Friday, December 26, 2008

Jutawan segera didakwa menipu

Oleh OTHMAN YAHAYA
berita@kosmo.com.my



NAZRI menutup muka selepas keluar dari Mahkamah Majistret Gurun, Kedah kelmarin.
--------------------------------------------------------------------------------


GURUN - Sebulan lalu, Nazri Ismail dinobatkan sebagai seorang jutawan dalam satu majlis gilang-gemilang di sebuah stadium di Shah Alam, tetapi kelmarin dia terpaksa tidur di lokap selepas didakwa atas tuduhan menipu.

Nazri, 34, didakwa di Mahkamah Majistret Gurun atas tuduhan dengan curang cuba menipu sembilan pelabur melibatkan wang berjumlah hampir RM380,000.

Pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Ahzal Farid Ahmad selepas Nazri ditahan di Kuantan seminggu lalu berkaitan laporan polis yang dibuat oleh sembilan pelabur terbabit di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Nazri yang berasal dari Kampung 10, Sungai Limau, Yan bergelar jutawan setelah berjaya memperoleh pendapatan mencecah RM500,000 dalam masa tiga bulan melalui penglibatannya dengan sebuah syarikat jualan langsung (MLM).

Dia bukan saja diraikan pada malam 8 November lalu, tetapi wajah dan ceritanya turut tersiar di dada akhbar keesokan harinya dan dijadikan contoh untuk menarik lebih ramai orang menyertai syarikat MLM tersebut.

Ketika dibawa ke mahkamah untuk didakwa petang kelmarin, Nazri diiringi oleh seorang peguam dan beberapa ahli keluarganya.

Sebahagian daripada pelabur yang membuat aduan merupakan kenalan sekampungnya. Mereka turut berada di pekarangan mahkamah.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1226&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...