalan raya dan jambatan.

Bagaimanapun, keadaan sebaliknya berlaku di Sri Lanka apabila perang berterusan antara gerila Tamil dan kerajaan menjejaskan usaha membangunkan semula kawasan-kawasan yang musnah di rantau tersebut.



KAWASAN perumahan yang dibangunkan semula di Lambung susulan gempa bumi dan tsunami.
--------------------------------------------------------------------------------


Sehingga hari ini masih terdapat 10,000 rakyat negara Sri Lanka yang tinggal di kem-kem sementara. Sebanyak 31,000 penduduk negara itu maut akibat ombak besar tsunami.

Di Thailand di mana 5,400 orang terbunuh - separuh dari mereka pelancong asing usaha memulihkan sektor pelancongan mula menampakkan hasil tetapi dijejaskan oleh pergelutan politik yang berlanjutan.

Beberapa pertubuhan juga menyatakan usaha pemulihan di Malaysia yang merekodkan 68 korban nyawa berhadapan kelewatan tetapi ia berjaya diselesaikan.

Menurut mereka, keadaan itu menyebabkan terdapat rumah yang dibina bagi mangsa-mangsa tsunami berada pada kualiti kurang memuaskan. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...